Arang tempurung lubuk rezeki suami isteri mualaf - Utusan Malaysia

Arang tempurung lubuk rezeki suami isteri mualaf

PASANGAN suami isteri, Azman Tamilselvan Abdullah dan Aisyah Chang menjana pendapatan dengan menghasilkan arang daripada tempurung kelapa terbuang di Kampung Kundur, Gua Musang. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sepasang suami isteri mualaf di Kampung Kundur di sini memanfaatkan tempurung kelapa terbuang di bandar ini untuk menghasilkan kira-kira empat tan arang sebulan.

Orang lain menganggap tempurung kelapa sebagai sampah namun tidak bagi Azman Tamil­selvan Abdullah, 40, dan isteri­nya, Aisyah Chang, 38, yang me­­­­ra­ih pendapatan sekitar RM4,000 sebulan sejak melakukan kerja-kerja itu tiga tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azman berkata, mereka berdua mendapat idea menghasilkan arang itu selepas melihat ribuan tempurung kelapa dibuang peniaga santan setiap hari dan terbiar begitu sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mula menceburi bidang pembuatan arang tempurung kelapapada 2018 selepas belajar melalui rakan-rakan, selain menambah ilmu berkaitan penghasilan arang dengan menonton YouTube.

“Lama-kelamaan kami berjaya mencari pembeli tetap sehingga pendapatan kami juga meningkat dari RM2,000 kepada RM4,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kundur di sini baru-baru ini.

Azman berkata, arang tempurung kelapa dihasilkan melalui proses pembakaran tertutup menggunakan tong logam dan mengambil masa kira-kira dua hari untuk benar-benar hangus terbakar.

Proses itu katanya, tidak melibatkan kos tinggi dan ha­nya dilakukan di kawasan tanah lapang dalam kebun sayur milik mereka.

“Arang tempurung kelapa menjadi pilihan pelanggan kera­na dikatakan lebih bersih dan murah berbanding arang kayu selain memelihara alam sekitar kerana mengurangkan penggunaan kayu hutan,” katanya.

Aisyah pula memberitahu, penghasilan arang perlu melalui beberapa peringkat merangkumi proses pemanasan dan pembakaran sehinggalah proses pengeringan tempurung kelapa yang siap dibakar.

Katanya, arang yang diha­silkan itu dibekalkan kepada pengilang di Selangor dan Kuala Lumpur sebelum dieksport ke luar negara sebagai bahan utama dalam pembuatan produk kosmetik atau bahan bakar shisha.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×