BUKAN semua mampu membina keyakinan mencecahkan lutut ke permukaan jalan sewaktu meluncur menyelusuri selekoh. Malah kemahiran itu juga sukar dikuasai oleh penunggang motosikal lelaki.
Namun, itulah keberanian yang dipamerkan seorang penunggang muda, Nuraina Halisya Hamiruddin. Beliau memilih aktiviti lasak itu sebagai sukan pilihan dan turut menjadikan platform itu untuk membina namanya.
Untuk membina keyakinan dan keberanian di atas litar lumba, anak sulung daripada empat beradik itu berhadapan cabaran pertamanya iaitu meyakinkan kedua ibu bapanya untuk menyertai sukan permotoran.
Pelumba gadis berusia 22 tahun itu memberitahu, tidak mudah untuk meminta ‘restu’ daripada kedua orang tuanya. Apatah lagi sukan yang disertainya bukanlah lazim dalam kalangan wanita di negara ini. Malah permotoran juga diketahui umum sebagai sukan ekstrem dan risikonya cukup besar.
“Bayangkan, saya ketika itu masih lagi bersekolah di tingkatan tiga dan memberitahu emak dan ayah untuk menjadi seorang pelumba motosikal. Tiada ibu bapa dalam dunia ini begitu mudah untuk membenarkan anak perempuan mereka menyertai sukan ekstrem seperti ini,” katanya.

Nuraina Halisya yang dikenali rakan dengan panggilan Aina itu memberitahu, minatnya terhadap arena permotoran bermula apabila melihat beberapa gambar wanita lengkap dengan sut perlumbaan bersama motosikal mereka ketika berada di rumah bapa saudaranya.
Menurutnya, minat terhadap lumba motosikal bermula dari situ apabila pada awalnya dia tidak menyangka sebenarnya ada pelumba kenderaan dua roda itu dalam kalangan wanita dan terus berazam mahu menjadi seperti mereka.
“Tidak mudah untuk yakinkan ibu bapa, apatah lagi bapa saudara yang kini menjadi jurulatih pun pada awalnya menolak permintaan saya untuk menjadi seorang pelumba kerana saya adalah seorang perempuan.
“Cuma ketika itu, mereka tahu saya sudah boleh menunggang motosikal sejak berusia 12 tahun lagi. Tetapi, saya rasa akhirnya mereka menerima dan membenarkan saya jadi pelumba mungkin sebab sikap saya sendiri yang tidak terjebak dengan aktiviti seperti ‘rempit’.
“Kemudian pada usia 15 tahun itulah saya mula mempelajari sukan permotoran dengan menggunakan motosikal jenis Yamaha Lagenda 110. Ketika itu saya tiada motosikal untuk berlumba. Yang ada hanyalah bagi kegunaan harian.
“Kemudian, bapa saudara membenarkan saya menggunakan motosikal miliknya yang diubah suai khas untuk kegunaan dalam litar,” ujarnya.
Aina menambah, bukan mudah untuk menjadi seorang pelumba motosikal, kerana dia perlu belajar perkara asas dalam perlumbaan selama berbulan-bulan.
Katanya, setiap pelumba perlu mempersiapkan keyakinan mental dan fizikal untuk mengemudi jentera dengan batasan kelajuannya hanya pada keupayaan enjin.
“Menunggang motosikal di atas jalan raya berbanding dalam litar tidak sama. Dalam litar kita perlu ingat kelajuan adalah tanpa had, tetapi dalam masa sama perlu memahami aspek teknikal dan keselamatan dalam litar.
“Malah saya berlatih selama enam hingga 12 bulan untuk benar-benar mahir cara mengendalikan kelajuan motosikal ketika dalam litar.
“Bila waktu hendak turunkan gear, tekan brek, memecut laju dan sebagainya. Jatuh dan cedera itu sudah jadi perkara biasa.
“Kemudian, pada umur 14 tahun, baharulah saya benar-benar mahir menyelusuri selekoh dalam litar pada kelajuan tinggi dan pada usia itu jugalah saya berjaya menjejakkan lutut ke permukaan jalan atau apa yang dipanggil oleh peminat motosikal sebagai ‘meleper’,” katanya.
Walau bagaimanapun, pada usia itu pelumba berasal dari Kayu Ara, Damansara itu tidak boleh menyertai sebarang kejohanan utama sehinggalah usianya 17 tahun kerana tidak ada lesen motosikal.
Justeru, dalam tempoh itu dia lebih banyak menghabiskan masa dengan meningkatkan kemahiran dalam litar serta mempersiapkan diri untuk mencapai cita-citanya iaitu menyertai perlumbaan sebenar.
“Kali pertama saya menyertai perlumbaan adalah ketika usia 17 tahun dengan memasuki Cub Prix Yamaha Lagenda 110. Tetapi perjalanan untuk sampai ke perlumbaan itu tidak mudah kerana memerlukan belanja yang banyak.
“Bagaimanapun, keluarga menyokong minat saya sementara tempat latihan pula iaitu Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor (LLRKS) tidak mengenakan cas yang tinggi.
“Di situlah saya lahir dan membina kerjaya sukan permotoran dengan menyertai pelbagai perlumbaan tempatan.
“Apabila sudah menerpa pelbagai kejayaan dalam perlumbaan dan pernah juga menaiki podium, baharulah ada tajaan kepada saya untuk berkembang dalam arena ini. Penajanya adalah syarikat
Keropok Getel,” katanya menginspirasikan kejayaan pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah.

