Habuan faraid anak-anak si mati - Utusan Malaysia

Habuan faraid anak-anak si mati

ISLAM telah menetapkan pembahagian harta kepada anak-anak yang kematian ibu bapa mengikut hukum faraid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak-anak adalah anugerah kepada setiap ibu bapa sebagai satu amanah di dunia ini. Anugerah ini menjadi sebahagian nikmat terbesar bagi mereka yang berumahtangga. Berapa ramai yang mengikat tali perkahwinan, tetapi masih belum dikurniakan anak.

Berapa ramai mereka yang dikurniakan anak tetapi mengabaikan tanggungjawab membiarkan amanah untuk memberi perlindungan kepada anak masing-masing.

Firman Allah SWT dalam memberi peringatan tentang nikmat kehidupan: Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (al-Kahfi: 46)

Ayat ini memberi peringatan tentang dua nikmat yang dianugerahkan kepada setiap manusia yang merasainya iaitu nikmat harta dan zuriat.

Gandingan antara kedua-duanya amatsignifikan selepas Allah SWT menyatakan perumpamaan kehidupan dunia yang tidak kekal menerusi ayat sebelumnya. Adakala harta dan zuriat menjadi perhiasan yang baik, namun kadangkala ia menjadi sumber fitnah yang melalaikan.

Tidak hairanlah Rasulullah SAW juga menjadikan harta dan anak yang soleh di samping ilmu yang bermanfaat sebagai ganjaran berterusan atau ‘pencen kubur’ kepada si mati jika semuanya disalurkan dalam keadaan yang baik semasa hayat empunyanya.

Daripada Abu Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia,maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (Muslim, Sahih Muslim, Kitab wasiyyah, Bab: ma yalhaqu al-insan min al-thawab ba’da wafatihi, no: 1631)

Menjadi tanggungjawab setiap ibu dan bapa mengingatkan anak-anak bahawa mereka menjadi penyambung keturunan dalam susur galur sesebuah keluarga.

Jika ibu dan bapa meninggal dunia, setiap anak ada hak dalam mewarisi harta pusaka ibu dan bapa mereka. Tidak perlu bergaduh merebut harta pusaka kerana perincian hukum faraid menghuraikan habuan yang diterima oleh setiap anak dalam sesebuah keluarga.

Setiap individu yang dikurniakan anak akan berbeza-beza antara satu keluarga dengan yang lain.

Ada yang dikurniakan anak perempuan sahaja, ada yang dikurniakan lelaki sahaja dan berkemungkinan dikurniakan kedua-duanya.

Oleh itu, hukum faraid menetapkan suatu formula yang unik untuk kita akur dengan peraturan ilahi tersebut. Peraturan faraid ini melibatkan anak-anak yang sah untuk mendapat habuan masing-masing.

HANYA anak-anak yang dilahirkan melalui pernikahan layak mendapat harta faraid.

Anak angkat, anak susuan mahupun anak zina tidak termasuk dalam perbahasan ini kerana terdapat peraturan lain dalam sistem pewarisan Islam.

Sandaran utama agihan faraid kepada anak-anak ialah firman Allah SWT: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. (al-Nisa’: 11)

Perlu diingat bahawa anak-anak kepada si mati sama ada lelaki atau perempuan adalah sama sahaja. Ini kerana mereka adalah zuriat kepada si mati yang mempunyai hubungan nasab.

Namun dalam perbahasan hukum faraid, anak lelaki dan anak perempuan mempunyai status atau kategori waris yang berbeza.

Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan boleh bertukar status sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka). Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tetap.

FARAID ANAK PEREMPUAN

Anak perempuan si mati mendapat faraid dalam tiga keadaan. Dua daripadanya ialah secara bahagian tetap (fardu) dan satu bahagian secara ‘asabah (lebihan baki) yang dikenali dengan ‘asabah bi al-ghayr.

Habuan tetap kepada anak perempuan ialah satu perdua (1/2) atau dua pertiga (2/3). Satu perdua diberi kepada anak perempuan jika bilangannya seorang sahaja dan si mati iaitu bapa atau ibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan yang lain (adik beradiknya).

Jika bilangan anak perempuan si mati melebihi seorang maka mereka layak mewarisi dua pertiga.

Status anak perempuan boleh bertukar menjadi waris ‘asabah ketika si mati (ibu atau bapanya) meninggalkan anak lelaki iaitu adik-beradik lelakinya.

Oleh itu, keturunan si mati akan memperolehi pusaka secara bersama dengan nisbah mereka ialah anak perempuan akan mendapat satu bahagian dan anak lelaki mendapat dua bahagian.

