Kami mahu jadi Youth Avengers - Utusan Malaysia

Kami mahu jadi Youth Avengers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TIDAK keterlaluan untuk menggelarkan struktur kepemimpinan sayap-sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) sebagai Youth Avengers yang menghimpunkan semua kepakaran dalam kalangan pemimpin muda.

Namun, itulah yang didambakan oleh HOWARD LEE CHUAN HOW sejak dilantik sebagai Ketua Pemuda PH yang baharu, 12 September lalu.

Bukan impian sekadar impian, niat Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu seiring untuk mengembalikan semula kekuatan pembangkang menyorot kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lalu.

Pun begitu, satu hal yang perlu ditempuh, bagaimana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji ini mahu meraih semula keyakinan golongan muda untuk mengundi pada PRU-15 kerana kepercayaan yang sudah dihancurkan didakwa akibat rampasan kuasa dan pembelotan.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, SHIDDIQIEN ZON di ibu negara, baru-baru ini, Howard mengupas mengenai politik golongan muda dan peranannya sebagai struktur penting dalam gabungan pembangkang.

UTUSAN: YB (Yang Berhormat) baru dilantik sebagai Ketua Pemuda PH. Komen?
HOWARD: Ini adalah tanggungjawab yang berat dalam menggerakkan golongan muda terutama dalam aspek undi 18 tahun (Undi18) kerana segmentasi pengundian daripada mereka adalah amat tinggi.

Sejujurnya, saya tidak bersedia menjadi Ketua Pemuda cuma keadaan memaksa saya memikul tanggungjawab ini. Bagaimanapun, memandangkan saya adalah sebahagian daripada pembentukan struktur PH iaitu bekerjasama dengan semua ketua pembangkang di peringkat negeri dan ketua-ketua sayap parti termasuklah yang berada di luar

PH, saya merasakan memiliki kapasiti dalam kedudukan ini.

Walaupun berat hati dan bahu memikul amanah, saya harus melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Rasa gembira sudah tentu tidak kerana pelantikan ini datang dengan kehilangan sahabat seperjuangan saya, Shazni (Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd. Ithnin meninggal dunia akibat Covid-19).

Bagaimana proses pelantikan?
Saya tidak terlibat dalam proses membuat keputusan tetapi saya ditanya oleh pemimpin-pemimpin parti PH sama ada mahu menerima jawatan ini dan saya hanya memberi jawapan, I am a soldier (saya adalah pejuang). Jika dikerah, saya akan buat kerja.

Ada calon lain?
Saya tidak bersetuju dengan perbandingan sama ada seseorang itu layak, tidak layak atau lebih layak berbanding yang lain. Hal ini kerana jika seseorang dilantik untuk sesuatu jawatan, itulah yang selayaknya. Lagipun, sesuatu kelayakan itu dipilih secara konsensus antara semua parti komponen. Ketika itu juga, pemimpin yang ada hanyalah saya dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir Nasrullah. Tapi keputusan memihak kepada saya.

Visi YB?
Visi saya, suatu hari nanti saya dapat memimpin keseluruhan blok pembangkang termasuklah yang berada di luar gabungan PH seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ini adalah satu perjuangan dan belum tentu berjaya tetapi saya tetap mencuba kerana dengan hubungan erat antara saya dengan kebanyakan pemimpin pembangkang, saya yakin dan percaya ia mungkin dapat membina kembali jambatan yang telah diruntuhkan.

Fokus YB?
Saya mahu menyampaikan naratif meletakkan semula PH sebagai wadah yang bukan sahaja berjuang dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan bahawa pembangkang menjadi pemelihara demokrasi. Selain itu, saya akan berusaha memberi tekanan supaya kerajaan memastikan hak anak-anak muda berusia 18 tahun ke atas bukan sahaja boleh mengundi dalam pilihan raya bahkan menjadi calon di samping terus mengetengahkan suara mereka di atas landasan demokrasi negara yang sebenar.

Tetapi untuk mencapai hasrat itu, saya perlu mengatasi cabaran yang berlaku ketika ini dalam usaha menarik semula mereka. Ini kerana secara asasnya telah berlaku hilang keyakinan dalam kalangan golongan ini terhadap sistem demokrasi kita disebabkan ahli-ahli politik yang melompat parti. Kita juga sering kali mendengar cakap-cakap seperti, buat apa saya perlu keluar mengundi? Sebab tiada guna jika mengundi pun tetapi ada yang masih berpaling tadah.

YB yakin boleh bawa perubahan?
Itu terpulang kepada pengundi tetapi ia tetap menjadi usaha saya dan seluruh gabungan PH untuk memastikan perubahan itu berlaku. Sekiranya tidak berjaya, maka tidak berjayalah.

Ada pertemuan antara ketua pemuda parti-parti pembangkang?
Kami kekal berbincang dan prosesnya sentiasa berterusan. Saya secara proaktif berjumpa dengan ketua-ketua Pemuda yang lain kerana saya sentiasa berpegang kepada usaha mengarusperdanakan kepimpinan Pemuda. Tetapi untuk ke arah itu, ia tidak harus berfokus kepada Pemuda sahaja tetapi sentiasa bekerjasama dengan semua pimpinan khususnya di peringkat induk.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuching tentang Undi18. Komen?
Saya menyambut baik keputusan mahkamah dan kerajaan juga dikatakan tidak akan merayu untuk menangguhkan keputusan ini. Cuma, isunya apabila masih ada beberapa negeri yang belum meminda undang-undang tubuh negeri atau membenarkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas menjadi calon. Perkara ini tidak boleh dilaksanakan berasingan. Kalau seseorang boleh mengundi pada usia seawal ini, maka layak menjadi calon juga.

