Pergolakan dalaman UMNO runtuhkan kerajaan Melaka - Utusan Malaysia

Pergolakan dalaman UMNO runtuhkan kerajaan Melaka

MUHAMAD DANISH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pergolakan dalaman UMNO yang menjadi punca utama ketidakstabilan politik di Melaka ketika ini hingga membawa kepada tumbangnya kerajaan negeri dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Muhamad Danish Zainudin berkata, kemelut dalaman UMNO itu membawa kepada kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka yang dipimpin oleh parti berkenaan.

Menurut beliau, lebih malang lagi rakyat turut menjadi mangsa dan diheret sama dalam polemik tersebut, apabila pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibuat bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan, dalam situasi serta keadaan yang tidak selamat kerana ancaman Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang utama di Melaka sebelum pembubaran DUN melihat kepada keperluan untuk mengembalikan kestabilan politik di negeri ini.

“PH juga bersedia dalam apa jua keadaan untuk memastikan permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan keutamaan seharusnya diletakkan dalam aspek ekonomi dan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan Naib Ketua Pemuda UMNO negeri, Dr. Akmal Saleh berpandangan bahawa, krisis politik Melaka boleh diatasi jika pembangkang menghormati memorandum persefahaman (MoU).

Beliau berkata, memandangkan MoU telah ditandatangani, pihak kerajaan dan pembangkang boleh berbincang bersama seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk perkara tersebut.

Sementara itu, PH Melaka akan menyerahkan dokumentasi untuk pemfailan semakan proses dan fakta keabsahan keputusan pembubaran DUN kepada mahkamah pada minggu depan. 

PH juga menolak pengisytiharan darurat untuk menangguhkan PRN kerana dikhuatiri bakal mewujudkan persepsi negatif dan kesan buruk terhadap negeri dan rakyat.

Tambah Muhamad Danish, sebarang MoU atau tawaran yang dibuat seharusnya berfokuskan kepada kepentingan rakyat dan bukannya menjadi alat untuk UMNO kekal berkuasa.

Jelasnya, momokan kerajaan Melayu-Islam telah runtuh dilihat hanya menjadi siulan tradisi untuk menakutkan rakyat bahawa Melaka akan terancam.

“Sedangkan yang benar-benar tersepit dan kehilangan kuasa adalah elit UMNO yang rakus meratah hasil negeri tanpa integriti dan moral,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×