PETALING JAYA: Seramai 100 usahawan bergelar jutawan ‘turun padang’ berkongsi mengenai perjalanan jatuh bangun mereka serta strategi perniagaan terutama ketika krisis pandemik menerusi Titan Summit 2021 anjuran RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks).
Perkongsian secara maya itu dijalankan selama tiga hari bermula semalam hingga esok secara percuma.
Mentor Usahawan dan Pengerusi RichWorks, Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, 100 usahawan jutawan tersebut merupakan sebahagian daripada lebih 300 usahawan yang mendapat bimbingan secara dekat bersamanya.
“Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bergelar jutawan ini akan berkongsikan perjalanan mereka membina bisnes sehingga berada di tahap membanggakan, malah sebenarnya telah lama menyumbang kepada negara.
“Menerusi platform ini, mereka akan berkongsi bagaimana menyesuaikan keadaan semasa dan bangkit dengan cepat, sehingga kebanyakannya memperoleh hasil jualan lebih tinggi berbanding tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Titan Summit 2021 menampilkan sebahagian daripada lebih 700 usahawan di bawah RichWorks yang merekodkan jualan terkumpul pada 2020 berjumlah RM2.2 bilion.
Menurut beliau, usahawan-usahawan tersebut tampil secara sukarela bagi berkongsi pengalaman masing-masing yang boleh dijadikan pengajaran dan inspirasi buat semua.
“Jalan pintas untuk berjaya adalah dengan belajar daripada pengalaman orang yang sudah melalui dan mencapainya. Rugi rasanya jika usahawan-usahawan lain tidak turut serta dan mengikuti sendiri perkongsian usahawan jutawan ini,” jelasnya.
Dalam perkongsian hari pertama, pengasas Eng’s Popcorn, Mohamad Shazarul Ismail berkata, hasil memperkasa jualan dalam talian di tengah-tengah pandemik, hasil jualan syarikatnya meningkat kepada RM5.8 juta setakat tahun ini (kelmarin ) berbanding RM5.2 juta jualan sepanjang tahun lalu.
“Dahulu saya bekerja di pasar pagi bersama bapa saudara dengan gaji RM900. Kemudian, timbul idea untuk menjual bertih jagung pada 2017.
“Pada awalnya sudah tentu banyak cabaran, namun apabila saya menyertai program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) anjuran RichWorks, banyak ilmu perniagaan dan bimbingan yang diperolehi sekali gus membantu meningkatkan perniagaan saya.
“Kini, saya mempunyai sebuah kilang dan mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung sendiri. Apa yang saya kecapi sekarang berbaloi dengan pengorbanan selama ini,” ujarnya.
Penyertaan Titan Summit 2021 masih dibuka dan orang ramai khususnya usahawan boleh melayari laman web richworks.com/titansummit untuk pendaftaran. – UTUSAN











