Saya tunggu wakil rakyat lain pulangkan aset kerajaan - Norhizam - Utusan Malaysia

Saya tunggu wakil rakyat lain pulangkan aset kerajaan – Norhizam

NORHIZAM HASSAN BAKTEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama.

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan, tetapi beliau berasa hairan kerana  hanya tiga exco kerajaan negeri  termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian.

“Setakat ini, pihak istana belum memberi maklum balas siapa yang harus jadi ‘caretaker’. Sepatutnya pihak yang mempunyai sokongan majoriti, bukan minoriti. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akan pulangkan kenderaan rasmi, pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan lain-lain aset setelah semua wakil rakyat lain memulangkannya.

“Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) perlu beri masa dan tarikh supaya pemulangan aset-aset dibuat serentak dan secara terhormat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Japerun Pengkalan Batu di sini hari ini.

Semalam, Norhizam yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri mendakwa telah dihalang menggunakan kemudahan kerajaan.

Menurutnya, terdapat arahan daripada kerajaan negeri yang memaksa beliau dan dua lagi bekas exco untuk memulangkan kenderaan rasmi serta menghalang mereka menggunakan pusat khidmat masyarakat.

“Wakil rakyat lain masih lagi bebas menggunakannya manakala tiga exco diarahkan memulangkan aset kerajaan. Ini tidak adil. Saya bimbang ada pihak yang mengambil kesempatan semata-mata demi kepentingan individu sehingga boleh mencemarkan institusi istana,” ujarnya.

DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam susulan tindakan Norhizam bersama tiga lagi ADUN kerajaan iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Azman Hasan dan Datuk Noor Effandi Ahmad  yang menyatakan hilang kepercayaan dengan kerajaan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×