KUALA LUMPUR: Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) yang dilancarkan kelmarin tidak berupaya menggugat parti-parti politik sedia ada atau menjejaskan pola pengundian jika bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik daripada Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, Kuasa Rakyat sukar menembusi segmen pengundi tanpa berlaku peristiwa penting seperti gerakan reformasi yang membawa kepada pembentukan PKR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999.
“Parti ini akan teruji apabila tiba pilihan raya. Biasanya, parti sebegini ideologinya masih tidak jelas dan kepimpinannya tidak menonjol. Jadi, kita bergantung kepada tokoh-tokoh yang menampilkan kuasa rakyat yang sebenar.
“Keyakinan itu perlu seiring dengan penerimaan rakyat dan undi. Adakah idea dibawa parti sesuai dengan selera pengundi? Adakah benar Kuasa Rakyat ini memperjuangkan rakyat marhaen atau sekadar retorik? Ini bagi saya masih belum jelas,” katanya ketika dihubungi semalam.
Senada dengan beliau, penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, jangka hayat politik Kuasa Rakyat akan ditentukan selepas pilihan raya sama ada parti itu mampu menang atau tidak.
Katanya, kelangsungan parti itu juga bergantung kepada bagaimana mereka berusaha menarik lebih ramai ahli baharu khususnya golongan kenamaan dan pempengaruh media sosial.
“Kalau kebanyakan daripada parti ini adalah berumur 60 hingga 70 dan tidak dikenali sangat, susah untuk mereka berkembang. Memang dalam negara demokrasi adalah dialukan, namun Kuasa Rakyat harus sedar hakikat ini,” katanya.
Presiden Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yacob berkata, partinya berkonsepkan Nasionalisme Marhaenisme yang memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda.
Penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bilcher Bala pula ragu-ragu sejauh mana keupayaan parti itu mendapat sokongan daripada golongan berpendapatan rendah (B40).
Hal itu kerana, katanya, perjuangan dalam politik negara lebih ke arah golongan atasan dan kelas menengah manakala di bawah daripada peringkat itu hanya mengikut corak politik yang berlaku, sekali gus tidak dapat mengubah sebarang keadaan.
“Kalau mereka setakat berjuang untuk demokrasi bolehlah, tetapi kalau perjuangkan hak sosialis, saya tidak nampak adanya peluang ke arah ini. Bagaimana mungkin Kuasa Rakyat mencari pemimpin daripada golongan B40? Adakah mereka diberi peluang untuk memimpin?,” soalnya. -UTUSAN








