DUA minggu selepas Taliban menubuhkan kerajaan sementara, buat pertama kalinya pentadbir bandar Kabul yang baru dilantik, iaitu Hamidullah Nomani melakukan walkabout di pusat bandar tersebut dengan diiringi pemberita media antarabangsa CNN, Nic Robertson. Niatnya adalah jelas untuk mempamerkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Taliban juga mampu untuk mentadbir bandar tersebut.
Tetapi agak aneh juga kerana kehadiran Nomani bagaikan tidak diendah oleh mereka berdekatan walaupun dikelilingi pengawal bersenjata yang memberi persepsi Nomani adalah pemimpin Taliban yang penting. Aktiviti ekonomi dan sosial berjalan seperti biasa tanpa kekangan bagaikan Nomani tidak wujud!
Senario yang agak janggal ini membuatkan Robertson mengajukan soalan kepada Nomani, apakah lebih mudah Taliban berperang dengan senjata berbanding mentadbir sebuah negara?
Di Malaysia juga wujud persepsi lebih mudah untuk menjadi pembangkang berbanding menjadi kerajaan. Pandangan ini diperkuat apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tetapi hanya mampu bertahan selama 22 bulan.
Walaupun yang menerajui jemaah menteri kerajaan PH adalah kumpulan ahli politik berpengalaman, tetapi hakikatnya menjadi pembangkang di Malaysia lebih mudah kerana persepsinya, tanggungjawabnya adalah mengkritik dasar kerajaan semata-mata sama ada kritikan tersebut disertakan dengan cadangan alternatif, lazimnya situasi sebegini jarang tercetus.
Kerajaan juga paling perit terpaksa berdepan dengan kritikan dan tentangan dalaman seperti yang sering dilalui oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden. Walaupun parti Demokrat menguasai kedua-dua dewan perwakilan dan senat, Biden sering kehilangan undi sokongan daripada perwakilan parti sendiri.
Terkini, rang undang-undang (RUU) perbekalan Biden terpaksa dirombak kerana desakan daripada kumpulan Progresif Demokrat yang tidak bersetuju dengan peruntukan AS$1 bilion (RM4.19 bilion) untuk membiayai sistem perisai peluru berpandu Israel, Iron Dome. Begitu juga dengan RUU pemulihan ekonomi bernilai lebih AS$3 trilion (RM12.57 trilion), cadangan pentadbiran Biden berada di hujung tanduk kerana beberapa perwakilan Demokrat enggan hulurkan sokongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menghadapi masalah lazim memimpin sebuah kerajaan terutama sekali apabila kerajaan pimpinan beliau adalah gabungan beberapa parti politik. Malah dalam parti beliau sendiri, UMNO, tidak dinafikan sokongan diterima tetapi kadangkala wujud juga tentangan mengenai beberapa dasar yang digubal terutama sekali dalam hal berdepan dengan pandemik.
Bukan menjadi rahsia lagi wujud kumpulan pendesak dalam kalangan ahli Parlimen UMNO yang lebih popular dikenali sebagai Geng 15 dan mereka dalam kumpulan ini mempunyai pengaruh yang agak besar dalam kerajaan walaupun bukan sebahagian jemaah menteri. Tetapi hakikatnya ada kebaikannya wujud kumpulan pendesak dari dalam kerajaan sendiri walaupun situasi ini akan menyukarkan sedikit perjalanan pentadbiran Ismail Sabri.
Lazimnya, negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen seperti Westminster, di sebelah pihak pembangkang wujud apa yang dipanggil Kabinet bayangan seperti dalam Parti Buruh yang menjadi pembangkang di United Kingdom. Tujuannya untuk membayangi ahli Kabinet kerajaan jika timbul isu yang berkaitan.
Umpamanya apabila London bersama-sama dengan Washington dan Canberra membentuk pakatan tentera AUKUS, menteri luar bayangan dari Parti Buruh iaitu Lisa Nandy menjadi jurucakap pembangkang dengan mendakwa pakatan tersebut bakal membawa mudarat kepada kestabilan geopolitik global.
PH sebagai entiti utama pembangkang tidak mempunyai struktur Kabinet bayangan. Yang ada hanyalah Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang lazimnya banyak bercakap bagi pihak pembangkang ketika berhujah mengenai dasar kerajaan. Ada juga sekali sekala bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atau bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersuara menjawab isu berkaitan pendidikan dan kesihatan.
24 JAM
Tetapi kesemua ini tercetus secara tidak formal atas dasar kedua-dua mereka ini pernah menerajui kementerian masing-masing. Struktur sebegini tidak cukup untuk memastikan pembangkang bersama-sama dengan kerajaan memikul tanggungjawab mengurus hal ehwal negara.
Sebab itu juga Ismail Sabri secara rasmi menjemput pembangkang untuk bersama-sama dengan kerajaan terutama sekali dalam hal mengurus pandemik. Jemputan ini dikeluarkan tidak sampai 24 jam selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.
Hasil daripada jemputan ini, memorandum persefahaman kerjasama dimeterai antara kedua-dua pihak dalam enam terma yang dipersetujui. Walaupun pembangkang hanya diwakili oleh PH tetapi sudah cukup untuk memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab secara berkesan.
Strategi Ismail Sabri sebagai ketua negara adalah untuk memudahkan PH bersama-sama dengan kerajaan melunaskan tanggung jawab masing-masing dalam mengurus tadbir negara dalam senario yang agak mencabar. Persefahaman ini tidak mengikat PH daripada mengkritik kerajaan kerana itu adalah tugas hakiki mereka tetapi ia mampu memastikan kritikan itu mempunyai cadangan balas jika dasar kerajaan dinilai lemah.
Kesan pengamalan strategi Ismail Sabri dapat dinilai dalam masa terdekat ketika perbahasan di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung terutama sekali dalam hal berkaitan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang disediakan peruntukan sebanyak RM400 bilion. Ahli Parlimen PH tidak boleh mendakwa mereka tidak terlibat dalam penggubalan RMK12 kerana ketika kajian separuh penggal RMK11 dan permulaan proses penyediaan laporan RMK12, mereka adalah kerajaan pada ketika itu.
Rakyat menanti dengan penuh debar sama ada kerajaan dan pembangkang mampu bekerjasama mengurus negara.
PENULIS ialah penganalisis politik dan geostrategis.










