Manusia mengotorkan politik - Utusan Malaysia

Manusia mengotorkan politik

GOLONGAN muda perlu bersedia mengambil bahagian dalam politik berikutan kebenaran kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Nabi Muhammad SAW selain pesuruh Allah, baginda juga hebat dalam bidang politik. Buktinya, baginda berjaya membentuk Perlembagaan Madinah yang seterusnya menjadi undang-undang mentadbir negara ketika itu.

Bagaimanapun, politik kini banyak terpalit dengan unsur-unsur negatif. Salah guna kuasa, berpolitik untuk membina harta dan kekayaan dan pelbagai tuduhan lain. Seolah-olah politik ini amat kotor.

Imam al-Nawawi berkata: Telah ijmak para ulama bahawa wajib atas orang Islam melantik khalifah. (al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 12/205)

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemubual Bendahari Agung Majlis Dakwah Negara (MDN), PROF. MADYA DR. AMINI AMIR ABDULLAH bagi mengupas isu ini.

DR. AMINI AMIR ABDULLAH

Beliau juga adalah pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej-kolej Kediaman UPM.

Utusan: Islam dan politik tidak boleh dipisahkan. Ia disebut al-Siyasah al-Syar’iyyah atau Fiqh al-Siyasah al-Syar’iyyah. Apakah definisi politik dalam Islam?
DR. AMINI AMIR: Definisi politik Islam ialah aktiviti aktiviti yang berkaitan dengan mempengaruhi tindakan tindakan dan polisi kerajaan mendapatkan atau mengekalkan kuasa dalam kerajaan yang berlandaskan al-Quran dan al-sunnah. Ia melibatkan pimpinan politik dan rakyat jelata.

Politik Islam melibatkan aktiviti dan tindakan dalam konteks dasar dasar pemerintahan secara holistik dan komprehensif, pengaturan segala urusan pemerintahan negara secara bijaksana, mewujudkan keadilan sosial, mengekalkan keamanan negara, keharmonian dan kesejahteraan rakyat jelata.

Ia juga mencari dan menambahkan pendapatan negara melalui pelbagai sumber sama ada dalam dan luar negara, mengagihkan pendapatan negara secara adil dan saksama, menentukan segala hukum hakam terpelihara, melantik pemimpin yang berwibawa, berkaliber, adil dan bijaksana.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan jika dalam konteks tiga orang dalam keadaan bermusafir pun perlu memilih pemimpin, apatah lagi dalam konteks pemerintahan negara.

Semestinya ia perlu diberi perhatian serius dan setiap umat Islam perlu lebih cakna dalam konteks ini.

Dalam konteks Al-Siyasah Al-Syariyyah pula ia bermaksud perbahasan yang berfokus kepada masalah-masalah yang hukum-hukumnya berubah mengikuti perubahan sumber hukum.

Ia juga hukum yang memberikan pilihan bagi seseorang pemimpin untuk mengikuti hukum yang paling aula dan penting serta memberikan kebaikan demi kebajikan dan kemaslahatan rakyat jelata.

Al-Siyasah Al-Syariyyah juga bermaksud segala hal yang bersumber dari kerajaan yang memerintah.

Ia meliputi dasar, polisi, akta, enakmen, pekeliling, peraturan dan undang-undang yang bergantung kepada wujudnya kemaslahatan agama dan rakyat. Serta dalam permasalahan yang tidak ada dalil khusus (dalam al-Quran dan al-Sunnah) tanpa menyalahi syariat.

Kebijaksanaan politik kerajaan juga penting demi menjaga agama, bangsa dan tanah air.

Jika negara diperintah oleh mereka yang tidak mempunyai aspirasi keagamaan dan keagamaan, nescaya akan malaplah penjagaan agama, bangsa dan tanah air. Begitulah juga sebaliknya.

SETIAP undi amat berharga kerana ia menentukan masa depan negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen.

Apakah hukum melibatkan diri dalam politik?

Islam adalah agama yang sempurna dan mudah. Tidak ada satu pun permasalahan kecuali telah dijelaskan di dalam al-Quran dan hadis.

