PETALING JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan mengumumkan sistem baharu dengan penilaian lebih baik dan telus untuk pegawai perubatan lantikan kontrak dalam tempoh dua minggu lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Prakash berkata, hasil perbincangan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kelmarin, tempoh tersebut untuk menetapkan sistem baharu kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap, peluang lanjutan pengajian dan masa depan profesion mereka.
Katanya, gerakan tersebut menuntut Kementerian Kesihatan memberikan tempoh kontrak yang lebih lama kepada mereka untuk menjamin masa hadapan mereka yang lebih cerah.
“Tempoh kontrak tersebut mestilah diberi atas 10 hingga 15 tahun dan bukannya diberikan tempoh yang singkat iaitu selama dua hingga 5 tahun sahaja.
“Dalam keadaan pandemik covid-19 ketika ini, tempoh kontrak itu dapat menjamin masa depan mereka dan dapat kenaikan gaji yang setara dan sama seperti sistem pekerja tetap,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Khairy memberi komitmen akan mencari titik penyelesaian interim yang lebih baik berhubung isu dihadapi pegawai perubatan lantikan kontrak.
“Beberapa perkara dibangkitkan termasuk kaedah penilaian prestasi bagi perjawatan tetap peluang lanjutan pengajian dan masa depan profesion mereka,” kata Khairy menerusi kenyataan di Facebook.
Dr. Prakash berkata, Khairy bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berbincang mahu menetapkan lebih banyak tempat dan peluang bagi doktor kontrak.
“Sudah semestinya dengan kemasukan doktor kontrak dapat membantu lebih banyak tenaga pengajar di pusat pengajian universiti, sekali gus lebih ramai berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.
“Sebagai contoh, kita mempunyai bahan mentah yang banyak tetapi tidak dapat diproses kerana kekurangan alat. Begitulah situasi terhadap doktor kontrak ketika ini,” jelasnya.
Dr. Prakash menambah, jika doktor kontrak diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran, beliau merasakan mereka lebih memilih untuk melanjutkan pengajian mereka di Malaysia kerana kos pengajian di luar negara perlu ditanggung sendiri oleh mereka.
Menurutnya, jika doktor kontrak berpeluang melanjutkan pengajian di negara ini, mereka dapat belajar sambil bekerja di bawah Kementerian Kesihatan serta dapat menimba pengalaman.
Setakat ini, terdapat seramai 23,096 orang pegawai lantikan kontrak yang merangkumi 23,077 pegawai perubatan lantikan kontrak dan 19 orang pakar perubatan lantikan kontrak.
Jumlah keseluruhan pegawai perubatan adalah seramai 55,981 orang iaitu 32,885 pegawai lantikan tetap yang merangkumi 26,892 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan 5,993 orang pakar perubatan lantikan tetap. – UTUSAN










