
PERANAN bahasa sangat integral dalam kehidupan manusia. Bahasa merupakan pengantara bagi menterjemah apa yang kita fikir ke dalam bentuk nyata agar boleh difahami oleh orang lain. Dalam semua keadaan, kita memerlukan bahasa untuk berkomunikasi.
Sama ada penulisan, lisan, mahupun isyarat, bahasa merupakan satu-satunya medium bagi membolehkan kita mengekspresikan perasaan atau apa sahaja yang berada dalam minda kita. Justeru, bahasa memainkan peranan besar dalam perkembangan sesebuah masyarakat di mana manusia perlu saling bekerjasama demi kesejahteraan hidup bersama.
Hasilnya, bahasa terus berkembang selari dengan penemuan perkara baharu serta pembinaan konsep baharu, selaras berkembangnya ilmu pengetahuan. Maka bahasa yang digunakan boleh menggambarkan keturunan, latar belakang dan sejarah sesebuah masyarakat.
Perkembangan bahasa bukan hanya semata-mata membawa penambahan kepada perbendaharaan kata bahasa terbabit. Pada masa sama, ia turut membina sistem tatabahasa serta gaya bahasa lebih kompleks.
Seterusnya terbentuk pula pelbagai laras bahasa yang bersandarkan keadaan, kesesuaian serta taraf sosial penuturnya. Bahasa Melayu sebagai contoh mempunyai tiga laras utama, iaitu bahasa standard atau rasmi, bahasa istana dan bahasa pasar.
Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan bahasa istana sebagai bahasa komunikasi keluarga diraja, ketua negeri dan ketua negara yang mengandungi nilai bahasa tinggi dan beradab. Cara penuturannya juga begitu tertib. Dalam banyak keadaan, bahasa istana berbeza berbanding bahasa standard yang menjadi bahasa rasmi negara.
Bahasa pasar pula menurut takrifan Kamus Dewan seperti yang dituturkan orang bukan Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu atau oleh orang Melayu ketika bertutur dengan mereka.
LINGUA FRANCA
Sejarah mencatatkan bahasa Melayu menjadi lingua franca perdagangan kerana kepentingan Selat Melaka sebagai pusat perdagangan. Namun begitu, tidak semua pedagang asing boleh bertutur bahasa Melayu dengan betul dan ketidaktepatan dalam sesetengah aspek adalah lazim.
Selain tidak mengikut ketetapan tatabahasa Melayu yang betul, mereka turut mencampuradukkan dengan bahasa ibunda mereka. Laras bahasa Melayu sebegini dirujuk sebagai bahasa pasar.
Namun begitu, malangnya lama-kelamaan bahasa pasar turut dituturkan dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri. Walhal, orang Melayu sebagai penutur asal sepatutnya menggunakan bahasa Melayu dengan betul serta berusaha mengekalkan keindahan bahasa ibunda kita.
Justeru, mengapa pula kita memilih untuk menggunakan laras bahasa pasar yang jelas merosakkan struktur bahasa tercinta? Sedangkan rakyat Malaysia sepatutnya menjunjung tinggi serta memartabatkan bahasa kebangsaan?
Perkara ini jika tidak ditangani dengan tuntas bukan sahaja akan merosakkan bahasa Melayu tetapi juga bakal menghakis jati diri rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan adalah sebahagian daripada identiti negara.
Maka kehilangan identiti bahasa Melayu bermakna identiti negara serta identiti anak bangsa turut terhakis. Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa yang digunakan akan menggambarkan siapa penuturnya. Bahasa jiwa bangsa.
Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa. Semoga kita boleh menjiwai kepentingan bahasa kebangsaan dan berusaha memperbaiki penguasaan bahasa kita termasuk tulisan Jawi. Bahasa Melayu adalah khazanah kita yang mesti dipertahankan.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.










