Pelajar teruja ambil vaksin - Utusan Malaysia

Pelajar teruja ambil vaksin

NUR DANIA BATRISYA ZAKRI (kanan) bergambar bersama ibunya selepas mengambil suntikan dos pertama vaksin di PPV Dewan Wawasan 2020, Kangar, semalam. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelajar yang me­ne­rima suntikan vaksin Co­vid-19 mengakui lebih yakin dan selamat untuk ke sekolah secara bersemuka pada Oktober ini.

Malah, ibu bapa pelajar-pelajar terbabit yang menemani anak masing-masing turut lega dan menyifatkan keselamatan mereka lebih terjamin apabila memasuki sekolah kelak.

Tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Wawasan 2020 pada hari pertama, semalam mendapati rata-rata pelajar teruja menerima dos pertama vaksin dan berharap ia dapat membantu mencegah virus Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma, Nur Dania Batrisya Zakri,17, berkata, dia berasa keselamatannya le­bih terjamin menerima suntikan vaksin tersebut.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk menerima suntikan vaksin apabila memikirkan kese­lamatan diri menjelang pembukaan sekolah dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

“Bila sudah vaksin rasa lebih selamat untuk ke sekolah dan berjumpa kawan-kawan. Semua ahli keluarga saya yang dewasa juga sudah menerima suntikan vaksin. Pada pelajar-pelajar yang lain tidak perlu risau sebab suntik vaksin ini tidak sakit,” katanya.

Ibunya, Emy Zuliana Ismail, 42, berkata, pengambilan vaksin dalam kalangan pelajar sekolah bukan sahaja dapat menjamin keselamatan mereka malah ahli keluarga lain.

“Mula-mula memang risau apabila mendapat tahu sekolah akan dibuka semula, tetapi memikirkan anak akan ambil SPM pada tahun ini maka adalah lebih elok untuk mengambil vaksin.

“Tambahan pula, anak saya yang merupakan anak kedua masih mempunyai adik iaitu paling kecil empat tahun. Jadi, apabila dia berada di sekolah dan pulang ke rumah pun dalam keadaan selamat. Malah, adik dia yang darjah enam pun saya sudah daftar dalam MySejahtera dan kami menunggu tarikh untuk divaksin,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatan kuasa Pendidikan nege­ri, Rozieana Ahmad berkata, pemberian vaksin kepada pelajar diharap dapat membantu mencapai imuniti berkelompok untuk semua peringkat umur.

Katanya, ibu bapa diharap­kan dapat memberi sokongan kepada anak-anak mereka mengambil vaksin supaya sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober ini lebih selamat.

“Kita berharap vaksin ini dapat diberikan kepada semua pelajar yang berusia 12 tahun ke atas. Buat masa ini, tidak ada lagi ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka mengambil vaksin, namun kita akan melihat laporan mengenainya daripada pihak sekolah dan Jabatan Kesihatan negeri,” jelasnya.

Tambah beliau, seramai 3,747 pelajar tingkatan lima di ne­geri ini akan menerima suntikan vaksin dalam masa tiga hari bermula semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini