Kekal hamzah 3 suku - Utusan Malaysia

Kekal hamzah 3 suku

EJAAN lama tulisan Jawi boleh dilihat pada Sampul Surat Hari Pertama Penubuhan Parlimen (1959).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMI kemakmuran negara, kita komited mencari titik persamaan demi menyatukan rakyat. Perkara tonggak ke arah mencapai impian ini tentulah pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum. Justeru, kesedaran tentang kepentingan bahasa Melayu sebagai asas perpaduan serta tonggak identiti negara harus ditanam dalam jiwa setiap rakyat.

Pemerkasaan bahasa kebangsaan harus dijadikan agenda utama negara. Jangan mendabik dada sebagai rakyat yang patriotik jika tidak mencintai bahasa Melayu. Ada juga yang memperlekehkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga mahu bahasa asing digunakan. Ingatlah, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Antara elemen integral dalam bahasa Melayu ialah penggunaan dua sistem penulisan. Sayangnya tulisan Jawi semakin ditinggalkan sejak tulisan Rumi diperkenalkan semasa era kolonial. Akibatnya, ramai yang tidak mengenali tulisan Jawi sehingga menganggapnya sama seperti tulisan Arab.

Istimewanya tulisan Jawi ialah ia benar-benar menggambarkan gaya bahasa dan budaya kita. Huruf Jawi tidak diambil secara bulat-bulat daripada skrip Arab. Tidak seperti tulisan Rumi yang menggunakan keseluruhan skrip Latin. Ini menjadikan tulisan Jawi bukan sahaja berbeza berbanding tulisan lain yang berasal daripada skrip Arab, malah berbeza juga daripada sistem tulisan Arab itu sendiri.

Perbezaan yang paling jelas ialah penambahan huruf-huruf baharu. Terdapat enam huruf yang ditambah secara keseluruhannya. Tambah menarik terdapat huruf Arab yang dinamakan semula serta diubah kegunaannya, iaitu huruf alif maqsurah. Dalam tulisan Jawi, huruf yang serupa dinamakan ye bagi menandakan bunyi e pepet di akhir perkataan.

LOKLOK

Dari segi ejaan pula, tulisan Arab menggunakan baris untuk menandakan bunyi vokal sedangkan baris tidak digunakan dalam tulisan Jawi. Justeru, tidak seperti tulisan Jawi, tulisan Arab kurang menggunakan huruf vokal.

Perbezaan lain yang penting ialah tentang penggunaan huruf hamzah. Tulisan Jawi menggunakan hamzah tiga suku dalam hampir kesemua perkataan yang menggunakan huruf hamzah, sedangkan tulisan Arab hanya mempunyai hamzah setara.

Dalam tulisan Jawi, hamzah setara hanya digunakan bagi perkataan Arab tertentu contohnya, wuduk dan al-Quran. Kebanyakan perkataan Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, misalnya intiha dan loklok dieja menggunakan hamzah tiga suku.

Dahulunya, tulisan Jawi mempunyai satu lagi bentuk unik bagi huruf ta marbutah seperti yang digunakan dalam ejaan lama bagi perkataan seperti August dan Parliament.

Ia boleh dilihat dalam dokumen lama seperti Pemasyhuran Kemerdekaan (1957) dan Sampul Surat Hari Pertama Penubuhan Parlimen (1959). Malangnya, ia tidak lagi ada dalam sistem tulisan Jawi pada hari ini.

Tulisan Jawi sebagai skrip asal bahasa Melayu adalah sebahagian daripada identiti asas negara bangsa. Justeru, amat penting untuk kita sebagai pemilik tulisan Jawi mengekalkan keaslian khazanah warisan ini dan tidak menukar huruf-huruf Jawi sehingga hilang keasliannya. Janganlah sampai suatu hari kelak kita turut kehilangan hamzah tiga suku. Kita tidak mahu tulisan Jawi kehilangan identiti Malaysianya.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×