‘Bau’ kita tetap durian, belacan - Utusan Malaysia

‘Bau’ kita tetap durian, belacan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REALITI yang sedang berlaku pada hari ini ialah manusia melihat mereka yang berkulit gelap dan hitam itu sebagai hodoh dan berkulit putih pula dikatakan penciptaan terbaik dan indah. Filem-filem Barat yang menonjolkan para pelakon mat salih yang kacak dan cantik banyak mempengaruhi cara manusia melihat seseorang.

Kegilaan ini menyebabkan wujudnya pelbagai produk pemutihan kulit yang semakin mendapat sambutannya terutama di benua Asia. Dalam surah at-Tiin:4, Allah jelas berfirman: “Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.”

Namun, ayat yang mulia ini seolah-olah hanya sekadar tercatat dalam al-Quran dan meniti di bibir si pembacanya tanpa apa-apa penghayatan dan kefahaman. Lebih malang apabila ramai umat Islam yang turut terjerumus ke dalam pegangan songsang itu.

Menurut Global Industry Analysts, pasaran produk pemutihan kulit global pada 2017 bernilai AS$4.8 bilion (RM19.96 bilion) dan bakal mencecah sehingga AS$8.9 bilion (RM20 bilion) pada 2027 terutama di pasaran Asia Pasifik seperti China, Jepun, Indonesia, Thailand, Malaysia dan Vietnam.

Fakta-fakta ini menunjukkan betapa gilanya orang Asia untuk menjadi putih persis orang Eropah.

Lihat sahaja di negara kita, terdapat begitu banyak iklan produk pemutih kulit di kaca televisyen. Itu belum lagi di media sosial yang menjual produk pemutihan kulit yang tidak mendapat pengiktirafan daripada Agensi Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA).

Baru-baru ini, saya berbual dengan seorang pengusaha salon kecantikan Latélle Facial Bar yang berasal dari Ukraine, Denys Peleshok. Dia mengungkapkan perasaan terkejutnya melihatkan realiti masyarakat Malaysia yang berpusu-pusu ingin memutihkan kulit mereka seperti orang Eropah.

“Selama lebih tujuh tahun menetap di Malaysia, saya telah banyak mendengar pandangan daripada penduduk tempatan dan rakan-rakan yang mengatakan kulit putih lebih menarik bahkan sanggup untuk memutihkan kulit gelap mereka semata-mata untuk dilihat seperti mat salih,” katanya.

Menurut Denys, sikap dan pemikiran sedemikian telah menjadi trend sehingga menyebabkan banyak syarikat menawarkan khidmatpemutihan kulit seperti krim dan suntikan.

“Sejujurnya, meskipun saya berbangsa Eropah, saya melihat mereka yang berkulit gelap itu lebih menarik daripada kami sendiri. Hampir kesemua warga Eropah sangat taksub untuk menjemurkan diri mereka di bawah sinaran matahari semata-mata untuk menjadikan kulit putih mereka lebih gelap,” jelasnya.

Apa yang lebih penting, Denys yang merupakan pakar kecantikan memberitahu, penggunaan krim pemutih kulit terutama suntikan boleh memudaratkan kesihatan!

“Saya secara peribadi sangat menyukai kulit gelap semula jadi seperti orang Melayu dan mereka (orang Melayu) sangat beruntung di atas kurniaan ini,” ujarnya.

Dari sudut lain, sebenarnya setiap ciptaan itu mengikut kepada kesesuaian sesebuah tempat dan iklim. Saya masih ingat perbualan dengan seorang wanita Australia, lima tahun lalu.

KANSER KULIT

Katanya, ramai warga Australia sengsara dengan kanser kulit.

“Kemungkinan besar ia disebabkan kami bukan penduduk asal di situ! Oleh itu, kulit kami tidak sesuai di Australia!” tegasnya.

Jawapannya begitu lucu sekali tetapi sebenarnya ia merupakan fakta yang semakin diambil perhatian serius memandangkan umum mengetahui, mat salih Australia bukanlah penduduk asal di benua Oceania tersebut. Sebaliknya mereka datang dari Eropah, menjajah dan berlagak seperti abang besar! Maka, kulit mereka itu sama sekali tidak bersesuaian dengan iklim dan persekitaran di sana.

Menurut Majlis Kanser Australia Barat, lebih 1,700 orang terkorban kerana kanser kulit yang agresif di Australia. Tidak terlepas juga New Zealand yang mencatat rekod sebagai antara negara terdapat ramai pesakit kanser kulit di dunia.

Melihatkan situasi di Malaysia pula, negara tropikal ini merupakan sebuah negara beriklim panas tanpa musim sejuk. Maka kulit gelap atau sawo matang kita ini pun diciptakan dan disesuaikan dengan suasana tersebut.

Maka, janganlah kegilaan kita untuk menjadi seperti mat salih itu sehingga memudaratkan diri. Penjajahan fizikal di Malaysia mungkin sudah 64 tahun berlalu, namun ia sebenarnya telah digantikan dengan penjajahan mental.

Ramai anak watan kita tidak kira jantina dan umur yang ingin menjadi seperti orang Barat, baik dari segi pemakaian atau paras rupa. Mereka menjadikan cara hidup dan penampilan fizikal orang Barat sebagai contoh terbaik dalam kehidupan.

Satu perkara yang saya ingin ingatkan kepada para pembaca, iaitu terima sahajalah hakikat yang bangsa kita ini sememangnya diciptakan dengan berkulit gelap, hidung penyek dan bertubuh rendah. Ubahlah rupa paras macam mana sekalipun, namun anda tetap ‘berbau’ durian dan sambal belacan.

Jangan ingat sekiranya berjaya mengubah wajah dan fizikal akan membuatkan orang Eropah mengiktiraf anda sebagai sebahagian daripada mereka. Tidak! Sama sekali tidak! Anda tetap akan dilihat dan dilayan sebagai orang Asia yang menurut mereka tidak mempunyai apa-apa nilai.

Jika kita merasakan diri kita kurang menyerlah atau menarik, maka lakukanlah perubahan seperti menjaga makanan dan minuman, bersenam setiap hari, merapikan janggut dan misai serta mengenakan pakaian yang bersih, kemas dan harum.

Mungkin penulisan saya ini pedas, keras dan menusuk ke ulu hati, tetapi disebabkan ingin menyedarkan anak bangsa kita yang semakin terbuai dengan khayalan dan fantasi, maka mereka perlu disedarkan sebelum menjadi lebih parah.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×