Mustahil capai 30% ekuiti bumiputera - Utusan Malaysia

Mustahil capai 30% ekuiti bumiputera

Mustapa Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kalau mahu capai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam tempoh setahun dua ini memang mustahil.”
Demikian penjelasan Mente­ri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai usaha memperkasa pemilikan ekuti bumiputera da­lam sektor korporat.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, antara faktor mendorong ke­adaan sebegitu susulan dasar pe­laburan asing Malaysia yang memberi terlalu banyak kelonggaran kepada pelabur asing bagi memiliki saham dalam syarikat-syarikat di Malaysia.

Kelonggaran itu, menurut be­liau adakala sehingga membe­narkan pelabur luar negara memiliki seratus peratus saham, ter­utama dalam sektor pembuatan sekali gus menutup ruang kepada kaum bumiputera.

Menjadikan keadaan lebih buruk, beliau berkata, kaum bu­miputera juga tidak banyak terlibat dalam pekerjaan berimpak tinggi yang memberi pulangan gaji tinggi, sekali gus mengurangkan keupayaan mereka un­tuk membeli saham-saham da­lam sesebuah syarikat.

“Kalau mahu capai 30 peratus ekuiti bumiputera dalam tempoh setahun dua ini memang mustahil. Ia juga melibatkan dasar-dasar lain.

“Antara sebabnya ialah dasar pelaburan asing di negara kita. Syarikat asing memiliki 45 peratus ekuiti sektor korporat. Ini kerana kita membenarkan mereka memiliki 100 peratus saham dalam sektor pembuatan.

“Kalau tidak ada dasar ini, mungkin mereka tak datang me­labur. Rakyat tidak ada pekerjaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia kelmarin.

Beliau turut mengulas soal ekuiti bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) baru-baru ini, yang dikritik seolah-olah mengambil hak kaum lain.

Mustapa menjelaskan, tidak timbul perkara sebegitu kerana saham bumiputera yang dicadang kerajaan untuk dijual, hanya ditawarkan kepada konsortium atau syarikat bumiputera yang berkelayakan.

Malah katanya, penjualan saham atau syarikat bumiputera kepada bumiputera lain dalam RMK12 hanya melibatkan agensi mandat bumiputera sahaja dan tidak membabitkan institusi swasta.

“Saya mahu jelaskan di sini, penjualan saham atau syarikat bumiputera kepada bumiputera lain dalam RMK12 hanya melibatkan agensi mandat bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Saham yang dicadang untuk dijual ini akan ditawarkan kepada konsortium atau syarikat bumiputera yang berkelayakan, syarikat swasta tidak tertakluk dengan cadangan ini,” katanya.

Pada 27 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Dewan Rakyat bahawa jaringan keselamatan baharu akan diper­kenalkan di bawah RMK12 untuk memastikan kelangsungan pemilikan ekuiti bumiputera.
Ini termasuk membolehkan penjualan saham atau syarikat bumiputera hanya ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera lain.

Langkah itu bagaimanapun mendapat kritikan segelintir pihak, yang menyifatkannya sebagai ‘mengambil hak kaum lain’.- MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×