PANDEMIK melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan banyak sektor hingga menyebabkan lebih 800,000 orang hilang mata pencarian.
Dalam banyak angka itu, Thariq Fadhli Mohamed Munir, antara nama termasuk dalam senarai dibuang kerja dari syarikat pengurusan acara yang disertai sejak lebih lapan tahun lalu.
Ketentuan itu dirasakan amat menyiksakan. Lebih-lebih lagi pemuda berusia 28 tahun itu baru saja mendirikan rumah tangga dengan Nur Shereen Mohd. Redzuan, 30, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tahun lepas.
Enggan menganggap ia sebagai pengakhiran atau noktah dalam hidupnya, Thariq sebaliknya bangkit meneruskan kehidupan dengan membangunkan produk makanan iaitu biskut cornflakes bersalutkan coklat, Choco Munchies.
Siapa sangka, resipi keluarga yang diusahakan April tahun lalu, kini membuahkan hasil dengan catatan jualan bulanan melebihi enam angka sebulan.
JUAL BUAH
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Choco Munchies itu berkata, bermodalkan RM50, selepas setahun jualan produk ini boleh mencecah RM100,000 setiap bulan.
“Saya memang bercita-cita mahu menjadi ahli perniagaan. Namun selepas tamat persekolahan dan ketika menyambung pengajian, saya terus timba pengalaman bekerja dengan syarikat pengurusan acara.
“Bila sudah bekerja, memang saya tiada idea untuk berniaga malah masa juga sangat terhad. Hanya bila diberhentikan kerja, saya dapat idea menubuhkan perniagaan,” katanya.
Choco Munchies ada empat perisa iaitu Original, Berry Berry White (cornflakes yang disaluti coklat putih dan kepingan buah kranberi), Choco Nutty (cornflakes disaluti susu coklat dan kacang badam panggang) serta Choco Berries (cornflakes disaluti strawberi coklat dan kranberi) berharga antara RM25 dan RM32 (400 gram).
Siswazah Sarjana Muda Sumber Manusia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu berkata, dapur di rumah ibunya, Ruslaini Hitam, 66, banyak berjasa sewaktu memulakan proses Choco Munchies.
Selepas enam bulan bekerja dari dapur ibu, Alhamdulillah syarikat mampu membuka pejabat di Seksyen 9, Shah Alam.
Thariq tidak menyangka hikmah pandemik membolehkan impiannya sejak kecil untuk menjadi seorang ahli perniagaan akhirnya tercapai.
ZERO KE HERO
Melengkapkan diri dengan ilmu keusahawanan, Thariq mengikuti kelas keusahawanan untuk memastikan perniagaannya berada pada landasan yang betul.
Antara kelas disertai adalah program eUsahawan di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Saya turut melangkah lebih jauh untuk melengkapkan diri dengan mempelajari skill set atau kemahiran yang perlu ada pada seseorang pengasas atau ketua pegawai eksekutif terutama aspek kepimpinan dan pengurusan,” katanya.
Berkongsi pengalaman, katanya pada peringkat awal dia melakukan semua tugas daripada menguruskan media sosial, pemasaran hinggalah ke jualan.
Namun kini dia boleh bernafas lega dengan bantuan daripada 10 staf terdiri daripada pekerja sepenuh masa dan sambilan termasuk bahagian pengeluaran, pengurusan dan pemasaran.
KELUARGA PENIAGA
Sungguhpun mempunyai ahli keluarga yang menjalankan perniagaan, namun itu bukan tiket mudah untuk Thariq membina empayar perniagaannya.
Beliau sebaliknya banyak mendapatkan tunjuk ajar dan menjadikan mereka sebagai sumber inspirasi untuk mendaki puncak kejayaan.
“Kakak saya, Rafizah Mohamed Munir (41 tahun) mengusahakan resort di Pulau Perhentian, Terengganu manakala arwah abang, Mohamad Shahnaz Fadhli Mohamed Munir pula mula berniaga ketika berumur 20 tahun. Dia meninggal dunia disebabkan allergy reaction pada 2010 ketika usianya 24 tahun.
