5 hingga 19% kawasan di Malaysia tiada internet - Utusan Malaysia

5 hingga 19% kawasan di Malaysia tiada internet

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dianggarkan lima hingga 19 peratus kawasan berpenduduk di negara ini tiada liputan internet.

Daripada jumlah kawasan lompong rangkaian 4G itu, 5.97 peratus melibatkan kawasan berpenduduk di Semenanjung manakala Sabah 16.87 peratus dan Sarawak 19.16 peratus.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, secara umumnya, kawasan-kawasan yang masih belum menerima liputan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G ini adalah kawasan pedalaman seperti kawasan penempatan orang asli, kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, beliau berkata, kadar liputan jalur lebar mudah alih di Sabah dan Sarawak menunjukkan peningkatan iaitu 83.13 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding 73.41 peratus pada September 2020, manakala di Sarawak pula sebanyak 80.84 peratus berbanding hanya 73.67 peratus pada tempoh sama.

Terdapat juga kelompongan liputan di kawasan bandar atau di kawasan perumahan baharu yang jauh daripada liputan sedia ada atau disebabkan bentuk muka bumi berbukit dan mempunyai bangunan tinggi yang menyebabkan isyarat dari stesen sedia ada terhalang.

“Untuk itu, SKMM menjalankan analisis liputan bagi mengenal pasti kawasan berpenduduk yang masih tidak mempunyai capaian talian mudah alih.

“Kerajaan melaksanakan Pe­lan Jalinan Digital Negara (Jendela) iaitu pelan lima tahun pada September 2020 sehingga tahun 2025 bagi memastikan semua kawasan berpenduduk mendapat liputan mudah alih,” katanya di sini semalam.

Annuar berkata, di bawah Jen­dela Fasa 1, sebanyak 1,661 menara komunikasi baharu dibina di kawasan bandar dan luar bandar yang dijangka bermula pada suku akhir tahun ini iaitu meliputi 3,205 menara komunikasi dirancang untuk pelaksanaan bermula dari tahun 2020 sehingga 2022.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 1,053 menara siap setakat 31 Ogos lalu dan selebihnya sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Selain itu, kata beliau, 30,810 stesen pemancar di menara komunikasi sedia ada dirancang dinaik taraf kepada perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G dan daripada jumlah tersebut, 24,096 stesen pemancar siap dinaik taraf.

“Untuk kawasan yang belum mendapat liputan perkhid­ma­tan seperti pe­dalaman Sabah dan Sa­rawak serta perkampungan Orang Asli turut diberi keutamaan melalui penyediaan per­khidmatan jalur lebar meng­gunakan satelit (BWA).

“Bagi tujuan ini, 839 lokasi di seluruh negara di­kenal pasti bagi memastikan ia dapat memberikan liputan jalur lebar di kawasan-kawasan yang sukar diakses dengan teknologi gentian optik dan mudah alih melalui perkhid­matan jalur lebar menggunakan satelit (VSAT) sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap secara berpe­ringkat bermula bulan depan sehingga awal tahun 2022,” katanya.

Annuar ber­kata, tahap liputan 4G di kawasan berpenduduk, setakat suku kedua tahun ini mencecah tahap 94 peratus berbanding 91.8 peratus pada September 2020, iaitu permulaan pelaksanaan Pelan Jendela dengan purata kelajuan jalur lebar mudah alih negara mencapai 29.14Mbps dan memperlihatkan peningkatan berbanding dengan 25Mbps.

Katanya, 6.255 juta premis pula diliputi rangkaian gentian optik dan jumlah berkenaan adalah jauh lebih tinggi jika dibandingkan 4.95 juta premis pada September tahun lalu.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beberapa kekangan untuk membina infrastruktur digital di pedalaman melibatkan urusan tanah dan perkara-perkara yang bersangkut-paut dengan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam aspek ini, katanya, jangka masa untuk memba­ngunkan infrastruktur berbeza, bergantung faktor se­perti lokasi, geografi kawasan serta semua proses yang perlu diselesaikan untuk memperoleh tapak, mendapatkan izin dan kelulusan dari kerajaan negeri dan agensi, PBT serta pemilik tanah yang juga termasuk Badan Pengurusan Bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×