Mukadimah
Masjid adalah tempat paling mulia di muka bumi. Ia menjadi lokasi utama umat Islam terutamanya golongan lelaki menunaikan solat fardu berjemaah.
Ramai dalam kalangan kita apabila berada di masjid, rajin juga menunaikan solat-solat sunat terutama sunat rawatib.
Bagaimanapun, ramai juga yang tidak melanjutkan mendirikan solat-solat di rumah masing-masing. Walhal, di rumahlah paling afdal untuk solat sunat.
Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor, FIRDAUS SUBHI bagi mengupas isu ini.
Beliau juga pernah bertugas sebagai Imam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pada 2007 hingga 2015.

Solat fardu berjemaah adalah fardu kifayah bagi kaum lelaki. Dalam suasana pandemik Covid-19, ‘fardu’ itu berpindah ke rumah kerana bilangan jemaah solat dihadkan. Apakah panduan agar kita dapat mengekalkan solat berjemaah waima di rumah? Sebab ramai yang kalau di rumah, lebih suka solat bersendirian.
FIRDAUS: Solat fardu berjemaah adalah fardu kifayah, memadai dengan adanya sekelompok orang menunaikan solat fardu secara berjemaah pada setiap solat fardu maka gugurlah dosa umat Islam yang lain.
Kaedah untuk mengekalkan solat berjemaah adalah dengan cara-cara berikut :
a. Menambahkan ilmu dengan membaca kelebihan solat secara berjemaah.
b. Memahami tentang matlamat kehidupan di dunia adalah untuk beribadah
c. Banyakkan berdoa kepada Allah agar membantu melaksanakan ibadah solat.
d. Mengajak ahli keluarga agar membiasakan diri melaksanakan solat secara berjemaah
Antara kebiasaan jemaah di masjid adalah melakukan solat sunat rawatib setiap kali selepas solat fardu. Ada juga yang terus solat sunat di tempat yang sama tanpa beralih ke tempat lain. Ada juga yang terus solat sunat tanpa memisahkan antara kedua-duanya dengan bercakap-cakap dahulu. Adakah cara ini betul? Berapa lamakah jarak daripada solat fardu dengan solat sunat rawatib?
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa dalam kalangan orang islam menunaikan solat sunat sebanyak 12 rakaat maka Allah akan membina baginya sebuah istana di dalam syurga. (Riwayat Muslim)
Para ulama menjelaskan solat sunat tersebut ialah empat rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat sesudahnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas Isyak dan dua rakaat sebelum Subuh.
Adapun beralih tempat solat untuk mengerjakan solat sunat adalah afdal.
Dalam isu ini terdapat sebuah nas yang menyuruh agar dipisahkan antara solat fardu dan juga solat sunat. Ini dari sudut tidak dilaksanakan solat sunat secara mubasyarah (serta-merta) sesudah solat fardu selesai didirikan.
Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: Apabila kamu selesai mendirikan solat Jumaat maka janganlah kamu menyambungnya dengan solat (yang lain) sehingga kamu berkata-kata atau kamu keluar. Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan perkara tersebut supaya tidak disambungkan solat sehingga kami berkata-kata atau kami keluar. (Riwayat Muslim)
Di dalam hadis ini jelas memberikan petunjuk kepada kita bahawa disunatkan untuk menunaikan solat rawatib dengan berubah tempat sama ada di dalam masjid atau melaksanakannya di rumah.
Ini sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Daripada Zaid bin Thabit r.a bahawa Nabi bersabda: Solatlah kamu semua wahai manusia di rumah kamu masing-masing. Sesungguhnya seafdal-afdal solat itu ialah solat seseorang di rumahnya melainkan solat fardu. (Muttafaqun alaih).
Di samping itu juga, di antara solat fardu dan solat rawatib itu juga dipisahkan dengan percakapan. Ini bagi membezakan antara solat fardu dan solat yang lain.
Antara sebab mengapa perlu berubah tempat solat adalah bagi memperbanyakkan penyaksian amalannya kelak di hari kiamat. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya. (al-Zalzalah: 4)
Adapun jarak di antara solat fardu dan rawatib adalah selagi tidak memasuki waktu yang lain bagi solat ba’diyyah (selepas solat fardu) dan sebelum menunaikan solat fardu bagi solat qobliyyah (sebelum solat fardu). Namun sebaik-baiknya ia perlu disegerakan.
Ada orang yang rajin solat sunat di masjid dan surau tetapi bila di rumah ia langsung tak solat sunat atau jarang solat sunat. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
Inilah pentingnya menuntut ilmu bagi memperbetulkan kefahaman kita. Ada orang rajin melaksanakan ibadah semasa di masjid tetapi jarang melakukannya semasa di rumah.
Amal yang soleh tidak memerlukan kepada ramainya manusia yang melihatnya. Bahkan melaksanakan amalan tanpa dilihat oleh manusia itu jauh lebih baik di sisi Allah SWT seperti sedekah dan berpuasa.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 271)
Begitu juga di dalam ibadah puasa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu milikku dan Aku yang akan memberikan balasan kepadanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini bagi menjauhkan sifat riak, ujub dan sombong yang ada di dalam diri seseorang muslim.
