Buah larangan: Dosakah Nabi Adam? - Utusan Malaysia

Buah larangan: Dosakah Nabi Adam?

Para nabi termasuk Nabi Adam adalah maksum daripada dosa tidak seperti manusia biasa yang apabila didapati bersalah akan dijatuhi hukuman penjara dan denda. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nabi Adam a.s adalah manusia pertama yang telah diciptakan oleh Allah SWT lalu menjadi moyang bagi seluruh manusia tanpa mengira bangsa.

Apabila kita berbicara mengenai Nabi Adam a.s, pasti kita teringat kisah baginda makan pohon larangan dalam syurga.

Ada pihak yang memahami kisah ini dengan kefahaman bahawa Nabi Adam telah melakukan maksiat kerana baginda ingkar perintah Allah.

Namun bagaimana Nabi Adam, seorang nabi boleh melakukan maksiat sedangkan para nabi terpelihara daripada dosa sama ada yang kecil mahupun dosa besar sebelum mereka menerima wahyu mahupun selepas menerima wahyu?

KHALIFAH DI BUMI

Semasa kecil dahulu, nenek saya pernah berkata: “Kalaulah Nabi Adam tidak makan buah yang dilarang, semestinya kita semua pada hari ini akan berada di syurga”.

Sebenarnya bukan sedikit yang berpandangan seperti nenek saya yang seakan-akan menyalahkan Nabi Adam a.s.

Jika kita teliti hadis-hadis NAbi SAW, kita boleh membuat kesimpulan pandangan seumpama nenek saya itu berpunca daripada salah faham terhadap dialog yang berlaku antara Nabi Musa a.s dengan Nabi Adam a.s berkenaan konsep takdir.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: (Nabi) Adam dan Musa telah berhujah lalu (Nabi) Musa telah bersabda: Anda adalah (Nabi) Adam yang anda telah mengeluarkan zuriat anda daripada syurga. (Nab)] Adam telah bersabda: Anda adalah (Nabi) Musa yang Allah telah memilih anda dengan risalah-risalah-Nya (iaitu lembaran-lembaran Taurat) dan (Allah juga telah memilih anda dengan) firman-Nya. Kemudian anda mencela saya kerana satu perkara yang telah ditakdirkan ke atas saya sebelum saya diciptakan?! Maka (Nabi) Adam telah mengalahkan (hujah Nabi) Musa. (Riwayat Bukhari)

Guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy al-Husayniyy berkata, Nabi Musa a.s sebenarnya bukanlah tidak mengetahui hakikat tindakan Nabi Adam tetapi Nabi Musa sebenarnya ingin menyatakan kepada Nabi Adam salah faham zuriat baginda terhadap apa yang berlaku pada diri baginda.

Lalu Nabi Musa mengajukan salah faham tersebut kepada Nabi Adam agar kita selaku zuriat Nabi Adam dapat mengetahui jawapan Nabi Adam sendiri tentang salah faham itu.

Maka menerusi jawapan Nabi Adam, jelaslah Allah SWT mentakdirkan sebelum penciptaan lagi bahawa baginda akan makan pohon larangan tersebut atas sebab hikmah-hikmah yang akan dijelaskan.

Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: Tatkala tuhanmu telah berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku adalah [tuhan] yang menjadikan di bumi seorang khalifah” jelas menunjukkan bahawa misi Nabi Adam diciptakan oleh Allah bukanlah untuk baginda terus berada di dalam syurga sebaliknya untuk baginda menjadi khalifah di atas muka bumi. (al-Baqarah:30)

ALLAH MAHA MENERIMA TAUBAT

Menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri lagi; para malaikat mengetahui Allah adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. Namun mereka tidak mengetahui apakah erti sebenar Allah Maha Pengampun.

Sebabnya, malaikat adalah makhluk Allah yang diciptakan semata-mata untuk beribadat tanpa pernah buat dosa dan kesilapan. Maka supaya pengetahuan para malaikat terhadap erti Allah Maha Pengampun menjadi sempurna, Allah mentakdirkan Nabi Adam makan pohon larangan itu.

Lalu baginda memohon keampunan Allah yang akhirnya Allah menerima taubat dan penyesalan baginda. Maka dengan penerimaan taubat Nabi Adam, para malaikat dapat mengetahui hakikat sebenar Allah Maha Pengampun.

Selain para malaikat, para pendosa daripada keturunan Nabi Adam juga dapat belajar daripada baginda bagaimanakah cara yang mesti dilakukan setelah mereka terjatuh dalam kemaksiatan.

Maka apa yang ditakdirkan kepada Nabi Adam sebenarnya membuka satu pintu harapan kepada seluruh zuriat keturunan baginda bahawa banyak manapun kesilapan terhadap tuhan mereka, mereka tetap memiliki Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

BUKAN MAKSIAT PADA HAKIKATNYA

Allah merakamkan kisah Nabi Adam yang berkait dengan pohon larangan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya kami benar-benar telah memberikan peringatan kepada Adam sebelumnya lalu baginda telah terlupa dalam keadaan Kami tidak mendapati bagi baginda sebarang keazaman. Tatkala Kami telah berfirman kepada para malaikat: Kalian semua sujudlah kepada Adam lalu mereka telah sujud melainkan iblis yang telah enggan (sujud kepada baginda). (Taha: 115-116) Sila rujuk ayat 117 hingga 122 surah Taha untuk penjelasan lanjut.

Maka apabila para nabi dan rasul tidak pernah melakukan maksiat sepanjang hidup mereka, ini bermakna ayat-ayat tersebut mempunyai makna yang lain yang bertepatan dengan kemaksuman para nabi dan rasul.

Menurut guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri, seseorang mungkin secara luaran melakukan maksiat kepada Allah sedangkan dia sebenarnya sama sekali tidak melakukan maksiat tersebut.

Ini kerana seseorang hanya benar-benar dianggap melakukan maksiat apabila dia melanggar perintah Allah dengan niat mahu menderhakai Allah SWT.

Adapun Nabi Adam a.s, sekalipun secara luaran baginda telah melanggar perintah Allah kerana makan sesuatu daripada pohon larangan, namun baginda sebenarnya tidak menjadi seorang yang menderhakai Allah secara hakikatnya kerana baginda sama sekali tidak pernah berniat melanggar perintah Allah.

Cuma disebabkan berlalu masa yang panjang, baginda akhirnya terlupa pohon itu tidak boleh dimakan sehingga akhirnya baginda telah makan sesuatu daripada pohon tersebut.

Disebabkan lupa itu, tindakan Nabi Adam tersebut tidak boleh dianggap sebagai satu maksiat secara hakikinya walaupun secara zahir baginda telah melanggar perintah Allah.

Menurut Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi lagi; firman Allah dalam Surah Taha ayat yang ke-115 di atas yang bermaksud: Sesungguhnya kami benar-benar telah memberi peringatan kepada Adam sebelumnya lalu baginda telah terlupa dalam keadaan Kami tidak mendapati bagi baginda sebarang keazaman... jelas menunjukkan bahawa Nabi Adam makan pohon larangan tersebut kerana terlupa.

Baginda tidak memiliki sebarang keazaman untuk menderhakai Allah SWT. Maka baginda sama sekali tidak berdosa.

  • PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×