Syarat terima Tafsir Isyari - Utusan Malaysia

Syarat terima Tafsir Isyari

Tafsir Isyari mempunyai kaitan yang rapat dengan ahli tasauf. Mereka terkenal memiliki hati yang sentiasa bermunajat kepada Allah SWT. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu daripada cabang ilmu tafsir adalah tafsir Isyari. Imam al-Maturidiy menakrifkan tafsir Isyari sebagai menafsirkan al-Quran berlainan dengan makna zahir.

Ia mengikut isyarat yang tersembunyi bagi orang yang mempunyai ilmu atau Tafsir Isyari ini zahir kepada orang yang arif dengan Allah dan kuat melakukan mujahadah dalam mendidik jiwa.

Sehubungan itu, Allah memberikan cahaya kepada hati mereka lantas mereka mendapati rahsia-rahsia al-Quran.

Tafsir Isyari mempunyai kaitan yang rapat dengan ahli tasauf. Mereka terkenal memiliki hati yang sentiasa bermunajat kepada Allah SWT.

Munajat ini akan membersihkan kalbu dan berlepas diri dari kekotoran dosa. Ketika itu jiwanya akan naik ke ruangan luas di alam yang dilimpahi dengan ilham.

Proses ini sebenarnya adalah natijah daripada penelitian, pengkajian dan tadabur kebesaran Allah.

Sedangkan tubuh dan jiwa tidak berpisah bahkan diibaratkan seumpama dua kembar yang saling melengkapi dalam mensucikan diri atau jiwa.

Mereka yang mahukan kebersihan dan ketinggian sudah pasti perlu berlepas diri daripada syahwat dan kelazatan.

Tasauf dalam neraca sebenar adalah berkait dengan pemikiran, amalan, pengajian dan juga kelakuan. Makna tasauf yang dijelaskan ini sudah wujud di permulaan Islam.

Para sahabat r.a meninggalkan keseronokan dunia dan memilih hidup secara zuhud dan memberi keutamaan dalam beribadat.

Sudah jadi rutin kehidupan harian mereka melakukan qiam waktu malam dan siyam (puasa) waktu siang hari. Sehinggalah ada sebahagian mereka mengikat batu di perut erana terlalu lapar bagi memberi tarbiah kepada diri dan mendidik jiwa.

Namun begitu di zaman mereka, istilah tasauf tidak dikenali. Nama tasauf hanya digunakan selepas zaman sahabat r.a iaitu kepada mereka yang dikenali dengan sifat zuhud dan sentiasa berada dalam keadaan taat kepada Allah. Perintis gelaran sufi ialah Abu Hasyim al-Sufi. Beliau meninggal dunia pada 150 hijrah.

Daripada golongan sufi ini ada dua tafsir iaitu Tafsir Sufi Nazori dan Tafsir Sufi Isyari. Menurut Dr. Husin Zahabi, Tafsir Sufi Nazori yang berasaskan falsafah dan kaedah yang menyimpang tidak diterima. Jika berasas kepada ilmu nahu dan balaghah yang membantu memahami ayat sebelum dan selepas maka ia diterima.

Manakala Tafsir Sufi Isyari atau Tafsir Isyari menakwilkan ayat al-Quran berlainan dengan makna zahir berpandu kepada isyarat-isyarat yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh mereka yang arif dalam ilmu suluk.

Mereka melakukan riadah roh sehingga ke peringkat terbuka makna bagi ayat dengan isyarat Qudsiyyah dan limpahan ghaib turun ke hati berkaitan makna yang terkandung dalam ayat al-Quran.

Ramai tertanya-tanya adakah Tafsir Isyari ada dalam syariat atau ia sesuatu yang baru dimunculkan oleh golongan ahli tasauf?

Jawapannya, Tafsir Isyari bukan sesuatu yang baru untuk menzahirkan makna ayat al-Quran.

Penelitian terhadap ayat al-Quran akan mendapati terdapat isyarat menunjukkan adanya tafsir Isyari sejak dulu lagi. Rasulullah SAW juga telah memberi ingatan tentang perkara ini.

