Pinda AUKU selaras Undi18 - Utusan Malaysia

Pinda AUKU selaras Undi18

KERAJAAN menegaskan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi18 sebelum 31 Disember 2021. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penambahbaikan atau pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang mengekang mahasiswa daripada terlibat dalam politik perlu dilakukan seiring dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.

MUHAMMAD DARWISY ROSLAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Darwisy Roslan, 23, berkata, perkara itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi membolehkan mahasiswa melibatkan diri dalam politik tanpa sebarang kekangan.

Katanya, ini kerana pelaksanaan Undi18 bukan sahaja pada usia tetapi pemerkasaan sistem dan belia dalam institut masyarakat serta pendidikan politik itu sendiri.

“Sememangnya baru-baru ini ada perjumpaan bersama bahagian pengajian tinggi untuk tambah baik AUKU dan antara yang dibangkitkan berkenaan politik dalam mahasiswa.

“Andai perkara itu berlaku, maka selari dengan apa yang mahu dibuat. Namun jika sebaliknya, maka benda itu kena dibuat secepatnya. Mahu atau tidak memang kena ubah AUKU kerana pemerkasaan bukan saja pada kelayakan pengundi, tetapi sistem dan undang-undang terutamanya juga kena bersedia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, kerajaan menegaskan tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengarahkan Putrajaya untuk melaksanakan Undi18 sebelum 31 Disember 2021.

Ketika ditanya sama ada mahasiswa sudah bersedia atau sebaliknya, Muhammad Darwisy berkata, kesediaan seseorang bukan terletak pada angka, tetapi lebih kepada bagaimana seseorang itu menilai dan memahami perkara yang dibuat.

MUHAMMAD HANIFF NAIM

Senada dengannya, Presiden Kolej Kediaman UIAM Pagoh, Muhammad Haniff Naim, 23, berkata, perubahan AUKU itu membolehkan mahasiswa melibatkan diri secara langsung dengan politik semasa selari dengan kempen Undi18.

“Ini kerana mahasiswa sudah mempunyai Parlimen Belia, tetapi usaha itu terhenti setakat itu kerana tiada peluang secara terus untuk melibatkan diri (dalam politik).

“Sememangnya pelajar harus dididik agar melibatkan diri secara langsung dalam bidang-bidang politik supaya dapat meningkatkan literasi politik itu sendiri sekali gus menjadikan kita ke arah negara lebih maju,” katanya.

ANAS MUHAMMAD FARIHIN OSMAN

Bagaimanapun, Naib Yang Dipertua 1, Majlis Persatuan Pelajar (MPP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Anas Muhammad Farihin Osman, 22, berkata, sememangnya kekangan AUKU itu tidak membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik, namun ia tidak menghalang seseorang itu untuk cakna isu-isu berkaitan politik semasa.

Katanya, apabila undian itu menentukan masa depan negara, maka mahasiswa perlu lebih cakna dalam menentukan masa depan negara. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×