Lahirkan usahawan perkayuan taraf global - Utusan Malaysia

Lahirkan usahawan perkayuan taraf global

USAHAWAN bumiputera perlu mengambil peluang disediakan kerajaan untuk maju ke depan sehingga ke peringkat global. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA merupakan antara pengeluar perabot kayu terbesar di dunia dengan nilai eksport RM10.12 bilion pada 2020 berbanding RM9.14 bilion pada 2019. Peningkatan ini menunjukkan pemain industri sudah mula beralih kepada produk bernilai tambah tinggi seperti perabot berbanding pengeluaran produk primer seperti kayu balak, papan lapis dan lain-lain.

Bagaimanapun, bilangan dan jumlah eksport oleh pemain industri perkayuan dalam kalangan usahawan bumiputera masih kecil. Sebanyak 99.5 peratus perusahaan usahawan bumiputera masih beroperasi secara kecil dan mikro.

Sumbangan nilai eksport kayu dan produk kayu oleh usahawan kumpulan ini hanya mencecah satu peratus berbanding usahawan bukan bumiputera. Malah, pemilikan kilang perkayuan bumiputera juga kecil dengan jumlah 471 buah sahaja berbanding keseluruhan kilang yang dianggarkan sebanyak 3,500 buah di negara ini.

Oleh itu, keupayaan dan prestasi usahawan bumiputera perkayuan yang masih dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana harus diperkasa seterusnya menjadi keutamaan pembangunan seperti mana termaktub mengikut Dasar Keusahawanan Negara 2030.

Secara amnya, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kemampuan usahawan bumiputera perkayuan untuk bersaing dan meningkatkan syer pasaran serta mengekalkan kelestarian dalam industri perkayuan. Antaranya persaingan sengit selain strategi pemasaran kurang berkesan serta ketidaktentuan ekonomi yang menjejaskan prestasi perniagaan.

Oleh yang demikian, pembangunan pelan perniagaan yang komprehensif adalah penting bagi memastikan usahawan bumiputera mampu mengembangkan rangkaian perniagaan di pasaran terbuka berbanding hanya bergantung kepada projek-projek kerajaan.

Kemampuan dan teknologi usahawan golongan berkenaan juga terhad dengan skala operasi kecil serta bergantung kepada pekerja kurang mahir untuk menguruskan operasi kilang termasuk mesin. Oleh itu, usahawan bumiputera perkayuan perlu lebih peka kepada perkembangan semasa dalam penggunaan teknologi. Usaha ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Selain itu, usahawan bumiputera perkayuan juga menghadapi masalah kekurangan modal untuk perolehan mesin teknologi tinggi bagi meningkatkan produktiviti serta isu pengurusan, kualiti produk dan juga pasaran. Dalam hal ini, usahawan bumiputera perkayuan perlu ada inisiatif untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang ditawarkan oleh agensi kerajaan dalam membangunkan usahawan.

Pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan dapat membantu usahawan untuk bersedia ke arah menempuh cabaran dan berdikari dalam mendapatkan kontrak di pasaran terbuka dan tidak terlalu bergantung kepada projek-projek kerajaan semata-mata.

AUTOMASI

Justeru, bagi pemerkasaan ekonomi usahawan bumiputera perkayuan, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan yang boleh dimanfaatkan. Antara program yang dilaksanakan adalah Program Pembangunan dan Pemerkasaan Industri Bumiputera oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta persatuan industri yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan bumiputera perkayuan.

Objektif program ini untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan subkontraktor bumiputera dalam industri perkayuan khususnya dalam bidang pembinaan, perumahan dan hiasan dalaman serta membimbing mereka untuk terlibat secara langsung.

Selain itu, program ini juga akan mewujudkan usahawan baharu bumiputera dalam pasaran eksport perabot melalui sistem sub contracting, iaitu bimbingan secara langsung oleh pihak kilang kepada usahawan bumiputera sebagai subkontraktor.

Sementara untuk menggalakkan usahawan bumiputera terlibat dengan eksport, MTIB melaksanakan program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP).

Melalui program ini, MTIB memberi bimbingan khusus dan membentuk usahawan bumiputera dalam menghasilkan produk untuk pasaran eksport.

Bagi menggalakkan aplikasi teknologi, MTC melaksanakan Program Insentif Kewangan Pembelian Mesin (FIPM). Insentif ini menyediakan dana yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan perkayuan menggunapakai teknologi terkini dan meningkatkan mekanisasi dan automasi dalam perusahaan mereka.

Selain itu, Program Bantuan Import (IAP) juga diperkenalkan bagi membantu usahawan dalam mendapatkan bahan mentah bagi penghasilan produk bernilai tambah.

Melalui program ini, MTC menyediakan bantuan pembiayaan sebahagian kos import bahan mentah oleh industri. Melalui program ini juga, usahawan dapat meningkatkan bekalan bahan mentah kayu untuk meningkatkan produktiviti bagi memenuhi permintaan pasaran.

Bagi menyokong program ini, MTIB juga melaksanakan program sokongan bahan mentah tempatan kepada usahawan dengan menyediakan pinjaman mudah untuk perolehan bahan mentah. Melalui program ini, usahawan dapat meningkatkan produktiviti dengan bekalan bahan mentah yang lebih tinggi.

Program-program pembangunan usahawan dan latihan modal insan yang dilaksanakan oleh kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan dan persatuan industri ini bertujuan melahirkan usahawan bumiputera yang lebih berdikari selain boleh bersaing di pasaran tempatan dan global.

Pelaksanaan program-program ini selari dengan sasaran digariskan dalam Dasar Agrikomodi Negara (DAKN) 2021-2030 bagi meningkatkan bilangan usahawan bumiputera daripada 471 orang pada masa ini kepada 600 menjelang 2030.

Selaras dengan hasrat kementerian ini, usahawan bumiputera diseru mengambil peluang dan memanfaatkan usaha-usaha yang disediakan oleh kerajaan supaya dapat mengorak langkah ke hadapan dan berjaya sehingga ke peringkat global. Saya yakin usahawan bumiputera mempunyai potensi yang besar untuk turut serta dan lebih aktif dalam industri perkayuan negara.

DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×