Anak perempuan si mati mendapat faraid dalam tiga keadaan. Dua daripadanya ialah secara bahagian tetap (fardu) dan satu bahagian secara ‘asabah (lebihan baki) yang dikenali dengan ‘asabah bi al-ghayr.

Habuan tetap kepada anak perempuan ialah 1/2 atau 2/3. Satu perdua diberikan kepada anak perempuan jika bilangannya seorang sahaja dan si mati iaitu bapa atau ibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan yang lain (adik beradiknya).

Jika bilangan anak perempuan si mati melebihi seorang maka mereka layak mewarisi dua pertiga.

Status anak perempuan boleh bertukar menjadi waris ‘asabah ketika si mati (ibu atau bapanya) meninggalkan anak lelaki iaitu adik beradik lelakinya.

Oleh itu, keturunan si mati akan memperolehi pusaka secara bersama dengan nisbah mereka ialah anak perempuan akan mendapat satu bahagian dan anak lelaki mendapat dua bahagian.

JADUAL 1

Berdasarkan Jadual 1, anak perempuan si mati mendapat bahagian yang berbeza walaupun nilaian harta adalah sama iaitu RM9,000. Jika si mati meninggalkan seorang sahaja anak perempuan, maka habuannya ialah satu perdua sahaja iaitu RM4,500.

Jika si mati meninggalkan dua anak perempuan maka habuan mereka ialah dua pertiga iaitu satu pertiga seorang dengan nilaian RM3,000 seorang.

Bagi kedua-dua situasi ini, terdapat lebihan baki yang menjadi milik baitulmal jika si mati tidak mempunyai waris lain yang mendapat lebihan.

Dengan kata lain, si mati yang hanya meninggalkan anak perempuan sahaja berkemungkinan akan berlaku lebihan harta pusaka selepas penentuan bahagian anak perempuan tersebut.

Bagi situasi ketiga, anak perempuan dan anak lelaki memperolehi harta pusaka secara bersama dengan bahagian lelaki digandakan berbanding bahagian perempuan. Oleh itu, tiada lebihan bagi situasi tersebut.

Perlu difahami habuan yang lebih kepada anak lelaki kerana pensyariatan hukum faraid itu datang bersama dengan tanggungjawab dan bukan sekadar harta percuma.

Anak lelaki mempunyai peranan yang besar terutama apabila bapa dan ibu mereka telah meninggal. Mereka bertanggungjawab menjaga dan melindungi adik perempuan atau kakaknya dalam keluarga tersebut.

Anak lelaki mendapat bahagian yang lebih kerana pensyariatan hukum faraid datang bersama dengan tanggungjawab. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

FARAID ANAK LELAKI

Anak lelaki berstatus waris ‘asabah sahaja dalam hukum faraid. Ini bermakna anak lelaki akan mendapat keseluruhan harta pusaka jika mereka sahaja yang disenarai dalam penerima pusaka.

Jika terdapat dalam senarai penerima pusaka ialah waris-waris daripada kategori ashab al-furud (bahagian tetap), maka anak lelaki akan mendapat bahagiannya selepas diberikan kepada waris ashab al-furud.

Namun, sekiranya kesemua harta pusaka telah diagihkan kepada waris ashab al-furud, maka tiada bahagian yang layak untuk diterimanya. Secara logiknya, anak lelaki sentiasa terjamin habuannya dalam faraid kerana mereka merupakan yang bersambung terus dengan si mati iaitu ibu dan bapanya tanpa perantara.

Dari sudut perincian, anak lelaki menerima dua bentuk ‘asabah iaitu ‘asabah bi al-nafs (lebihan dengan diri sendiri) dan ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain).

Bagi bentuk pertama, anak lelaki bersambung dengan si mati secara langsung dan waris yang lebih berautoriti berbanding waris-waris lelaki lain di sebelah bapa.

Sebagai contoh, jika si mati meninggalkan seorang anak lelaki, seorang saudara lelaki kandung dan bapa saudara, maka semua harta akan diwarisi oleh anak lelaki sahaja. Waris-waris lelaki lain tidak berhak ke atas harta pusaka si mati tersebut. Situasi ini hanya berlaku jika si mati meninggalkan anak lelaki sahaja.

Bagi bentuk kedua (‘asabah bi al-ghayr), anak lelaki bersama anak perempuan akan mewarisi jika si mati meninggalkan keduanya seperti yang diterangkan dalam situasi ketiga dalam Jadual 1.

Setiap habuan sebelum ini hanya melibatkan anak lelaki dan anak perempuan sahaja yang ditinggalkan oleh si mati.

Namun, jika si mati iaitu ibu atau ayah mereka masih mempunyai waris lain terutama waris ashab al-furud, maka formula faraid tertakluk dengan pengiraan lain untuk bahagian setiap waris yang wujud.

  • Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×