KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, sebanyak RM13.12 juta wang milik Yayasan Akalbudi telah disalahgunakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebahagiannya digunakan untuk perbelanjaan peribadinya dan isteri.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, daripada jumlah tersebut sebanyak kira-kira RM1.36 juta digunakan untuk membayar empat keping kad kredit Ahmad Zahid dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis manakala sebanyak RM107,509.55 digunakan untuk memperbaharui cukai jalan dan polisi insurans 20 kenderaan yang dimiliki pasangan itu.
Menurut keterangan pegawai bank, berdasarkan penyata kad kredit, kad-kad tersebut antaranya dibelanjakan di Burberry Asia Ltd, Hongkong, Swarovski Melbourne, Australia, Louis Vuitton Southbank, Australia, pusat membeli belah Harrods, Marks & Spencer, Escada dan Giorgio Armani.
Perbelanjaan turut dibuat di pusat mainan seperti Toys R Us dan DC Super Heroes, pusat barang kemas seperti Poh Kong Jewellers, Habib Jewels dan Swarovski; pusat farmasi, bil hospital, serta perbelanjaan lain.
Sementara itu, menurut keterangan Penolong Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Zaharudin Zainuddin yang merupakan saksi pendakwaan ke-12, Ahmad Zahid dan isteri memiliki 20 kenderaan antaranya tiga buah Toyota Vellfire, Lexus LX 460, Lexus, Toyota Land Cruiser, Honda Odyssey dan Chrysler Jeep Wrangler.
Mereka juga memiliki dua motosikal jenis Harley Davidson, dua Ducati, tiga BMW, satu Kawasaki dan satu Honda C100.
“Tidak dinafikan, cara tertuduh dan isterinya berbelanja bukanlah isu dalam kes ini tetapi kita tidak boleh lari daripada berfikir sama ada mereka mengambil kira atau memikirkan keadaan rakyat Malaysia yang susah ketika membeli belah di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes.
“Fakta menunjukkan kenderaan-kenderaan itu didaftarkan atas nama tertuduh dan tiga individu lain iaitu Hamidah Khamis, BZ Motors dan Juhari Janan,” kata Raja Rozela. Juhari merupakan pegawai khas kepada Ahmad Zahid ketika itu.
Timbalan Pendakwa Raya itu menghujahkan demikian di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, 69, yang dituduh atas 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Selain itu, wang itu turut digunakan sebagai `sumbangan’ sebanyak RM1.3 juta kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pada ketika itu mengalami masalah kewangan.
“Pemain bola sepak itu dipilih sendiri oleh PDRM untuk bermain bagi pihak mereka, mereka adalah pemain profesional. Hujah pembelaan yang menyatakan, pemain-pemain itu tidak menerima bayaran gaji membolehkan mereka layak menerima sumbangan juga tidak boleh diterima. Malah salah seorang saksi pendakwaan yang juga pemegang amanah yayasan sendiri dalam keterangan menyatakan kelab bola sepak itu bukannya fakir miskin.
“Jika kita tolak isu kelab bola sepak ini, ramai penjawat awam di negara ini bergaji kecil. Malah, mungkin separuh daripada mereka yang ada dalam bilik (dewan mahkamah) yang selepas seminggu gaji diterima, layak menjadi penerima sumbangan daripada Yayasan Akalbudi, ihsan daripada tertuduh. Jika melihat kepada definisi miskin oleh Bank Dunia, kelab bola sepak tidak tergolong dalam kategori itu,” kata Raja Rozela.
Pendakwa raya itu turut menghujahkan, wang sebanyak RM360,000 yang diberikan kepada TS Consultancy & Resources juga tidak boleh dianggap sebagai menghapuskan kemiskinan dan membantu menaikkan taraf kehidupan orang miskin kerana keterangan saksi jelas menunjukkan syarikat itu digunakan Barisan Nasional bagi perkara-perkara berkaitan pendaftaran pengundi.
Berhubung pinjaman sebanyak RM10 juta kepada Armada Holdings Sdn. Bhd., `sumbangan’ tersebut bukanlah satu pelaburan atau cara membaiki kehidupan orang susah di negara ini, sebaliknya ia tidak ubah seperti `perniagaan peminjaman wang’.
“Yayasan tidak boleh memberikan sebarang pinjaman. Ia tidak selari dengan tujuan penubuhan Yayasan Akalbudi,” ujar pendakwa raya itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN ONLINE










