Mangsa tanah runtuh tunggu kediaman selamat diduduki - Utusan Malaysia

Mangsa tanah runtuh tunggu kediaman selamat diduduki

STRUKTUR tanah yang runtuh di kawasan kediaman penduduk Kemensah Heights, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Kira-kira 32 keluarga serta penghuni banglo yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kemensah Height di sini, dikatakan enggan tinggal di penempatan sementara yang disediakan sebaliknya menunggu kediaman mereka selamat untuk diduduki.

Ramai yang dilaporkan menginap di hotel dan rumah saudara mara kerana bimbang keadaan bersesak-sesak di penginapan sementara dan terdedah jangkitan Covid-19.

Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Mohd. Zamzuri Baharuddin berkata, terdapat dua dewan disediakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi penempatan mangsa tanah runtuh di Kemensah Height.

“Mereka semua diberikan kemudahan untuk berpindah di pusat sementara, tetapi mangsa memberitahu enggan berkumpul di sana kerana bimbang dengan masalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

“Jadi mereka memberitahu mahu tinggal sementara di rumah saudara mara berhampiran serta hotel sehingga kediaman selamat untuk diduduki,” katanya dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kemensah Height membabitkan tiga buah banglo yang terletak di bahagian atas tebing Sungai Kemensah.

Tanah yang runtuh turut menimbus sungai berkenaan sehingga menyebabkan airnya melimpah keluar dan membanjiri 16 unit rumah bandar yang terletak di kawasan berhampiran.

Sebanyak 32 keluarga dilapor diarahkan berpindah bagi memastikan keselamatan mereka sementara kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan dilakukan.

Kejadian tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah teres di Jalan Kemensah Heights, Ampang, Selangor, semalam dipercayai akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor sehingga menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×