Guna MyKad individu lain untuk vaksin - Utusan Malaysia

Guna MyKad individu lain untuk vaksin

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gara-gara terde­sak mahu menerima suntikan vaksin, ada segelintir individu dikesan sanggup menggunakan kad pengenalan (MyKad) orang lain sebagai butiran penerimaan imunisasi Covid-19 itu.

Mendedahkan isu itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, lebih lapan aduan di­terima pihaknya setakat ini.

Kata beliau, siasatan terperinci sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada individu terlibat adalah warga asing atau warga tempatan.

“Ada aduan yang kami terima, terdapat pemilik sebenar hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mengambil suntikan vaksin namun sebaik sahaja tiba di sana, nama dan maklumat kad pengenalan mereka telah pun menerima suntikan.

“Walhal, mereka tidak pernah hadir bagi menerima suntikan vaksin terbabit,” katanya ketika wawancara di Ibu Pejabat JPN, Putrajaya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ruslin mendedahkan, JPN menahan 20 warga asing kerana menggunakan Mykad palsu untuk mendapatkan suntikan vaksin baru-baru ini.

Ujar Ruslin, kesemua mereka terdiri daripada 10 wanita serta tiga lelaki berusia antara 21 hingga 61 tahun telah didakwa pada 14 Ogos lalu mengikut Pe­raturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

“Siasatan lanjut mendapati mereka turut dikesan menggunakan Mykad palsu itu dalam melakukan urusan rasmi sejak beberapa tahun lalu.

“Mereka ini sanggup menggunakan kad pengenalan milik orang lain dengan tujuan mendapatkan kemudahan dan keistimewaan sama seperti warganegara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×