Nama Shazli Shamsuddin bukan baru bagi peminat dunia fotografi sukan permotoran dan bolasepak tempatan.
Beliau tidak mengikuti pengajian khusus dalam bidang fotografi, sebaliknya hanya sebagai hobi sepenuh masa semasa menjawat jawatan sebagai Pegawai di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan (IPTA). Bakat dalam fotografi sukan mula terserlah bila beliau terpilih sebagai Jurugambar Rasmi pasukan TRW 2011.
Shazli mula membuat liputan beberapa acara sukan antarabangsa yang diadakan di Malaysia seperti Sime Darby LPGA, Maybank Malaysia Open, AFF Suzuki Cup, AFC Cup, EPL Asia Tour, Barcelona Asia Tour, Borussia Dortmund Tour, SEA Games & Asian Paralympic Games.

Minatnya dalam sukan permotoran menyebabkan beliau diberi kepercayaan merakam aksi dalam acara Formula 1, MotoGP, Endurance World Championship, Japan Super GT, WorldSBK dan beberapa perlumbaan tempatan seperti Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Sepang 1000km Race, Malaysia Superbike Championship.

Sehingga kini beliau merupakan sebahagian daripada jurugambar rasmi bagi Asia Road Racing Championship, Malaysia Superbike Championship, Kejuaraan PETRONAS Cub Prix Malaysia dan Litar Sepang.
Pengalaman manis pastinya setiap kali dapat merakam aksi wajah anak Malaysia menjadi juara dan melangkah ke atas podium di pentas antarabangsa.
Antara kenangan pahit tidak dapat beliau lupakan, ialah pernah disekat masuk oleh pihak imigresen India bagi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Madras dan dihantar pulang kembali ke Malaysia.
Beliau bagaimanapun turut merakamkan penghargaan kepada pihak Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, Nikon NPS Malaysia dan Alpinestars Asia atas kepercayaan diberikan sepanjang menceburi bidang ini.