Firman Allah SWT: Maka apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau hati mereka terkunci rapat? (Muhammad: 24)

Menurut Dr. Husin al-Zahabi, ayat ini menunjukkan al-Quran mempunyai makna yang zahir dan batin.

Kehendak ayat di atas ialah Allah SWT mahukan golongan kuffar tadabur ayat al-Quran bukan hanya sekadar memahami zahir ayat. Mereka adalah bangsa Arab dan memahami makna zahir tanpa syak kerana mereka bertutur bahasa arab. Tetapi Allah menggesa mereka tadabur dan faham kehendak Allah. Perkara itulah yang mereka jahil dan akal tidak sampai akal untuk memikirkannya.

Umar Ibn al-Khattab r.a dan Ibn Abbas r.a adalah contoh sahabat yang memahami makna al-Quran secara isyari. Ketika turun ayat: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu. Dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. (al-Maidah: 3)

Ibn Abi Syaibah merekodkan ketika ayat ini diturunkan, Umar r.a menangis. Nabi SAW bersabda: “Apakah yang menyebabkan kamu menangis?” Umar r.a menjawab: “…adapun apabila sudah sempurna sesungguhnya tidak sempurna sesuatu maka akan bermula kekurangan.”

Nabi bersabda: “Kamu benar”. Umar r.a memahami makna isyari dengan merasakan hampirnya kewafatan Nabi SAW sedangkan ramai para sahabat bergembira kerana hanya memahami makna zahir ayat.

Ibn Abbas r.a berkata: “Umar Ibn al-Khattab r.a masukkan aku dalam majlis mereka yang menyertai peperangan Badar. Sebahagian mereka seolah tidak berkata: “Kenapakah kamu masukkan lelaki ini dalam majlis kami sedangkan usianya sebaya dengan anak-anak kami”.

Suatu hari Umar Ibn al-Khattab r.a memanggil Ibn Abbas dalam majlis mereka dan bertanya apakah pendapat kamu semua tentang firman Allah: Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan? (al-Nasr:1)

Sebahagian mereka menjawab: Allah mengarahkan kami memuji-Nya, meminta ampun kepadaNya apabila kami peroleh kemenangan dan pembukaan. Sebahagian yang lain senyap.

Umar Ibn Khattab r.a bertanya Ibn Abbas: “Adakah begitu pendapat kamu wahai Ibn Abbas?” Ibn Abbas menjawab: “Tidak begitu. Ia adalah menunjuk kepada wafatnya Rasulullah SAW”. Umar berkata: “Aku tidak tahu kecuali apa yang kamu kata”. (al-Bukhari)

Ahli tafsir memberi dua syarat asas untuk menerima Tafsir Isyari.

Pertama: Mesti menepati kehendak zahir mengikut kaedah bahasa Arab.

Kedua: Mesti ada dalil lain yang mengesahkan perkara tersebut dan tidak ada nas yang bertentangan dengannya.

Ahli Tafsir Isyari mengiktiraf makna zahir ayat al-Quran dan tidak mengingkarinya sebagaimana mereka mengiktiraf makna isyari.

Namun, terdapat mereka yang menafsirkan makna isyari telah bercampur dengan kaedah yang salah. Sebab itulah kita dapati ada Tafsir Isyari yang boleh diterima dan ada juga Tafsir Isyari yang tidak boleh diterima akal dan tidak diredai oleh syarak.

Imam al-Zahabi menyimpulkan, tafsir Isyari ada yang diterima dan ada yang ditolak. Ia diterima jika menepati syarat berikut:

Pertama: Tafsir Isyari tidak menafikan makna zahir susun atur al-Quran.

Kedua: Terdapat bukti syarak yang menyokongnya.

Ketiga: Tidak bertentangan dengan nas atau akal.

Keempat: Jangan mendakwa bahawa Tafsir Isyari sahaja yang dikehendaki untuk makna ayat dengan menafikan makna zahir.

  • PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×