PENINGKATAN usia datang seiring dengan kemerosotan kesihatan dan kemampuan melaksanakan urusan seharian. Bagi yang berzuriat, segunung harapan dicurahkan kepada mereka.
Tidak semua bernasib baik. Berita warga emas meninggal sendirian di rumah sudah tidak asing lagi. Jadi, pengurusan warga emas perlu diberi perhatian.
Gelaran warga emas diberikan apabila seseorang mencapai usia 60 tahun ke atas. Dianggarkan tujuh peratus penduduk Malaysia berusia 65 tahun ke atas pada 2020.
Peratusan dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2035. Ini bermakna Malaysia akan menjadi negara tua menjelang 2035.
Dengan kenaikan jangka hayat dan kadar kelahiran tahunan yang menurun, negara akan menanggung kos tinggi dari segi perubatan jika pengurusan hari tua tidak diuruskan dengan baik.
SWITZERLAND, JEPUN
Terdapat beberapa program yang boleh dicontohi. Antaranya struktur kediaman, prasarana dan penggemblengan sumber tenaga dalam kalangan warga emas. Ini bagi memastikan mereka tidak terpinggir, boleh menjana ekonomi sendiri dan turut menyumbang kepada pembangunan negara.
Model ederly care bank deposit seperti di Switzerland dan Jepun membolehkan seseorang yang telah bersara dan berkemampuan terlibat sebagai sukarelawan. Tempoh perkhidmatan akan didepositkan dalam akaun mereka dan boleh ditebus apabila perlu.
Kaedah ini dapat meringankan beban kekurangan tenaga sumber, kos pengurusan rumah kebajikan dan mewujudkan kesatuan di dalam masyarakat.
SPIRITUAL
Kerajaan berterusan melaksanakan pelbagai kemudahan untuk kebajikan warga emas. Antaranya bantuan kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan penempatan di rumah kebajikan yang diuruskan oleh kerajaan atau swasta.
Kini, terdapat sekitar 365 buah pusat penjagaan yang berdaftar di seluruh negara. Namun, jumlah ini tidak mencukupi dan menghadapi kekangan antaranya kewangan, teknologi dan pekerja.
Perubahan demografik dan kemampuan sedia ada menuntut pengurusan hari tua yang sistematik dan efektif bagi keselesaan fizikal dan spiritual.
Albert Einstein menyatakan, janganlah mengharapkan hasil berbeza jika masih melakukan cara yang sama. Jadi, antara idea yang boleh dilaksanakan secara berperingkat dengan pendekatan bersesuaian mengikut lokaliti ialah:
PANGKALAN MAKLUMAT
Pengurusan warga emas harus diarahkan oleh kesedaran diri, dibantu oleh pihak swasta dan disokong dasar-dasar kerajaan. Tindakan secara kolektif diperlukan dengan menggabungkan kerjasama kerajaan, swasta dan sukarelawan sama ada secara berkumpulan mahupun individu.
Pangkalan maklumat menggabungkan data warga emas dan semua pihak terlibat perlu diwujudkan di bawah satu platform. Ini akan memudahkan warga emas mengetahui dan memohon bantuan serta bagi tujuan keselamatan.
Pemberi bantuan mengetahui khidmat yang diperlukan dengan pantas. Data terkini yang diperoleh di bawah MySejahtera dan Banci 2020 boleh digembleng untuk tujuan pengesanan dan keadaan kehidupan mereka.
Ringkasnya, ia akan memudahkan warga emas terutama yang kurang berkemampuan untuk:
i. Mengetahui bantuan yang boleh diperoleh daripada kerajaan dan sukarelawan. Dalam konteks luar bandar, ia akan memudahkan jawatankuasa peringkat kampung atau individu lain untuk memanjangkan permohonan.
ii. Mendapatkan khidmat seperti penghantaran atau peneman ke hospital, pembelian barangan keperluan, mencuci rumah sepertimana urusan Grab, personal shopper dan Teman Malaysia. Mungkin terdapat sukarelawan yang sedia membantu mengikut slot masa dan kemampuan.
Dapat mengurangkan pertindanan bantuan kepada individu yang sama. Boleh digunakan untuk perekodan deposit jam berkhidmat di bawah konsep model elderly time deposit. Perekodan yang baik akan menarik lebih ramai sukarelawan.
LATIHAN
Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sukarelawan, latihan perlu diadakan. Kursus berkaitan pengurusan hidup warga emas wajar diserap dalam kursus persedian persaraan sebagaimana yang dilaksanakan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan). Begitulah sewajarnya di pihak swasta.
JARINGAN SOSIAL
Pewujudan kumpulan kecil dalam kalangan warga emas dalam komuniti akan dapat membolehkan jalinan sosial, mengurangkan kesunyian, dan penyaluran maklumat perubatan daripada institusi kesihatan.
INSURANS, SIMPANAN
Simpanan untuk hari tua dan insurans perlu digalakkan. Ini bagi membantu warga emas meneruskan kelangsungan hidup serta mampu mempunyai pendapatan untuk menanggung kehidupan seharian.
Kesimpulannya, menguruskan warga emas merupakan satu tanggungjawab sebagaimana hadis riwayat Tirmizi, “Bukanlah termasuk golongan kami, orang yang tidak menghormati yang lebih tua, dan tidak menyayangi yang lebih muda.”
PENULIS ialah Ketua Kluster, Pengajian Pembangunan Pengurusan & Inovasi, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).