JANGAN BERLUMBA DI JALANAN
Kemalangan adalah risiko yang sama apabila berada di atas jalan raya dan dalam litar lumba. Namun dari sudut keselamatan, litar lumba lebih terjamin berbanding menjadi berlumba secara haram di jalanan.
Aspek tersebut sangat ditekankan Aina yang memilih untuk tidak terikut-ikut dengan budaya remaja sebayanya menonjolkan kemahiran dan beraksi di atas jalan raya.
“Menunggang atas jalan raya dan dalam litar tidak sama. Dalam litar lebih selamat kerana di situ hanya ada kita dan pelumba-pelumba lain, berbanding atas jalan raya kita berhadapan dengan pengguna lain.
“Kalau cuai, bukan kita sahaja yang menanggung akibatnya, malah boleh mendatangkan risiko kepada pengguna lain di jalan raya. Saya pilih berada dalam litar sebab di situlah kebebasan sebenar,” katanya.

Gadis yang bekerja sebagai rider penghantar barang itu berkata, aspek yang penting dalam perlumbaan bukanlah kelajuan dan kemenangan semata-mata. Sebaliknya pendidikan keselamatan ketika menunggang motosikal.
Keselamatan adalah perkara yang amat dititikberatkan sama ada dalam litar lumba ataupun di jalan raya biasa.
“Di atas jalan raya ataupun dalam litar, bila menunggang motosikal tak sah kalau tak jatuh. Tetapi, bila kita jatuh dalam litar lumba baharu kita tahu betapa pentingnya pendidikan keselamatan jalan raya.
“Bila menunggang secara melulu atau terlibat dalam lumba haram di atas jalan raya, bila berlaku kemalangan kesannya adalah luka pada anggota badan, kemudian dilindungi insurans ataupun tidak.
“Berbanding dalam litar, kita diajar aspek keselamatan seperti pemakaian helmet berpenutup penuh, jaket keselamatan lengkap dengan pad pada bahagian lutut, sikut, belakang dan dada.
Kemalangan boleh berlaku tetapi kesakitannya dapat dikurangkan. Paling penting mestilah dilindungi insurans,” tuturnya.
Justeru, Aina menasihatkan rakan-rakan sebaya yang meminati sukan motosikal menunjukkan kemahiran dan keupayaan dalam litar dijamin lebih selamat.
“Malah, kalau kita mempunyai attitude yang baik dan benar-benar minat dalam sukan pemotoran, banyak kelab mencari pelumba muda untuk mewakili mereka dalam perlumbaan pelbagai peringkat,” katanya.
INFO
» Nama: Nuraina Halisya Hamiruddin
» Umur: 22 tahun
» Tarikh lahir: 17 April 1999
» Zodiac: Aries
» Makanan kegemaran:
Kue tiau goreng
» Hobi: Bercuti
» Motosikal: Yamaha Lagenda 110 (69)
» Motosikal idaman: Hypermotard Ducati
» Pencapaian: No. 11 dalam Malaysian Cub Prix 2019 Litar Sepang
» Cita-cita: Beraksi di peringkat Asia dan di Eropah
» Facebook: Aina Halisya
» Instagram: ainahalisya.k








