SEPANJANG tujuh bulan pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), nama Terengganu sering menjadi sebutan ramai. Sebab utama, tidak lain dan tidak bukan kerana kadar pendaftaran dan penerimaan dos vaksinasi yang rendah dalam kalangan populasi dewasanya.
Entah di mana silapnya, seolah-olah payoh sungguh (terlalu sukar) untuk keluar dari kelompok enam negeri yang dilabel rendah dalam PICK selain Sabah, Kelantan, Perak, Kedah dan Pahang. Walaupun pelbagai usaha proaktif dan bersepadu digerakkan Jabatan Kesihatan negeri di samping pemimpin masyarakat, sukarelawan dan agensi kerajaan serta swasta, namun gelaran itu kekal milik Terengganu hingga memasuki September lalu.
Pada masa itu timbul persoalan, mampukah negeri ini mencapai 80 peratus imuniti kelompok sebagaimana disasarkan awal Oktober, iaitu sebelum kedatangan musim tengkujuh? Sedangkan sepanjang tujuh bulan pertama pun usaha itu sudah berdepan ranjau. Jadi, tentunya bukan tugas mudah untuk menyelesaikan misi berkenaan dalam tempoh berbaki kurang sebulan.
Bimbang dengan kelembapan itu, pelbagai pihak termasuk persatuan perubatan menggesa kerajaan melaksanakan operasi lonjakan kapasiti bagi meningkatkan kadar peratusan penerimaan vaksin di keenam-enam negeri terbabit. Hal ini kerana pada 31 Ogos lalu, kesemua enam negeri tersebut masih belum melepasi paras 50 peratus lengkap dua dos vaksin, di samping mencatatkan lebih 1,000 kes positif Covid-19 setiap hari.
Namun, hasil komitmen padu pasukan terlibat, Terengganu berjaya mencatatkan pencapaian positif dalam tempoh hanya seminggu selepas pelaksanaan inisiatif vaksinasi secara terus di 14 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh daerah bermula 5 September lalu,
Kejayaan itu membolehkan Terengganu menjadi satu-satunya daripada enam negeri terbabit merekodkan lonjakan mendadak melebihi 11 peratus daripada hanya 56.9 peratus populasi dewasa yang lengkap dua dos suntikan kepada 68.3 peratus berdasarkan perangkaan pada 12 September lalu.
Sehingga kini, peratusan populasi dewasa yang lengkap vaksinasi meningkat secara konsisten sekali gus mampu membebaskan Terengganu secara sepenuhnya daripada rekod carta terendah peratusan vaksinasi yang dipegang selama ini.
LANDASAN TEPAT
Perkembangan itu membuktikan Terengganu kini di landasan tepat untuk mencapai kadar lengkap 90 peratus vaksinasi populasi dewasa sekurang-kurangnya pada minggu ini sebagaimana diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), bulan lalu.
Baki empat peratus itu tentunya sudah tentu tidak sukar dicapai sekali gus memberi gambaran lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat dengan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kejayaan Terengganu bukan terletak pada kerja keras kepemimpinan negeri dan pasukan barisan hadapan kesihatan sahaja, sebaliknya turut disumbangkan rakyat terutama golongan dewasa yang layak divaksin. Bagaimanapun, dalam keseronokan tersebut, jangan sesekali kita leka hingga mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) sedangkan penularan virus Covid-19 masih lagi tinggi di sekeliling.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.










