Keistimewaan madu kelulut inap desa Pachitan - Utusan Malaysia

Keistimewaan madu kelulut inap desa Pachitan

BUNANDAR Bakat memungut hasil madu dengan menggunakan mesin penyedut dari bongkah-bongkah kayu yang menjadi sarang lebah kelulut. – utusan/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selain industri perhotelan, inap desa yang bergantung kepada kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara juga terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19. Tidak terkecuali keadaan di Inap Desa Kampung Pachitan, Port Dickson.

Bekas Pengerusi Inap Desa Pachitan, Bunandar Bakat, 65, berkata, situasi itu mendorong dia isteri, Nordi Sadiman, 59, memberi fokus untuk menghasilkan madu kelulut.

Katanya bermula sebagai projek peningkatan ekonomi di bawah Program Desa Lestari yang dahulunya terletak di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan berkembang dengan baik kerana ada permintaan daripada pasaran.

“Ia bermula pada tahun 2013 sebagai projek koperasi dan madu kelulut ini dilihat boleh menjana pendapatan penduduk kampung, selain sebagai aktiviti tambahan buat pelancong selain aktiviti kebudayaan dan jamuan makanan.

“Pada waktu itu saya telah menerima 30 bongkah dan telah dihantar menghadiri kursus di Lenggong, Perak. Pada awalnya memang saya menghadapi masalah seperti lebah kelulut ini lari kerana keadaan persekitaran yang tidak sesuai dan juga gangguan serangga serta cicak dan semut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MADU kelulut.

Kata Bunandar, hasil daripada pengalaman, masalah itu kemudian dapat diatasinya dan kini dia mampu menghasilkan sekurang-kurangnya empat kilogram madu kelulut sebulan daripada 17 bongkah yang masih diusahakan.

“Alhamdulillah, permintaan sentiasa ada malah kadangkala tidak cukup dan saya perlu pula mendapatkannya daripada pengusaha-pengusaha lain di kampung ini.

“Saya kemudian akan memproses madu kelulut ini dan dibotolkan mengikut kuantiti 175ml bagi setiap botol dan dijual pada harga RM40 sebotol,” katanya lagi.

Tambahnya, ketika ini dia hanya mengusahakan madu kelulut itu berdua bersama isterinya di rumah, namun mempunyai perancangan untuk meningkatkan lagi pengeluaran madu tersebut.

“Kami memang tiada pekerja, kami berdua sahaja yang mengusahakannya. Kami yang membotolkannya dan kami juga yang menyedut madu dari bongkah.

“Madu kelulut ini memang banyak potensi, tiada masalah pasaran, kami tadi keluar menjual sebaliknya pelanggan yang datang ke sini membeli dan mendapatkannya dari kami, memang selalu kami kehabisan stok.

“Saya merancang untuk meningkatkan lagi kuantiti pengeluaran dan sebelum ini ada bertemu pihak Jabatan Pertanian dan mereka ada memberitahu untuk membantu menambah bongkah kelulut ini, dan insya-Allah saya akan besarkan lagi perusahaan ini kelak,” katanya.

Keunikan rasa madu kelulut
Rasa madu kelulut yang dihasilkan adalah banyak bergantung kepada sumber makanan yang ada di kawasan persekitaran lebah kelulut tersebut.

Nordi Sadiman berkata, madu kelulut hasil bongkah yang terdapat di rumahnya mempunyai rasa yang pelbagai malah ada rasa manis bercampur rasa sedikit masam dan sedikit pedas.

NORDI Sadiman menyedut madu daripada bongkah kayu yang menjadi sarang kelulut yang diternaknya.

“Ia bergantung kepada pokok-pokok yang menjadi sumber makanan lebah kelulut ini. Di sini kami ada tanam banyak pokok buah-buahan seperti belimbing dan pokok bunga seperti ‘air mata pengantin’ yang merupakan kegemaran kelulut.

“Selain itu ada juga pokok-pokok cili dan kemungkinan itu yang menyebabkan ada rasa pedas sedikit. Apa yang lebih kita kena sediakan persekitaran yang kondusif supaya kelulut ini dapat aktif dan sumber makanannya banyak,” katanya.

Sementara itu, tambah Bunandar, pernah suatu ketika, madu kelulut yang dihasilkan mempunyai rasa seperti laici dan ia dipercayai hasil daripada pokok-pokok kelapa yang terdapat di kawasan sekitar.

“Semasa pokok kelapa di sini masih rendah, memang madu kelulut rasa seperti laici, sangat enak. Tapi kini jarang ia sudah rasa seperti itu lagi ekoran pokok-pokok kelapa yang sudah semakin berkurangan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, penghasilan madu kelulut juga banyak bergantung kepada keadaan cuaca iaitu sama ada semasa musim hujan dan panas.

“Sememangnya kalau musim hujan, kelulut kurang menghasilkan madu malan tidak keluar bekerja dan ia makan madu yang disimpan dalam bongkah-bongkah tersebut.

“Sebaliknya pula jika musim panas, memang banyak madu dapat dihasilkan. Bunga-bunga juga banyak dan hasil dibawa oleh kelulut ke dalam bongkah juga banyak,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×