SEPERTI dijangka, perjanjian tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau AUKUS segera dipersoal oleh China. Perjanjian terbaru tiga negara yang memberi Australia akses kepada teknologi kapal selam nuklear itu diselar oleh China sebagai langkah amat tidak bertanggungjawab dan mendatangkan bahaya kepada kestabilan rantau ini.
China turut mengutuk AS yang dianggapnya bertindak bodoh menembak kakinya sendiri selain menyelar Australia sebagai bertindak secara bermusuh terhadapnya mengenai beberapa isu kebelakangan ini termasuklah isu pandemik, keselamatan rantau ini dan perdagangan rentas negara.
Pada Khamis lalu (16 September), jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, perjanjian AUKUS itu menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini dan meningkatkan lagi perlumbaan senjata.
Tegasnya lagi, pengeksportan teknologi kapal selam nuklear oleh AS dan Britain ke Australia membuktikan sekali lagi bahawa mereka menggunakan eksport nuklear sebagai satu alat permainan geopolitik, sambil mengamalkan dwistandard yang amat tidak bertanggungjawab.
Menolak dakwaan China itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyatakan, China kini sudah pun ada program kapal selam nuklear sendiri untuk memelihara kepentingan negara mereka. Begitulah juga halnya, Australia berhak mempertahankan dirinya sama ada bersendirian atau bekerjasama dengan negara-negara lain.
Penganalisis politik sependapat bahawa perjanjian AUKUS ini bukan hanya bertujuan memanfaatkan Australia tetapi lebih penting lagi bertujuan menentang dan melemahkah pengaruh China dalam bidang ekonomi dan ketenteraan di rantau Asia Pasifik.
Menyokong tindakan negaranya, bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbot berkata, Australia perlu bekerjasama dengan UK dan AS untuk menangani cabaran terbesar masa ini, iaitu pengaruh China. Menurutnya lagi, jentera ketenteraan China (armada serta peluru berpandu) lebih besar daripada yang dimiliki AS. Oleh itu, Australia akan lebih selamat dan lebih kuat akibat perjanjian bersejarah ini.
REAKSI PUTRAJAYA
Bagaimana reaksi Putrajaya mengenai perkembangan terbaru ini? Kita dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta Perdana Menteri Australia terus menghormati rantau ini sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Diisytiharkan pada 1971 di Kuala Lumpur, ZOPFAN disertai Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Kata Ismail Sabri lagi, AUKUS boleh mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di wilayah Indo-Pasifik ini, selain memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk bertindak lebih agresif terutama dalam wilayah Laut China Selatan.
Malaysia mahu semua kuasa-kuasa besar ini sentiasa menghormati pendirian negara ini berhubung kehadiran kapal selam berkuasa nuklear di perairan Malaysia selaras dengan kehendak Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan kewujudan Zon Bebas Senjata Nuklear Tenggara Asia (SEANWFZ).
PERLUMBAAN SENJATA NUKLEAR
Perlumbaan senjata nuklear telah lama wujud. Enam kuasa nuklear pada masa ini adalah AS, Rusia, UK, Perancis dan China. Negara-negara yang memiliki senjata nuklear pada masa ini termasuklah India, Pakistan, Korea Utara dan Israel.
Walaupun telah lama wujud satu perjanjian multilateral bernama Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT) yang disertai 191 negara termasuk lima negara kuasa nuklear yang disebutkan tadi, perlumbaan senjata nuklear tetap berterusan. Fakta ini mengingatkan saya dengan kata-kata seorang profesor undang-undang antarabangsa sewaktu menuntut di London pada lewat 1960-an, “international law is nothing more than power politics.”
Mengikut laporan BBC pada Januari 2020, jumlah senjata nuklear yang ada sekarang telah berkurangan dari angka 14,000 pada 1986 menjadi 7,000 pada awal tahun lalu.
Tiga negara, AS, UK dan Rusia telah mengurangkan jumlah yang ada dalam simpanan mereka tetapi beberapa negara lain (seperti China, Pakistan, India dan Korea Utara) dipercayai terus menambahnya.
Ironinya, penambahan senjata nuklear bukan menjadikan dunia lebih selamat, bahkan sebaliknya. Apabila India menjalankan ujian senjata nuklear pada 1998, tindakan serupa dilakukan oleh Pakistan. Mengikut portal berita https://www.nti.org, India dan Pakistan hampir-hampir mencetuskan perang nuklear pada Februari 2019 susulan satu serangan berani mati di Kashmir yang mengorbankan 46 anggota polis.
Mengikut portal berita itu lagi, andainya Perdana Menteri India, Narendra Modi memutuskan untuk menyerang Pakistan dengan peluru berpandu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, dia tidak teragak-agak membalas serangan itu tiga kali ganda, jika perlu.
Mengikut pakar senjata, satu peluru berpandu kuasa nuklear yang ditembak dari Pakistan ke India atau sebaliknya boleh kena kepada sasaran dalam masa enam hingga tujuh minit. Andainya kedua-dua negara ini berbalas tembak senjata nuklear, tidak ada mana-mana pihak yang akan menang.
Jika perang nuklear berlaku di rantau ini antara mana-mana kuasa besar nuklear ini (misalnya China dan AS), tidak ada satu pun negara di rantau ini yang selamat. Jika tidak mati dalam peperangan itu sendiri, penduduk rantau ini akan mati dalam holocaust (malapetaka) yang berlaku selepas itu. Tidak mustahil, ia akan membawa kepada Perang Dunia Ketiga.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










