Sampah: Ikan lumba-lumba, penyu bakal pupus - Utusan Malaysia

Sampah: Ikan lumba-lumba, penyu bakal pupus

SYAMIL ABD. RAHMAN memindahkan ikan lumba-lumba iaitu yang keenam ditemukan terdampar sepanjang bulan ini di pesisir pantai Kuala Perlis, Perlis semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hidupan laut bernilai tinggi terutama ikan lumba-lum­ba dan penyu mungkin ti­dak akan dapat dilihat lagi di perairan negara andai masalah pen­cemaran sampah di laut dan pan­tai negara ini tidak diatasi segera.

Kesan awal kepada masalah itu sudah dapat dilihat sekarang apabila enam insiden ikan lumba-lumba ditemukan terdampar di pesisiran pantai Kuala Perlis sepanjang bulan ini dengan tiga darinya tidak dapat diselamatkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas Pencinta Hijau dan Hidupan Liar Perlis (PNW), Syamil Abd. Rahman berkata, fenomena itu menimbulkan per­­soalan sama ada perairan negara ini termasuk di Pulau Langkawi, Kedah selamat untuk hidupan marin.

Katanya, kewujudan sampah hanyut di perairan Langkawi selain di pesisir pantai di sini mungkin mengelirukan ikan ber­­kenaan dengan menyangka sampah terbabit khususnya botol adalah sumber makanan.

“Ikan berkenaan akan me­ngejar sampah tersebut hingga akhirnya terdampar di pan­tai dan tidak mampu be­renang kembali ke tengah laut ke­rana mungkin air surut ,” katanya.
Antara yang ditemukan dalam tempoh tersebut ialah jenis Bottlenose, Irrawaddy, Indo Pacific Humpback Finless Porpoise dan Paus Kogia.

Syamil memberitahu, jumlah penemuan tersebut adalah yang direkodkan dan belum termasuk kes yang ditemukan nelayan dan tidak dilaporkan.

Katanya, pihaknya akan me­lakukan siasatan menyeluruh me­ngenai punca kematian dan punca haiwan marin itu ter­­­dampar di pesisir pantai se­jak kebelakangan ini bagi me­mastikan Perlis tidak hilang aset marin yang digemari ramai.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 13,000 kilogram sampah dikutip di sepanjang pesisir pantai Kuala Perlis sehingga Kuala Sanglang sejauh 13 kilometer setiap minggu dengan 80 peratus melibatkan plastik seperti botol.

Sementara itu, pensyarah kanan Teknologi Marin, Uni­versiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Rosnani Nazri berkata, sisa pepejal di perairan boleh mengganggu ekosistem rantaian makanan yang bukan sahaja melibatkan ikan lumba-lumba tetapi juga hidupan lain.

“Apabila sampah terlalu ba­nyak, hidupan ini akan ingat itu adalah sumber makanan. Di sini (perairan) Kuala Perlis juga adalah tumpuan ikan lumba-lumba dan tempat spesies ter­sebut mencari makan.

“Selain itu, ikan lumba-lumba ini juga mungkin cedera di laut dan hanyut ke daratan. Jaring-jaring nelayan yang ba­nyak terbuang di laut juga menjadi salah satu faktor ikan-ikan ini cedera,” katanya.

Di Terengganu, Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Osea­nografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, sampah yang terurai di pantai berisiko tinggi menjejaskan peng­hasilan induk jantan penyu sekali gus mengakibatkan ke­tidakseimbangan nisbah jan­tina dalam populasi penyu.

Penyu agar bersaiz kira-kira 3 kaki dan seberat 100 kilogram mendarat untuk bertelur di pantai peranginan Batu Buruk pada 17 Ogos 2021 -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

Katanya, nasib menimpa penyu belimbing bakal berulang kepada penyu agar jika aspek kebersihan pantai diabaikan.

“Sisa mikroplastik mem­pu­nyai sifat menyerap ha­ba tinggi terutama yang ber­warna hitam dan mampu menyebabkan sa­rang penyu menjadi lebih panas,” katanya.

Katanya, ini kerana sisa mikroplastik mempunyai sifat menyerap haba tinggi terutama yang berwarna hitam dan mampu menyebabkan sarang penyu menjadi lebih panas.

“Suhu pengeraman melebihi 30 darjah Celsius hanya akan menghasilkan anak penyu betina berbanding jantan. Akhirnya penyu agar akan mengalami nasib sama seperti penyu belimbing berikutan tidak cukup induk jantan untuk mengawan,” kata beliau.

Kali terakhir penyu belimbing mendarat di negeri ini pada 2017 dan kesemua telur tidak berkembang menjadi embrio sekali gus mengesahkan teori kekurangan penyu belimbing jantan di perairan Terengganu.

Sabtu lalu Utusan Malaysia melaporkan sikap pengotor sebahagian rakyat Malaysia yang membuang sampah hingga mencemarkan pantai, tasik dan air terjun di seluruh negara selepas kebenaran beriadah diberikan bermula

Mohd. Uzair memberitahu, hasil kajian garis data asas yang dilakukan di empat pantai persarangan penyu di negeri ini mendapati lokasi berkenaan dicemari dengan sisa plastik bersaiz mikro yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Katanya, kekurangan penyu boleh menyebabkan ekosistem lautan menjadi tidak stabil dan keadaan paling jelas ialah ledakan populasi ubur-ubur yang merupakan makanan utama hidupan marin berkenaan.

“Sampah yang banyak berisiko mengakibatkan penyu mati tercekik, lalu bilangan ubur-ubur turut meningkat kerana tiada lagi pemangsa.

“Ubur-ubur pula akan memakan telur-telur ikan hingga mengakibatkan bekalan stok ikan negara tergugat, oleh itu usah membuang sampah merata-rata dan sayangilah penyu kita kerana peranan haiwan berkenaan dalam kesihatan lautan,” katanya.

Tambah Mohd. Uzair, penyu-penyu yang tertelan sisa plastik di lautan hanya mempunyai peluang hidup kira-kira 50 peratus. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×