MUKADIMAH
ISU lompat parti dalam kalangan ahli politik negara ini seumpama satu trend setiap kali bertukar kerajaan. Ia sama ada melompat ke parti lain atau balik semula ke ‘rumah’ asal. Pelbagai hemat dilontarkan bagi mewajarkan tindakan itu.
Terbaharu, bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Putrajaya, DATUK SERI DR. ERWAN MOHD. TAHIR mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta dan kembali menyertai UMNO.
Bagaimanapun, kepulangan semula bekas pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO itu menimbulkan kontroversi selepas kepimpinan Bersatu mendakwa Erwan telah pun meletakkan jawatan sejak Oktober tahun lalu selepas kalah dalam pemilihan jawatan Naib Presiden Bersatu.
“Saya hanya letak jawatan dan bukannya keluar parti. Saya menyertai UMNO semula tanpa sebarang syarat. Saya bukan menyertai UMNO kembali dengan apa-apa jawatan. Saya hanyalah ahli biasa,” tegasnya.
Kepada bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, Erwan mengulas lanjut isu itu di Putrajaya, baru-baru ini.
UTUSAN: Difahamkan Datuk meninggalkan Bersatu sejak Oktober tahun lepas. Mengapa?
ERWAN: Saya tidak keluar dari parti pada Oktober 2020 tetapi hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya pada waktu itu bagi menumpukan perhatian kepada perniagaan. Perkara ini juga dinyatakan secara jelas dalam kenyataan akhbar rasmi Bersatu Putrajaya sejurus saya meletak jawatan.
Walaupun saya hanyalah sebagai ahli parti yang tidak lagi memegang jawatan, saya masih lagi mengutarakan isu serta komen-komen membina supaya pemimpin Bersatu dapat menambah baik aspek-aspek pentadbiran negara dan kebajikan rakyat khususnya kepada ahli-ahli Bersatu di seluruh negara kerana parti tersebut masih lagi merupakan parti komponen dalam kerajaan.
Saya masih terus menjadi ahli Bersatu dan tetap bekerja untuk parti sehinggalah saya mengumumkan keluar parti pada 1 Oktober 2021 bagi menyertai UMNO setelah hampir setahun meletakkan jawatan Ketua Bahagian.
Saya keluar dari Bersatu secara baik tanpa sebarang kenyataan kurang manis ditujukan kepada parti mahupun mana-mana pucuk pimpinan. Cuma saya agak terkilan apabila media rasmi Bersatu mengeluarkan kenyataan mengelirukan apabila menyatakan saya keluar parti pada tarikh sama saya meletakkan jawatan dan mengatakan saya letak jawatan sejurus saya tewas dalam pemilihan Bersatu. Walhal keputusan pemilihan Bersatu adalah pada 22 Ogos 2020 iaitu dua bulan lebih awal dari tarikh saya meletak jawatan.
Kenapa selepas setahun dan setelah kerajaan bertukar di bawah pimpinan UMNO, barulah Datuk buat keputusan kembali kepada UMNO?
Saya menyertai Bersatu dahulu untuk menyertai usaha pembaharuan dalam arena politik dan memelihara kepentingan orang Melayu. Itu tujuan utama saya.
Bagaimanapun, setelah melalui dan membandingkan tiga zaman berbeza iaitu semasa UMNO-Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) diterajui pimpinan Bersatu dan kini kerajaan di bawah UMNO, saya nampak dengan jelas bahawa rakyat mahu kembali kepada zaman kemakmuran di bawah teraju kepimpinan UMNO.
Walaupun kerajaan sekarang masih lagi terikat dengan sokongan serta perkongsian kuasa dengan parti-parti lain iaitu Bersatu sendiri, Pas serta parti-parti di Sabah dan Sarawak, tetapi ternyata sudah ada penambahbaikan ketara dirasai rakyat.
Dahulu banyak desakan dan cadangan UMNO kepada kerajaan tidak diendahkan, walaupun merupakan parti terbesar dalam gabungan kerajaan PN. Kini banyak perkara mula dilaksanakan setelah kerajaan kembali diterajui UMNO.
Saya kembali kepada UMNO atas keyakinan mendalam kepada parti keramat ini. Setelah melihat dan membuat perbandingan bagaimana UMNO menerajui kerajaan selama lebih 60 tahun, seterusnya menjadi pembangkang efektif di bawah kerajaan PH, menjadi pengkritik konstruktif dalam kerajaan diterajui parti lain (PN) dan kini UMNO menerajui kembali kerajaan.
Bagaimana UMNO berjaya membawa kembali keharmonian demokrasi di dalam negara kita? Saya percaya keputusan saya menyertai semula UMNO dapat dihormati semua pihak termasuk rakan-rakan yang masih berada di dalam Bersatu. Saya sangat mengimpikan suatu demokrasi yang matang.
Sesungguhnya UMNO adalah satu-satunya parti tunjang untuk orang Melayu. Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak, saya yakin rakyat akan memberi mandat dengan memilih UMNO dan BN sebagai kerajaan terbaik untuk mentadbir negeri dan negara. Selain itu, usaha UMNO dalam rejuvenate (aktif semula)parti juga adalah satu langkah paling berkesan dalam pelan transformasi UMNO terutamanya bagi pengundi muda.
