Vaksin hati daripada syaitan - Utusan Malaysia

Vaksin hati daripada syaitan

Terlalu banyak makan juga membuka pintu untuk syaitan memasukkan rasa was-was kepada manusia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AR-RAUDHAH

Hati sanubari ialah seketul daging yang berbentuk jantung yang terletak di sebelah kiri dada dan di dalam rongga itu pula terdapat darah hitam. Di sinilah pusat pancaran dan sumber nyawa.

Perincian tentang hati seperti di atas ini merupakan kejadian dari alam nyata yang dapat dilihat oleh binatang apatah lagi manusia.

Hati yang ada hubungkait dengan agama bukanlah perincian seperti di atas tetapi ia adalah suatu kejadian istimewa yang sentiasa dilihat dan dinilai oleh Allah SWT.

Hatilah sebenarnya yang mematuhi perintah Allah manakala ibadat-ibadat yang dilakukan oleh anggota-anggota jasmani itu merupakan sinaran cahaya-cahayanya.

Hatilah juga yang menderhaka dan bermaksiat kepada Allah yang mana terbayang pada keburukan-keburukan yang dilakukan oleh anggota-anggota jasmani.

Maka, gelap atau terang hati seseorang akan terlihat pada buruk atau baiknya tingkahlaku zahir.

Hati kita adalah seperti raja yang mempunyai dua jenis tentera. Satu jenis boleh dilihat dengan mata kasar dan satu lagi tentera batin yang dilihat dengan mata hati (basirah).

Tentera hati yang boleh dilihat dengan mata kasar ialah tangan, kaki, mata, telinga, lidah dan seluruh anggota zahir jasad kita.

Anggota-anggota ini dicipta khas untuk berkhidmat kepada hati dan mematuhinya tanpa sedikit pun menunjukkan penentangan.

Jika hati menyuruh mata celik, maka mata akan celik. Jika ia menyuruh kaki berjalan, kaki akan berjalan, jika ia menyuruh lidah menutur, lidah juga akan menutur. Begitulah seterusnya dengan lain-lain anggota.

Manakala tentera batin kepada hati adalah ilmu pengetahuan dan hikmah yang mengenalkan kepada Allah SWT. Inilah yang membezakan kemuliaan dan ketinggian darjat di antara manusia.

Kalbu atau hati adalah seperti benteng, sementara syaitan pula sebagai musuh yang mahu memasukinya untuk menakluki dan menguasinya.

Sebagai langkah memelihara keselamatan benteng itu, pintu-pintu masuk ke dalamnya gerbang-gerbang dan tempat-tempat yang boleh ditelusi hendaklah dikawal rapi.

PELIHARA HATI

Melindungi hati daripada was-was syaitan adalah fardu ain bagi setiap manusia. Begitu juga mengenal pintu-pintu yang dimasukinya berupa sifat-sifat manusia sendiri yang sangat banyak.

Di antara sifat-sifat tersebut adalah:

Pertama, nafsu marah dan syahwat. Apabila seseorang itu marah, syaitan akan mempermainkannya.

Kedua, hasad dengki dan tamak dunia. Apabila seseorang tamak dan cinta sangat akan sesuatu, maka ketamakan dan kecintaannya itu akan membutakannya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Cintamu terhadap sesuatu adalah membutakan dan menulikan (Riwayat Imam Ahmad).

Ketiga, makan terlalu kenyang. Perut yang kekenyangan makan walaupun makanan itu halal, adalah menguatkan syahwat. Syahwat pula adalah senjata yang digunakan syaitan untuk menguasai manusia.

Keempat, gopoh dan tidak menyelidiki terlebih dahulu. Sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: Gopoh adalah dari perbuatan syaitan dan berhati-hati adalah suruhan Allah. (Riwayat al-Baihaqi)

Oleh itu, setiap tindakan hendaklah dibuat selepas diamati serta dengan penuh pengetahuan mengenainya.

Sikap gopoh dan tergesa-gesa sering menghalang seseorang daripada berfikir terlebih dahulu dan memerhati.

Di tengah-tengah kegopohan itulah syaitan akan datang dengan kejahatannya ke atas manusia tanpa disedari.

Kelima, sangkaan buruk sesama muslim. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak sangkaan, kerana sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa… (al-Hujurat: 12)

Sesiapa yang menuduh orang lain dengan tuduhan yang tidak baik berdasarkan hanya semata-mata pada sangkaannya, syaitan akan menghasutnya supaya meneruskan tuduhannya. Sehingga ia tidak lagi dapat menunaikan hak-hak orang lain itu atau tidak lagi menghormatinya dan memandangnya dengan hina.

Apakah rawatan yang sesuai untuk menentang syaitan ini? Adakah rawatan cukup dengan zikir mengingati Allah dan kata-kata La Hawla Wala Quwwata Illa Billah sahaja?

Jawapannya, menutup pintu-pintu masuk tersebut dengan mensucikan hati dari sifat-sifat yang keji dan hina.

Zikir mengingati Allah tidak dapat bertapak dengan teguh di dalam hati kecuali apabila hati itu dipenuhi dengan takwa dan dibersihkan dari sifat-sifat yang dikeji. Jika hati tidak dipenuhi takwa dan tidak dibersihkan nescaya zikir mengingati Allah itu hanya tinggal sebagai sebutan sahaja dengan tidak mempunyai sebarang kekuasaan ke atas hati.

Seterusnya ia tidak dapat menentang kekuasaan syaitan. Kerana itu Allah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang bertakwa apabila syaitan yang datang berkunjung menipu mereka, mereka ingat kembali dan Ketika itu mereka menjadi orang yang mempunyai penglihatan. (al-A’raf: 201)

Disinilah Allah mengkhususkan golongan yang bertakwa itulah yang tidak dapat ditipu oleh syaitan. Sebenarnya syaitan itu umpama anjing lapar yang sentiasa mendekati anda.

Jika tangan anda tidak memegang makanan, ia tidak akan menyerang. Tetapi, jika tangan anda memegang makanan, ia akan menerkam makanan tersebut tanpa menghiraukan apa-apa.

Begitu juga keadaan hati yang kosong daripada bekalan syaitan, ia dapat dijauhkan dengan zikir sahaja. Tetapi jika nafsu syahwat telah menguasai hati, zikir itu hanya akan bertempat di pinggir-pinggir hati, sementara syaitan berada di tengah-tengahnya.

Semoga hati kita sentiasa dilindungi Allah SWT daripada gangguan dan penguasaan syaitan. Amiin Allahumma Amiin.

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×