Ariff buka peluang niaga pasar basah - Utusan Malaysia

Ariff buka peluang niaga pasar basah

ARIFF bersama bapa saudaranya yang merupakan pengasas pasar tersebut, Faizal Mohd. Ross (kiri). – UTUSAN/ZULQARNAIN ABU HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wabak Covid-19 menggugat pelbagai sektor, tidak terkecuali sukan.

Keadaan itu bagaimanapun bukanlah alasan atlet luncur negara, Mohamad Ariff Rasydan Mohamad Fadzli, 22 menggantung terus kasut luncur aisnya.

Sebaliknya, beliau mengambil keputusan melalui fasa endemik Covid-19 dengan meluncur di arena perniagaan dengan membuka FMR Fresh Mart (fmrfreshmart).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak membuka kedai berkenaan kira-kira lapan bulan lepas, ia menerima sambutan menggalakan daripada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perniagaan milik keluarga terletak di Kajang, Selangor itu adalah pengimport, pemborong dan penjual ikan segar.

TEMPUH CABARAN

Menurutnya, apa yang diusahakan hari ini ibarat menuai di ladang rezeki. Segala hasilnya akan dituai kemudian hari dan dapat dikongsikan bersama anggota ahli keluarganya yang lain.

“Walaupun masih muda, tetapi saya tidak pun rasa gentar berkecimpung dalam bidang perniagaan. Lagipun saya seorang yang sukakan cabaran. Perniagaan seperti ini mendorong saya untuk membantu orang lain, menaik taraf diri untuk lebih baik,” katanya.

Selaku Pegawai Operasi, Ariff berkata disiplin masa adalah tonggak utama perlu dipatuhi kerana ia membabitkan produk makanan basah.

“Kebanyakan masa bagi peniaga ikan seperti saya ialah waktu yang terhad. Justeru perancangan rapi adalah perlu dalam memastikan operasi kedai dapat berlangsung dengan lancar,” katanya.

Rutin hidupnya juga berubah hampir 360 darjah. Sebelah malam selepas tutup kedai dia akan ambil ikan daripada pembekal dari pukul 12 malam sehingga ke 5 pagi.

“Jadi, saya hanya ada masa untuk berehat dua jam sahaja. Pada pukul 7 pagi persiapan untuk pemborong pula. Pendek kata, kena kuat semangat,” kata anak kelahiran Melaka ini.

Berkongsi mengenai sambutan perniagaan, kata Ariff ia memberangsangkan berikutan berlaku pertambahan kuantiti dari pelanggan.

“Dua bulan ini, kita tambah dalam 100 kilogram (kg) setiap jenis ikan. Sebelum ini purata 500KG ke 1,000 kg setiap minggu. Kini naik 1,100 kg ke 1,300 kg seminggu,” katanya.

IBU bapa Ariff dan Ameer (kanan) yang sentiasa berada di samping dalam mendorong minat mereka dalam sukan luncur ais.

PELUANG UNTUK ATLET

Dalam membantu rakan atlet yang lain, Ariff turut membuka peluang niaga kepada rakan atlet dan bekas atlet untuk meraih pendapatan tambahan. Hingga kini ada empat atlet menyertai perniagaan tersebut.

“Sebagai pendedahan awal, atlet berkenaan perlu bekerja selama sebulan di pasar ikan fmrfreshmart, sebelum berniaga di lokasi masing-masing,” katanya.

TERUS BELAJAR

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Profesional di Universiti Limkokwing ini berkata tamat pengajian kelak, beliau menyasarkan untuk bergiat aktif sebagai pegawai perhubungan awam dalam bidang sukan.

“Ramai yang selalu tanyakan pada saya tentang pembahagian masa. Sejujurnya, ada waktu-waktu saya “lemas” dengan lambakan tugasan di samping pengurusan kerja di pasar ikan dan perniagaan kecil lain seperti menjual burger (@hookup_place).

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Lama-lama saya sudah terbiasa dengan beban kerja ini,” katanya.

DARI KECIL SUKA SUKAN LUNCUR

Ariff mula mengukir nama di persada sukan luncur negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan menjulang pingat emas bersama pasukannya.

Mendampingi sukan luncur sejak berusia lapan tahun lagi, katanya sewaktu emaknya bekerja di sekitar Sunway Pyramid dia suka tengok orang main luncur ais dalam pusat beli belah itu.

“Pada awalnya, emak tidak bagi main sebab bunyinya macam high maintenance. Namun pada hari lahir saya kata nak main. Emak cakap, kata kalau nak kenalah serius. Sejak hari itu, kami ambil jurulatih sampailah ke peringat pemilihan dan ke tahap di mana saya hari ini,” ujarnya.

Hampir kehilangan ibu jarinya pada tahun 2017 ketika menyertai World Cup di Innsbruck, Austria antara kenangan kekal dalam mindanya.

Namun itu tidak memudarkan semangatnya, sebaliknya kian aktif meluncur.

Dalam perkembangan terbaharu, pemenang kejohanan Terbuka Australia Short Track Speed ini akan menjalani latihan ke pertandingan peringkat Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Switzerland, Disember ini.

ARIFF (kiri) dan rakan sepasukan dalam Sukan SEA 2017 yang merangkul pingat emas ke-145 bagi kontinjen Malaysia di Empire Damansara. Turut sama, Ameer Iman (tengah).

MELUNCUR DENGAN ADIK

Menariknya, Ariff tidak keseorangan dalam arena luncur itu apabila turut disertai adiknya, Muhammad Ameer Iman, 19.

Kegembiraan berganda setiap kali mereka mewakili negara dalam mana-mana pertandingan.

“Kalau nak cakap pasal keseronokan sejujurnya biasa-biasa saja. Cuma bila ada adik ini semangat itu lebih kuat.

“Contohnya dalam pertandingan sama ada saya atau dia akan saling jaga satu sama lain, kerja sepasukan,” kongsinya.

Melihat prestasi dan minat seiring dalam sukan luncur ais, kongsi Ariff, ibu dan bapanya, Azlina Muhammad dan Mohamad Fadzli Johan berpesan supaya tidak seperti hangat-hangat tahi ayam.

“Pesan emak ayah kalau buat, biarlah serius dan jangan buat separuh jalan. Awalnya saya dan adik tidak ada pun terlintas untuk fokus sampai wakil negara,” katanya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×