KUALA LUMPUR: Status pendaftaran Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) berbeza dengan situasi yang dihadapi oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) diasaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob berkata, partinya bergabung dengan parti politik sedia ada yang sudah didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Menurutnya, MUDA pula baru memohon untuk didaftarkan secara rasmi sebagai pertubuhan politik berdaftar.
“Kuasa Rakyat bergabung dengan parti yang sudah ada pendaftaran, cawangan dan bahagian. Apabila bergabung dengan kami, parti itu akan ditukar nama kepada Kuasa Rakyat.
“Nanti, kami akan memimpin parti itu, nama parti itu akan ditukar kepada Parti Kuasa Rakyat. Kalau bahasa mudah, saya ambil parti sedia ada, tukar nama, tukar kepimpinan.
“Tetapi, saya tidak boleh dedahkan apakah parti tersebut dan biarlah rahsia ketika ini. Namun, parti ini mesra kerajaan dan kalau jangka panjang, kami diterima menjadi Barisan Nasional (BN), kami akan jadi BNlah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran penaja Parti Kuasa Rakyat di The Diplomat, Perkarangan Tun Ismail, di sini semalam.
Dalam ucapannya, Kamarazaman berkata, partinya berkonsepkan Nasionalisme Marhaenisme yang memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda.
Parti itu akan bersuara, bergerak dan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan berkenaan dan anak muda selain menumpukan kepada pendidikan percuma, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan, petani, kelestarian alam sekitar dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ‘orang tengah dan modal kaum’.
Februari lalu, RoS menolak pendaftaran MUDA atas alasan permohonan tidak teratur. -UTUSAN