“Dari usia kanak-kanak lagi saya melihat mereka begitu fokus dan memberi komitmen sepenuhnya terhadap bisnes. Tanpa sedar situasi itulah yang membuatkan saya terdorong untuk sama memiliki perniagaan sendiri,” katanya.

Kata Thariq, minatnya menceburi diri dalam dunia bakeri antara faktor tarikan tertubuhnya perniagaan Choco Munchies.
“Dari kecil lagi saya pernah bertekad, kalau nak berniaga saya mahu yang menjurus kepada makanan kerana saya memang suka membuat kek. Malah saya percaya produk makanan mampu pergi jauh,” katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik itu juga tidak mensia-siakan bakat yang ada. Dia mengambil peluang menghasilkan produk makanan sewaktu pandemik iaitu sewaktu orang ramai berada di rumah.
Beliau turut menggunakan sistem ejen untuk membantu orang lain yang turut terkesan sepertinya akibat hilang pekerjaan dan sukar untuk mendapatkan kerja baharu.
“Ramai yang hilang kerja ketika pandemik dan mereka gigih mencari pendapatan. Tetapi tidak semua orang boleh buat produk sendiri dan jual.
“Jadi, dengan menjual produk orang lain, sedikit sebanyak mereka dapat menjana pendapatan sampingan sementara mencari pekerjaan lain,” katanya.
Menariknya, ejen di bawah jenama itu bukan sahaja disediakan produk tetapi turut diperkasa dengan latihan bagi meningkatkan kemahiran mereka menjalankan perniagaan dalam talian. Copywriting, mencipta kandungan menarik dan skill set antara kemahiran perlu bersaing dalam perniagaan berasaskan maya.
Hingga kini Choco Munchies mempunyai lebih 100 ejen di seluruh Malaysia dan berharap ramai lagi tampil sebagai ejen.

PERNAH KENA TIPU
Menyentuh mengenai cabaran, walaupun baru setahun jagung beroperasi Choco Munchies turut berdepan beberapa cabaran antaranya jualan menurun akibat tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terlalu lama.
“Saya faham, orang tidak akan membeli barangan atau makanan yang berharga lebih RM20 terutama ketika pandemik dan PKP. Jadi, saya buat keputusan untuk keluarkan paket Fun Size (180 gram) yang murah dan mampu milik berharga antara RM13 dan 17,” katanya.
Selain itu, Thariq berkata, beliau tidak pernah terfikir bahawa produk seperti Choco Munchies boleh rosak apabila sampai kepada ejen terutama musim panas dan memerlukan proses yang betul untuk aspek pembungkusan.
“Bila pos pada ejen, coklat mencair menyebabkan 100 balang rosak. Produk Choco Munchies berasaskan coklat dan baharulah kami sedar ia tidak boleh terdedah dengan panas.
“Penghantaran sebelum ini tiada masalah kerana ketika itu musim hujan. Jadi, daripada situ saya mencari jalan dan membuat kajian cara penghantaran produk coklat dengan betul. Saya belajar dalam talian untuk membuat penghantaran produk coklat ini yang perlu menggunakan Insulated Thermal Bag, meletakkan juga pek ais di dalamnya serta flat film supaya dapat menahan haba daripada masuk ke dalam kotak,” katanya.
Walaupun mempunyai cabaran dalam pembungkusan, namun Thariq tidak menukar resipi Choco Munchies kerana ia boleh memberi kesan pada rasa dan kualiti.
Ditipu pembekal sering menjadi pengalaman pahit buat usahawan, begitu juga Thariq yang turut menjadi mangsa mereka apabila barang yang ditempah tidak sampai apabila sudah dibayar.
Belajar daripada kesilapan, Thariq kini lebih berhati-hati dan memperoleh barang yang ditempah melalui pembekal dipercayai sahaja.
Berhubung perancangan masa depan, beliau berhasrat mengeluarkan beberapa produk lagi di bawah Choco Munchies dan mengimpikan mempunyai sebuah kilang supaya dapat mengeksport jenama biskutnya ke luar negara terutama negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand.
“Saya percaya di sana pasaran lebih luas. Saya sangat teruja untuk bawa jenama terus ke hadapan,” katanya.