Tindakan kembali semula kepada UMNO menimbulkan tanggapan Datuk mempunyai kepentingan peribadi. Benarkah?
Saya meletakkan jawatan Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya pada 10 Oktober 2020. Pada waktu itu, Bersatu berada di puncak kuasa dan pengaruh. Tiada sesiapa menyangka Tan Sri Muhyiddin Yassin akan turun dari jawatan Perdana Menteri. Tiada siapa menjangkakan perkara ini.
Kalau saya memikirkan kepentingan peribadi atau jawatan, kenapa saya sanggup melepaskan jawatan Ketua Bahagian Putrajaya ketika itu? Dan saya rasa, saya satu-satunya ahli Bersatu yang berani menulis surat menyeru peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sewaktu beliau masih lagi memegang jawatan itu.
Waktu itu saya tidak terfikir tentang kepentingan peribadi tetapi memikirkan kepentingan negara dan orang ramai. Itu lebih penting bukan? Dengan masalah ekonomi yang membebankan kehidupan dan kesejahteraan rakyat, pada saya, “My country, right or wrong? If right, to be kept right, and if wrong, to be set right.”
Saya menyertai UMNO semula tanpa sebarang syarat. Saya bukan menyertai UMNO kembali dengan apa-apa jawatan. Saya hanyalah ahli biasa.
Selain Datuk, terdapat 120 lagi ahli Bersatu Bahagian Putrajaya turut meninggalkan parti. Mengapa?
Mereka juga mulai hilang keyakinan terhadap Bersatu. Pada pendapat saya, mereka juga hilang kepercayaan kepada pimpinan Bersatu Putrajaya yang baharu selepas saya meletakkan jawatan dan saya juga ada dimaklumkan beberapa lagi masalah dalaman lain. Saya tidak mahu komen tentang hal itu kerana saya bukan lagi ahli Bersatu.
Bagaimanapun, saya rasa saya sudah memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik untuk Bersatu dan ahli-ahlinya di Putrajaya sepanjang saya memegang jawatan Ketua Bahagian. Kawasan Putrajaya adalah unik kerana majoriti penduduk dan pengundi adalah penjawat-penjawat awam atau ahli-ahli keluarga mereka. Mereka merasai sendiri bekerja dan melaksanakan polisi di bawah teraju kepimpinan berbeza, UMNO-BN, PH, Bersatu dan kini UMNO semula.
Rata-rata penduduk dan pengundi Putrajaya gembira apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri baru-baru ini. Ahli-ahli Bersatu yang turut keluar parti tersebut adalah di peringkat akar umbi dan mereka mendapat maklum balas dari peringkat bawahan hinggalah ke atas.
Apa strategi Datuk dengan kembalinya kepada UMNO bagi mengukuhkan lagi pasukan UMNO Bahagian Putrajaya untuk terus mengekalkan kerusi sekali gus menggagalkan peluang Bersatu merampas kerusi di sini?
Saya melihat sendiri hasil kerja dan banyak inisiatif Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selama ini sebagai Ahli Parlimen Putrajaya dari UMNO kepada penduduk Putrajaya. Rata-rata pengundi di sini berpuas hati dengan usaha kerja beliau selama ini sebagai wakil rakyat.
Saya dan bekas ahli-ahli Bersatu akan terus membantu Ku Nan (Tengku Adnan) agar UMNO dapat terus mengekalkan kerusi Putrajaya. Saya yakin ramai pengundi lebih merindukan zaman UMNO-BN menerajui kerajaan. Saya akan memberi khidmat bakti kepada UMNO Putrajaya dan Ku Nan dalam memastikan BN Putrajaya terus mengekalkan kerusi tradisi ini dalam PRU-15 nanti.
Saya sedia maklum, kerusi Putrajaya yang menjadi kerusi tradisi UMNO mahu ditandingi Bersatu selepas dicadang pucuk pimpinannya sebagaimana PRU-14 lalu.
Bagaimanapun, saya yakin calon yang dicadangkan Bersatu bukanlah satu nama yang mampu menjadi tandingan serta menggugat kedudukan Ku Nan yang dikenali sebagai ketua kampung.
Adakah Bersatu tidak mampu berdiri kukuh di Putrajaya?
Bagaimana nak berdiri, kalau kaki pun sudah tiada? Putrajaya adalah kerusi pentadbiran negara. Jika dilihatkan pencapaian semua parti yang pernah menerajui kerajaan, UMNO lebih diterima ramai terutamanya dalam kalangan kakitangan awam di Putrajaya.
Bersatu berpeluang menerajui Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali, iaitu di zaman PH dan zaman PN. Di waktu PH memerintah, Bersatu menjadi PM (Perdana Menteri) dan UMNO menjadi pembangkang yang sangat efektif.
Seterusnya Bersatu menjadi PM, UMNO menjadi pengkritik konstruktif walaupun banyak cadangan dan laungan UMNO tidak diendahkan kerajaan yang didominasi Bersatu serta parti-parti lain.
Kini UMNO menerajui kerajaan semula. Walaupun masih baharu dan tetap banyak kekangan parti-parti lain, tetapi kita dapat lihat perubahan ketara dari sudut polisi dan penambahbaikan usaha kebajikan rakyat.
Saya sangat yakin UMNO akan tetap kekal sebagai wakil rakyat Putrajaya di Parlimen pasca PRU-15.










