Akhlak mulia biarlah ikhlas - Utusan Malaysia

Akhlak mulia biarlah ikhlas

AKHLAK merangkumi segala tingkah laku dan tabiat, baik secara zahir mahupun batin. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT riwayat Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Akhlak merupakan cermin keimanan dan berkait rapat dengan amalan hidup serta kepatuhan kita dalam melaksanakan segala tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Adat Melayu pantang menipu, bercakap dusta memanglah haram. Sifat Melayu memegang malu, adab dijaga siang dan malam. Penjagaan adab dan tatasusila merupakan sesuatu yang amat dititikberatkan oleh masyarakat kita.

Ia bukan sekadar sinonim dengan budaya bangsa, malah digariskan sebagai sebahagian daripada ideologi negara di mana prinsip kelima Rukun Negara ialah kesopanan dan kesusilaan. Maka akhlak yang mulia menjadi asas kepada pembentukan budaya negara.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, akhlak membawa maksud budi pekerti, kelakuan dan tabiat. Ini bermakna akhlak merangkumi segala tingkah laku dan tabiat, baik secara zahir mahupun batin.

Justeru, akhlak mulia bukan hanya sekadar perilaku baik secara fizikal semata-mata tetapi mesti disertakan dengan keikhlasan. Untuk itu, tidak cukup bagi kita sekadar berlaku sopan di hadapan umum, namun pada hakikatnya hanya berpura-pura.

Dalam apa keadaan sekali pun, akhlak baik mestilah diterjemah daripada niat yang benar-benar ikhlas dari hati kita. Guru saya, Dr. Norhissam Mustafa sering mengingatkan, dalam membina akhlak murni, kita hendaklah mendidik jiwa supaya ikhlas dan selari dengan perkara baik yang dilakukan.

POSITIF

Ini bermakna kita harus berusaha keras agar mampu untuk memberi respons positif secara ikhlas dan automatik. Sekiranya masih perlu berlakon untuk memaparkan imej yang baik, maka pada hakikatnya kita belum berjaya kerana tidak bertindak secara ikhlas serta gagal menjiwai perbuatan baik.

Satu perkara penting yang harus kita ingat, menjaga akhlak bukan untuk dipuji, disanjung atau memperoleh apa-apa laba daripada tindakan itu. Hal ini bermakna walau apa pun jua respons orang lain, kita hendaklah sentiasa istiqamah dalam membawa akhlak yang murni.

Sekiranya ada yang memandang rendah atau mempersendakan kesopanan kita, ia tidak harus mengubah niat baik atau melemahkan semangat kita untuk berusaha menjadi insan berakhlak mulia.

Namun, dalam banyak perkara, soal keikhlasan dan kejujuran merupakan sesuatu yang amat sukar untuk diterjemahkan.

Ramai juga yang lebih suka berpura-pura dalam tindakan mereka.

Kadang kala kita melihat seseorang hanya bersikap baik ketika berdepan, namun mencaci maki dan memfitnah di belakang. Seolah-olah akhlak itu dipakai sebagai topeng sahaja dengan tujuan memanipulasikan keadaan.

Hal ini bertambah parah jika ia dilakukan dengan niat untuk menipu ibu bapa sendiri. Ingatlah sabda Rasulullah SAW bahawa keredaan Allah itu terletak pada keredaan ibu bapa dan murka Allah itu terletak pada murka ibu bapa kita.

Budaya bangsa mementingkan pembinaan akhlak yang murni. Dalam konteks negara, akhlak yang baik dalam kalangan rakyat adalah asas kepada kemakmuran. Dengan terbinanya akhlak murni, maka pertelingkahan dan pelbagai masalah masyarakat dapat dielakkan. Hanya dengan cara ini rakyat pelbagai kaum dapat mengecapi makna perpaduan dan kemakmuran sebenar.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×