Baik permasalahan yang besar mahupun yang kecil. Semuanya telah dikemukakan secara terperinci dan disajikan dengan bahasa yang mudah.

Tidak ketinggalan perbahasan tentang politik yang syarie. Ia sudah dikemukakan oleh Allah dalam al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah.

Begitu juga adab dan etika sebagai ahli politik dan adab rakyat-pemimpin. Kemudian dikumpulkan oleh para ulama dalam kitab khusus.

Hukum melibatkan diri dalam politik ialah fardu ain.

Jika umat Islam tidak terlibat dalam memilih pemimpin yang baik, bijaksana, berwawasan, berwibawa, berkaliber dan berkualiti serta berintegriti tinggi, maka nescaya jawatan kepemimpinan itu akan jatuh kepada mereka yang tidak berintegriti, ‘asi, fasik atau penjahat atau tidak berkelayakan.

Maka negara akan porak peranda dan binasa jadinya. Begitu juga bagi para pengundi, hukum mengundi adalah fardu ain.

Banyak orang berkata, politik itu kotor. Namun, Rasulullah SAW juga adalah seorang ahli politik yang hebat. Politikkah yang kotor atau orang yang ‘kotorkan’ politik?

Politik tidaklah kotor, tetapi insan sering mengotorkan politik. Politik boleh membawa kita mencapai maqasid al-syariah (matlamat syariah).

Apa tidaknya, jika ditelusuri sejarah, Rasulullah SAW juga adalah seorang ahli politik yang hebat hingga diiktiraf dunia sebagai pemimpin agung kemanusiaan.

Sistem politik pemerintahannya dikaji oleh orang Islam dan Barat serta diakui kehebatan dan keberkesanannya.

Akan tetapi politik boleh menjadi kotor jika insan mengotorkannya untuk kepentingan peribadi, material, kroni, nepotisme, ketamakan dan nafsu serakah. Apatah lagi jika ahli-ahli politik tidak mengambil kira soal halal dan haram dalam tindakan dan perlakuan mereka.

Peranan ahli-ahli politik adalah untuk menangani isu-isu nasional, antarabangsa dan memacu negara ke mercu kegemilangan, kemajuan dan pembangunan dalam semua perkara.

Dalam konteks pandemik Covid-19, mereka mesti bekerjasama untuk memerangi dan menanganinya, bukan berebut kuasa dan menunjukkan kerakusan nafsu serakah mengikut telunjuk dan godaan syaitan.

Mereka perlu memberi fokus kepada peningkatan kekuatan ekonomi negara, perpaduan ummah, keharmonian masyarakat, keamanan negara, kewangan, ketenteraan dan pelaburan negara.

Pembangunan dan kemajuan sosioekonomi semua sektor dalam negara dan masyarakat harus menjadi tujuan dan fokus semua ahli politik.

Mereka harus tampil mendokong dan menyokong inisiatif cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat berbilang kaum, pemerkasaan sahsiah dan akhlak masyarakat, kemajuan dan pembangunan negara dan kelestarian alam sekitar

Ahli-ahli politik adalah orang yang paling berpengaruh yang perlu melonjakkan aspirasi rakyat negara ini. Menjadi tugas ahli politik untuk menjadikan negara bebas daripada rasuah, pelanggaran integriti, kronisme dan nepotisme.

Mereka juga harus berfungsi mewujudkan keharmonian dan kerukunan masyarakat dan kesepaduan sosial, perpaduan serta integrasi nasional.

Masyarakat dapat mencari solusi dan pembebasan masalah mereka dengan mengikuti ucapan ahli-ahli politik yang membina, kreatif, inovatif, bermotivasi, bervisi dan bermisi yang berkualiti dan jelas hala tujunya.

Sekiranya kita melihat kepada kewajipan-kewajipan ahli-ahli politik, kita akan mendapati bahawa politik tidak pernah kotor. Jika demikian, siapakah yang mengotorkannya? Ahli politik?

Sehubungan itu, secara langsung ataupun tidak, ahli politik melakukan segala-galanya untuk terus berkuasa hatta menyalahi ajaran agama, etika dan moral. Inilah punca masalahnya.
Mereka bermain dengan isu sensitif, isu perkauman, mengadu domba, memfitnah, memaki hamun, menjerit-jerit seperti beruk dan melakukan apa sahaja yang sesuai dengan mereka dan dengan demikian merosakkan kredibiliti ‘tugas suci’ politik itu sendiri seperti yang saya definiskan sebelum ini.

