Pada mata insan seni, alam membongkar pelbagai cerita misteri. Ia tidak sekadar luahan karya, sebaliknya sebuah rakaman sejarah yang tiada tanding nilainya.
Keindahan khazanah hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan, Pahang sentiasa memberi ilham kepada pelukis, Alizan Alias, 39, untuk menumpahkan bakat kreativitinya pada kanvas untuk menghasilkan pelbagai jenis catan (lukisan) secara komersial.
Dia menghasilkan pelbagai seni catan yang bertemakan alam sekitar termasuk flora fauna, Sungai Tembeling dan jeram.
Katanya, semua yang dilihat itu akan dipalit menerusi campuran warna-warni alam yang memukau pandangan.
“Saya memang berminat melukis sejak usia 12 tahun lagi. Guru lukisan sayalah yang bertanggungjawab mengasah bakat saya dalam dunia lukisan. Beliau banyak mendidik saya untuk kerja lakaran.
“Beliau sering menitik beratkan pemilihan tona dan warna. Asuhan ini membantu saya menjadi pelajar yang baik dalam subjek lukisan.
“Kemampuan saya melukis dengan baik mendorong saya memperoleh gred A bagi mata pelajaran itu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kembara seninya membawa Alizan melibaitkan diri dalam pameran lukisan bersama pelukis ternama negara sekitar Shah Alam, Selangor dengan menampilkan karya bertajuk Sungai Tahan, Taman Negara Pahang, Sungai Keniam dan Jeram Perahu Sungai Tembeling.

SERIUS
Pemuda asal Kampung Pagi, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan ini melibatkan diri dalam dunia lukisan selepas tamat peperiksaan SPM pada 2000.
Atas tujuan menimba ilmu dan mempertajamkanlah bakat dimiliki, Alizan mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dengan menjadi pelukis jalanan sebagai pelukis potret.
Hutan batu bukan jiwanya. Selepas sembilan tahun berkelana di kota metropolitan itu, dia memutuskan untuk kembali ke asalnya di Taman Negara, Kuala Tahan dan menetap di Kampung Pagi.
Insan kreatif ini tidak lama mencari identiti yang mahu di bawa dalam karyanya. Nyata persekitaran kehidupan di Taman Negara mempengaruhi arah minatnya melahirkan karya.
Lingkungan kehijauan hutan dan permintaan tinggi terhadap hasil seni bertemakan alam sekitar, seperti sungai dan jeram dalam kalangan pelancong, mendorongnnya memilih keindahan alam sebagai identiti.
“Sewaktu di ibu kota saya melukis potret. Hanya pada 2009 karya saya beralih kepada mesej keindahan hutan tropika, sungai, air terjun, flora dan fauna berasaskan landskap kawasan di Taman Negara Kuala Tahan dan imej kampung di pesisir Sungai Tembeling,” katanya.
PERTAMA KALI
Menyingkap penglibatan dalam seni lukis, kata Alizan, ia bermula apabila diberi kepercayaan pihak pentadbir Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pagi, berdekatan rumahnya untuk melukis mural dinding bertemakan alam sekitar.
“Saya berjaya menyiapkan mural bertemakan pemandangan Kampung Pagi dan dalam tempoh dua minggu. Fokus utama tema lukisan ini berasaskan senario kedamaian Kampung Pagi, tempat lahir saya dan keindahan Sungai Pengau, Sungai Bubut dan Air Terjun Pengau yang kini sudah mula tercemar akibat pembalakan,” katanya.
Alizan menjelaskan, kemahiran melukis secara kontemporari menggunakan pelbagai warna air dan poster diperoleh menerusi tunjuk ajar seorang pensyarah bidang Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang kerap berkunjung ke kampung tersebut.
Antara pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang kerjaya sebagai pelukis adalah hasil karyanya bertajuk Jeram Perahu 2 dibeli oleh salah seorang ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika mengadakan pameran di Shah Alam, Selangor tahun lepas dengan menawarkan harga RM8,000.

KARYA BAHARU
Dalam perkembangan lain, katanya, dia sudah menyiapkan catan bertajuk Perahu Sungai Tembeling, Lubuk Sungai Tembeling dan Jeram Perahu serta beberapa hasil seni berasaskan tema sungai dan hutan.
“Setiap lukisan termasuk potret akan dijual dengan harga antara RM500 hingga RM10,000. Karya ini khusus buat peminat lukisan bertemakan alam sekitar termasuk pelancong yang singgah di Taman Negara Kuala Tahan.
“Kini saya membuka galeri di rumah sambil menyiapkan karya baharu dan pada masa yang sama mengajar bakat baharu pelukis dalam kalangan pelajar dan belia seminggu sekali,” ujarnya.










