Atmosfera baharu Hazlin dan Haffiz - Utusan Malaysia

Atmosfera baharu Hazlin dan Haffiz

Hazlin dan Hafizz menggalas tugas sebagai penyampai utama di stesen TV Pertiwi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKATNYA dalam mengendalikan program siasatan jenayah tempatan amat dikagumi. Sebut saja nama Hazlin Hussain, terngiang-ngiang dalam fikiran cara dia menyebut 999.

Namanya tidak asing lagi dalam dunia media tanah air, dia yang juga bekas penyampai Berita TV3 kini diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai penyampai utama di stesen TV Pertiwi. TV Pertiwi memulakan langkahnya pada tahun 2018 menjadi stesen webTV di bawah anak syarikat Kerengga Merah Sdn Bhd. Ia mengupas isu semasa serta merakamkan dokumentari berkaitan kesatuan Islam dan Melayu di pelbagai platform menggunakan teknologi penyiaran dan digital terkini.

Berkongsi mengenai perkembangan karier, Hazlin tidak menyangka diberi peluang menerokai dunia penstriman digital selepas 11 tahun mencanai bakat dalam dunia penyiaran televisyen.

“Saya kini lebih selektif dalam mengendalikan sesuatu pekerjaan kerana jadual perlu seiring apa yang saya inginkan. Perkara yang tidak dapat lakukan dahulu, saya akan buatnya sekarang.

“Saya fikir, penstriman digital ini sesuatu dunia yang berbeza. Dari segi tugas dan peranan sebagai penyampai sama, cuma khalayak berbeza,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

Menjalankan tanggungjawab di bawah satu bumbung, Hazlin tidak keseorangan. Berkongsi mengenai kerjasama bersama rakan setugasnya, bekas penyampai Suria FM, Haffiz Aziz, dia menyifatkan mereka tahu peranan masing-masing.

“Saya hormati dengan kerja berpasukan, namun kalau ada yang perlu diperbaiki atau kurang jelas, perbincangan kecil sudah memadai,” katanya.

Cabaran baharu
Sementara itu bagi Haffiz, tidak menafikan karier selepas 10 tahun dalam dunia penyiaran radio, dunia baharu baginya adalah satu tanda aras dalam menggalas tanggungjawab sebagai penyampai berita dan hos.

“Pelbagai pengalaman yang pernah saya tempuh. Menjadi penerbit segmen pagi, penyampai berita dan trafik serta penyampai segmen Suria Baik Bangat.

“Memang banyak perbezaan. Kalau di radio kita boleh buat persediaan atau rangka apa yang kita buat sehari sebelum. Tapi di dunia penstriman berita ini, lima minit sebelum bersiaran pun kita boleh dapat berita terkini.

“Selain itu, dari segi pakaian kena fikir juga. Sebelum ini di radio logiknya mungkin tiada siapa ambil peduli bukan? Lain penstriman digital, dia menunjukkan visual kita. Jadi kena fikir esok nak pakai baju dan warna apa,” katanya.

Bekerjasama dengan sifu dunia penyiaran dan kewartawanan, Haffiz menyifatkan perkara itu ibarat lubuk akal tepian ilmu.

“Saya seronok sebab Hazlin seorang penyampai yang berpengalaman. Melihat dia menyampaikan berita, sangat prosfesional.

“Kalau salah sikit dia pandai tutup dan perbaiki. Banyak perkara yang saya nampak padanya,” ujarnya Hazlin bagaikan kamus rujukannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×