Kita juga biasa mendengar ungkapan, jangan berpolitik dalam masjid. Benarkah tidak boleh disentuh langsung politik dalam masjid. Apakah garis panduan berpolitik dalam masjid?

Setakat yang saya ketahui, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan ceramah politik di dalam masjid.

Bagi saya, kita perlu akur dan taat dengan arahan-arahan pihak berkuasa agama negeri dan pada peringkat persekutuan.

Namun demikian, kita masih memerlukan garis panduan dan SOP yang jelas dan munasabah mengenai larangan berpolitik dalam masjid. Kita juga perlu menjaga adab dan tata susila ketika berada dalam masjid.

Pada Disember 2017, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, Jika orang baik tidak terjun ke dunia politik, maka para penjahatlah yang akan mengisinya. Apa signifikan kenyataan ini?

Kata-kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ini meringkaskan apa yang telah saya perkatakan sebelum ini.

Jika orang rajin, berkualiti dan berintegriti tidak terjun ke dunia politik, maka para pemalas, perasuah dan penjenayahlah yang akan mengisi jawatan sebagai pemimpin.

Kata-kata ini adalah sama implikasinya seperti yang pernah dinukilkan oleh Plato, ahli falsafah Greek kira-kira 3.000 tahun yang lalu iaitu: “Salah satu hukuman kerana anda menolak untuk berpartisipasi dalam politik adalah anda akhirnya diperintah oleh orang-orang yang lebih rendah (dungu, tiada integriti dan tiada kebijaksanaan) daripada anda”.

Generasi muda berusia 18 tahun bakal diberikan hak mengundi dalam pilihan raya. Apakah panduan kepada umat Islam untuk mereka memilih pemimpin yang akan mencorakkan pemerintahan negara?

Secara peribadi saya tidak bersetuju generasi muda berusia 18 tahun diberikan hak mengundi dalam pilihan raya.

Hujah saya berasaskan pengalaman sebagai pensyarah universiti selama lebih 25 tahun iaitu kematangan. Jangan bandingkan generasi muda negara kita dengan negara-negara Barat atau Amerika Latin sebab dari segi fizikal, emosi, intelek dan biologi, remaja kita agak berbeza.

Dari segi memilih pemimpin, umat Islam perlu mencari mereka yang mempunyai kualiti berikut iaitu beriman dan bertakwa, menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan teladan, berintegriti, adil dan amanah, memerangi rasuah dan salah laku, mempunyai aspirasi, misi dan visi memajukan rakyat dan negara.

Mereka juga mestilah berdisiplin dan berketerampilan, berdedikasi dan berkaliber, tahan uji dan cabaran, berjiwa agama dan rakyat.

Statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan seramai 18.8 juta yang layak mendaftar sebagai pemilih jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada 2023. Data juga menunjukkan 15 juta pemilih telah mendaftar sehingga suku pertama tahun 2019. Namun, ada kebimbangan pengundi baru orang Melayu kurang berminat mendaftar sebagai pemilih.
Apakah cara untuk menarik mereka menggunakan peluang itu supaya tidak mensia-siakan hak tersebut?

Pengundi baharu dalam kalangan orang Melayu perlu mempunyai kesedaran yang mendalam untuk mendaftar sebagai pemilih jika PRU15 diadakan pada tahun 2023, insya-Allah.

Jika tidak, rugilah masa depan politik Melayu Islam dalam negara ini.

Perlu dilipatgandakan usaha promosi, publisiti dan kempen dalam pelbagai wahana dan platform agar ia meluas dan berkesan.

GOLONGAN muda perlu bersedia mengambil bahagian dalam politik berikutan kebenaran kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang. – GAMBAR HIASAN

Parti-parti politik selain daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan berkesan.

Ibu bapa dan pemimpin masyarakat juga boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan berkesan.

Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara iaitu 20 buah dan 450 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dan berkesan dalam hal ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×