Pemimpin wanita lebih hebat? - Utusan Malaysia

Pemimpin wanita lebih hebat?

MEHRIBAN ALIYEVA (atas, kiri), JACINDA ARDERN (atas, kanan), SANNA MARIN (bawah, kiri) dan ANGELA MERKEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJARAH tercatat pada 21 Mei 2018 apabila Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama di negara ini.

Wanita sebagai pemimpin negara bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sehingga kini terdapat 26 negara yang sedang dan pernah dipimpin wanita seperti Angela Merkel di Jerman, Sheikh Hasina (Bangladesh), Saara Kuugongelwa (Namibia), Ana Brnabic (Serbia) dan Salome Zurabishvili (Georgia).

Antara mereka yang menjadi bualan dunia ialah Sanna Marin yang menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Finland pada 10 Disember 2019 ketika berusia 32 tahun. Beliau turut dinobatkan sebagai Perdana Menteri termuda di dunia sehingga kini.

Bagaimanapun, pelantikan Marin sebagai Perdana Menteri sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Finland telah pun mempunyai beberapa Perdana Menteri wanita sebelum ini seperti Anneli Jaatteenmaki (2003) dan Mari Kiviniemi yang mengetuai negara itu dari 2010 hingga 2011.

Sebelum Marin dipilih menjadi Perdana Menteri, beliau berkhidmat sebagai Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Finland dalam tempoh masa pendek iaitu dari 6 Jun hingga 10 Disember 2019. Marin sangat dikenali dan dihormati oleh rakyat kerana beliau dikatakan seorang yang berterus terang dan mudah untuk didekati oleh masyarakat.

Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial LinkedIN berkongsi pengalamannya terserempak dengan Marin sewaktu membeli belah di sebuah pasar raya. Menurutnya, Marin seperti kebanyakan orang, berjalan bersendirian sambil diiringi seorang pengawal peribadi. Tidak ingin melepaskan peluang keemasan tersebut, lelaki itu segera meminta kebenarannya untuk mengambil gambar dan diterima dengan baik oleh Marin dan pengawal peribadinya.

Marin mula berkecimpung dalam dunia politik seawal usia 20 tahun sebagai Pengerusi Majlis Perbandaran Tampere dari 2013 hingga 2017.

Marin mencatatkan sejarah tersendiri apabila berada pada ranking ke-85 dalam senarai 100 Wanita Paling Berkuasa di dunia edisi Forbes 2020.

Kerajaan Finland terbentuk dengan kerjasama lima buah parti gabungan berbeza dan menariknya pemimpin parti-parti berkenaan adalah wanita. Boleh dikatakan kerajaan baharu Finland ini seimbang dari segi perwakilan lelaki dan wanita.

Fakta lain juga menunjukkan Finland merupakan negara pertama memberi hak politik sepenuhnya kepada wanita pada 1906. Sekalipun Finland dilihat sudah sempurna dalam pemberian hak kepada golongan wanita, namun di sana tetap terdapat banyak gerakan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu-isu berbeza. Antaranya dalam sektor syarikat persendirian yang menurut mereka peratusan ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam kalangan wanita masih rendah dibandingkan lelaki.

PENGGANAS

Dalam artikel sebelum ini, saya berkongsi kejayaan Republik Demokratik Azerbaijan (1918-1920). Antaranya pemberian hak kepada wanita untuk mengundi pada 1919, iaitu jauh lebih awal daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lain.

Pencapaian Azerbaijan itu bukan sahaja membanggakan rakyatnya bahkan dunia Islam secara khususnya. Naib Presiden yang juga wanita pertama Azerbaijan, Mehriban Aliyeva sangat disayangi rakyatnya kerana beliau dikatakan menjalankan tugas dengan baik dan penuh tanggungjawab.

Dalam pada itu di New Zealand, sejak Jacinda Ardern menggalas tugas sebagai Perdana Menteri pada 2017, beliau sentiasa menjadi perhatian seluruh dunia dan dihormati masyarakat Islam. Beliau disifatkan sebagai seorang Perdana Menteri yang baik hati dan berjiwa rakyat.

Berusia 40 tahun, Jacinda sekali lagi diberi perhatian apabila berjaya membendung jangkitan Covid-19 di New Zealand sejak dari tahun lepas lagi. Kepantasannya mengisytiharkan sekatan pergerakan sebaik sahaja kes pertama dicatatkan telah memudahkan New Zealand membuka semula semua sektor kepada rakyatnya lebih awal dan selamat.

Namanya meniti di bibir rakyat Malaysia pula setelah peristiwa serangan pengganas di Masjid Al Noor, Christchurch yang menyebabkan 51 orang terbunuh serta mencederakan 40 yang lain pada 2019. Jacinda mengisytiharkan insiden tersebut sebagai serangan pengganas dan menyifatkan hari itu sebagai salah satu hari paling malang di New Zealand. Lawatan beliau terhadap mereka yang tercedera serta ahli keluarga mangsa telah banyak meredakan keadaan.

Wanita sentiasa dikaitkan dengan sikap toleransi dan bertolak ansur yang tinggi. Oleh itu, kita dapat lihat banyak negara yang dipimpin oleh golongan wanita berada dalam keadaan aman damai.

Majalah terkemuka dunia, TIME pula menobatkan Canselor Jerman, Angela Merkel sebagai Individu Tahun 2015 disebabkan cara beliau menangani krisis pelarian Syria di Eropah dan membenarkan pelarian Syria untuk mendapatkan perlindungan di negaranya.

Begitu banyak kejayaan-kejayaan pemimpin dalam kalangan wanita yang perlu dikupas dan diambil contoh. Namun, persoalan di sini, adakah suatu hari nanti kita akan menyaksikan wanita diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia? Mengapa tidak?

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×