Berkaitan jawapan tentang banyaknya solat sunat di masjid tetapi tidak lakukan di rumah maka perlulah difahami bahawa Islam mengajar kepada kita untuk bersegera dalam melakukan ketaatan di dunia.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (ali-Imran: 133)
Jelas di dalam ayat tersebut galakan agar bersegera di dalam mendapatkan keampunan kepada Allah melalui amalan-amalan soleh yang dilakukan tanpa mengira waktu dan tempat.
Ini memandangkan usia yang diberikan begitu terhad malah tidak diketahui bila masanya ia akan berakhir.
Perkara kedua, berkaitan lokasi ibadah yang dilaksanakan pula, maka Islam begitu mengambil berat berkaitan masjid sebagai tempat melaksanakan ibadah.
Ini dibuktikan dengan hadis yang bermaksud: Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, Masjid Rasulullah SAW dan juga Masjid al-Aqsa. (Riwayat Bukhari)
Adalah jelas, masjid merupakan tempat yang begitu istimewa di dalam hati orang beriman. Bahkan ada juga hadis yang menyebutkan keberadaan malaikat di masjid menantikan kehadiran para jemaah dan mendoakan mereka dengan kebaikan dan rahmat daripada Allah SWT.

Namun begitu, agama Islam turut mengambil berat tentang persoalan niat di dalam melaksanakan sesuatu amalan ibadah khususnya ibadah solat. Ini bagi mengelakkan lahirnya sifat riak, sombong, ujub dan segala sifat mazmumah yang tersedia di dalam diri manusia.
Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. (Riwayat Bukhari)
Hati perlu dijaga dalam setiap ibadah yang dilakukan agar tidak sia-sia. Semakin tersembunyi sesuatu amalan itu maka semakin jauh daripada unsur riak dan selainnya. Ini kerana sifat riak merupakan syirik yang tersembunyi (khafi) atau syirik kecil.
Inilah yang diperingatkan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil. Para sahabat bertanya: Apakah syirik yang kecil wahai Rasulullah?. Nabi SAW bersabda: Itulah riak. Allah SWT akan berfirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu). (Riwayat Ahmad)
Apakah pula hukumnya golongan wanita yang suka solat berjemaah di masjid? Adakah lebih utama untuk mereka solat di rumah atau di masjid?
Untuk wanita, mereka lebih baik solat di rumah berbanding di masjid. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Solat seorang wanita di rumahnya lebih afdal dari bersolat di ruangan luar rumah. Solatnya di bilik khas lebih baik daripada bersolat di dalam rumah. (Riwayat Abu Daud)
Namun Islam tidak melarang mereka menunaikan solat di masjid dengan syarat mereka perlu menjaga syarat-syarat sebagai seorang muslimah ketika keluar dari rumah mereka.
Ini disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud: Janganlah kamu melarang wanita-wanita kamu ke masjid namun rumah mereka lebih baik bagi mereka. (Riwayat Ahmad)
Ada juga jemaah di masjid yang lebih gemar membaca al-Quran menggunakan telefon bimbit berbanding memegang mushaf al-Quran. Adakah sama pahala membaca al-Quran guna telefon bimbit dan mushaf?
Dalam hal ini, mari kita perhatikan kata-kata Abdullah bin Masud di dalam riwayat Ibn Abi Syaibah yang bermaksud: “Panjangkan pandangan kamu pada mushaf”.
Imam an Nawawi juga ada menyebutkan di dalam kitab al Muhazzab yang bermaksud: “Membaca di dalam mushaf lebih baik atau afdal daripada membaca secara hafalan kerana ia menghimpunkan antara bacaan dan melihat mushaf. Ia juga merupakan ibadah”.
Di samping itu, mereka yang membaca al-Quran dengan mushaf maka diwajibkan untuk berada dalam keadaan berwuduk ketika menyentuhnya sementara menyentuh telefon bimbit yang mengandungi ayat al-Quran tidak diwajibkan berwuduk.
Sudah tentulah menyentuh mushaf itu lebih banyak keberkatannya berbanding menyentuh telefon bimbit.
Adapun dari sudut pahala bacaan adalah serupa sama ada dengan menggunakan mushaf atau telefon bimbit. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah al-Quran dengan tartil. (al-Muzzammil: 4)
Ada beberapa pandangan tentang solat sunat muakkad iaitu 10 atau 12 rakaat. Manakah yang lebih utama dan apakah pecahannya?
Daripada Ummu Habibah r.ha, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Dua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. (Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibn Majah)
Jelas dari hadis di atas bahawa solat sunat yang muakkad ada 12 rakaat .
Namun begitu, solat sunat tidak terhad dengan 12 rakaat malah boleh ditambahkan dengan solat-solat sunat yang lain sehingga Allah menyayangi hamba-Nya.
Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Dan sentiasa hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunnah, sehingga Aku mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya maka Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku akan menjadi penglihatannya yang ia pergunakan untuk melihat, Aku akan menjadi langkah kakinya yang dengannya ia melakukannya. Apabila ia berdoa pasti Aku kabulkan. Apabila ia memohon pertolongan pasti Ku tolong. (Riwayat Bukhari).










