BAGAN DATUK: Penyanyi veteran Datuk M. Daud Kilau sedih dengan berita mengenai nasib Istana Raja Muda di Jalan Syed Aby Bakar, Teluk Intan kerana menyifatkan ia amat dekat di hati rakyat tempatan
Penyanyi yang mendapat jolokan ‘Raja Gelek’ berusia 83 tahun itu berkata, beliau sedih bukan hanya disebabkan ia warisan sejarah bernilai tinggi tetapi dirinya mempunyai nostalgia di istana itu walaupun tidak pernah memasukinya.
M. Daud berkata, ini kerana sekitar tahun 70-an, beliau melihat istana itu setiap kali ke bandar Teluk Intan yang dahulunya dikenali Teluk Anson.
Beliau masih ingat beberapa Raja Muda yang pernah bersemayam di istana itu dan bagi masyarakat setempat, Istana Raja Muda amat dekat di hati mereka.
“Istana itu dekat di hati saya kerana setiap kali ke bandar Teluk Anson, saya akan melalui jalan di istana itu untuk melihat kawasannya yang cantik selain untuk mengambil berkat sebagai rakyat di Hilir Perak.
“Sebenarnya dari situlah timbul minat saya kepada pakaian-pakaian tradisional mirip yang dipakai oleh raja-raja Melayu.
“Minat itu saya terjemahkan dalam pakaian saya ketika membuat persembahan sehingga saya digelar ‘Raja Gelek’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu berharap istana itu dikekalkan.
“Saya harap kerajaan negeri boleh selesaikan isu ini. Saya harap sangat istana ini dikekalkan, dipulihara, banyak kenangan dan kisah istana ini kepada masyarakat di Hilir Perak,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kawasan bangunan istana lama yang berkeluasan dua hektar itu dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.
Kawasan yang dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak itu dikatakan mempunyai nilai tinggi untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur. – UTUSAN