Di Perak, kerajaan sudah melaksanakannya lebih awal. Jadi, sekarang kena pastikan semua negeri melayakkan yang berumur 18 hingga 20 tahun boleh menjadi calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Selain itu, kena pastikan kerajaan dan semua pihak memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan kelayakan di usia 18 tahun selewat-lewatnya pada pertengahan tahun depan.

Sempatkah?
Sempat atau tidak kena buatlah. Semasa pentadbiran PH, pindaan Perlembagaan telah berlaku malah kami menggesa untuk dilaksanakan tetapi berlaku pula rampasan kuasa di peringkat Persekutuan. Kenapa ia tidak dilaksanakan oleh kerajaan pentadbir selepas itu?

Dianggarkan 4.2 juta penduduk atau 22 peratus layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih. Komen?
Kita akan terus mengerah seluruh jentera untuk memulakan pendaftaran mengundi. Yang empat juta itu bukan sahaja berumur 18 hingga 21 tahun sahaja, bahkan ada yang sudah melepasi umur tersebut masih belum lagi mengundi sebab kita beranggapan akan ada pendaftaran undi automatik.

Saya sendiri kira-kira dua bulan lalu memang secara rancak dan proaktif membuat pendaftaran pengundi untuk mereka yang berumur 21 tahun ke atas. Adakalanya setiap hari boleh mencecah 60 orang yang mendaftar sebagai pemilih. Jadi, perkara ini akan terus berjalan.

Berapa ramai calon muda pada PRU-15?
Saya mencadangkan sekurang-kurangnya dapat menampilkan 20 peratus golongan muda daripada semua calon pembangkang bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Kita perlu menampilkan sebahagian wajah baharu supaya dapat memperbaharui keyakinan dan memberi kesegaran semula kepada pengundi kerana keyakinan mereka terhadap demokrasi terhadap ahli politik sudah pudar.

Ciri-ciri calon?
Pengalaman politik bagi saya bukan satu syarat utama tetapi kepakaran yang dimiliki walaupun saya sedar kedua-dua aspek ini tidak sentiasa bergerak seiringan bagi calon-calon muda dan baharu.

Kepakaran yang saya maksudkan ialah mahir dalam bidang perubatan yang merupakan hal paling mustahak sekarang dan juga ekonomi, bagaimana golongan muda boleh memulihkan perniagaan kecil dan sederhana.

Mungkin juga fasih berbahasa Melayu seperti YB?
Sudah tentu. Jika mahu menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat DUN atau Parlimen, syarat ini menjadi satu kemestian.

Anak muda sudah bersedia?
Adakah kita bersedia menghadapi Covid-19 dan menggalas tanggungjawab memulihkan penyakit yang berskala besar ini? Adakah kita bersedia menyelesaikan masalah ekonomi dan kemelut politik sejak dua tahun lepas? Adakah kita bersedia menghadapi rampasan kuasa semasa Langkah Sheraton?

Sudah tentu tidak tetapi kita terpaksa menghadapinya kerana inilah arus zaman. Jika sentiasa bertanya ada bersedia atau tidak, sampai bila-bila pun kita tidak akan mara ke hadapan. Jadi, kita wajib bersedia.

Pendidikan politik anak anak muda?
Kenapa mahu tanya begitu untuk anak muda? Adakah soalan ini terpakai untuk golongan yang ‘tidak muda’ tetapi tidak berpendidikan dari aspek politiknya?

Jangka masa pendek dan panjang?
Saya masih berada di peringkat perbincangan dan bertemu secara bilateral dengan pemimpin-pemimpin induk dan sayap-sayap Pemuda. Ini tidak terhad kepada parti-parti komponen PH sahaja bahkan Pejuang, Warisan dan Muda.

Apa perancangan YB dengan Allahyarham Shazni Munir dahulu?
Saya dan arwah mempunyai sejarah perjuangan politik yang lama sebelum saya menjadi Ketua Pemuda DAP lagi. Perjuangan inilah yang memandu kami untuk bergerak ke hadapan.

Kami berdualah antara orang yang menjadi jambatan antara pemimpin utama dalam sesetengah hal ketika berlaku sedikit ‘pergelutan’ dan kelompangan dalam komunikasi antara parti pembangkang.

Misi kami waktu itu juga menggembleng semua parti pembangkang sebagai satu wadah. Kita mahu mengembalikan kekuatan yang pernah dan telah membawa kita ke zaman kegemilangan pada 2018 yang bukan dari aspek kemenangan PH sahaja. Tetapi kekuatan daripada semua pihak atas objektif yang sama menumbangkan kerajaan ketika itu. Ya, sangat bercita-cita tetapi tidak mustahil ia boleh berulang lagi kerana niat itu ada sampai sekarang cuma dengan pendirian berbeza.

Bagaimana nak teruskan misi tidak tercapai ini?
Sudah tentu dengan Akmal Nasir bersama ketua-ketua Pemuda parti pembangkang lain. Saya mahu struktur kepimpinan kami diibaratkan seperti Youth Avengers di mana terdapat satu lapisan kepimpinan yang tidak semestinya hanya dalam sayap masing-masing.

Mereka yang dahulu di jalanan, sekarang sudah berkecimpung dalam politik pengaruh tersendiri dan gabungan mereka ini dengan kepimpinan sayap-sayap akan menampilkan suatu kepimpinan yang memang merangkumi jantina, kepakaran dan pengiktirafan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×