Tiada kampus baharu UiTM - Utusan Malaysia

Tiada kampus baharu UiTM

KAMPUS UiTM di SHAH ALAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada pembinaan kampus baharu, se­­baliknya kese­mua 35 cawa­ngan Universiti Tek­nologi Mara (UiTM) termasuk induk di sini memadai dan mampu untuk me­nampung sasaran sehingga 200,000 mahasiswa menjelang 2025.

Infrastruktur dan pelbagai ke­mudahan lain di setiap kampus akan ditambah baik terma­suk membenarkan seorang ma­hasis­wa menggunakan kemudahan terdekat sejajar de­ngan kon­sep ‘Keluarga UiTM’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselornya, Profesor Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, bahawa pembinaan dan pembangunan sesebuah kampus akan dibenarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekiranya terdapat keperluan.

“Saya berani sebut di sini ra­sanya dalam keadaan sekarang tak ada kampus baharu yang akan dibina dalam keadaan pandemik, satu dunia menghadapi isu ekonomi. Jadi, kita tangguh dahulu Jadi apa-apa tunggu arahan daripada KPT.

“Kalau mereka kata perlu dibangunkan satu kampus, memang kita apa orang kata ‘dengar-dengar’ tetapi itu cerita sahaja. Jadi, di pihak kita, belum lagi ada perancangan. Boleh saya katakan tak ada,” katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau menambah, sehingga kini, terdapat kira-kira 179,000 mahasiswa UiTM di seluruh negara.

Terdahulu, Roziah dilantik sebagai Naib Canselor UiTM ke-6 sekali gus menjadi wa­nita pertama menjawat jawatan nombor satu eksekutif itu menggantikan Prof. Emeritus Dr. Mohd. Azraai Kassim yang tamat perkhidmatan pada Mac lalu.

Roziah ketika ucapan sulungnya pada minggu lalu memaklumkan antara fokusnya dalam merancang dasar adalah meneruskan sasaran pengambilan pelajar pelbagai peringkat sehingga 200,000 dan memastikan UiTM menjadi antara universiti terkemuka dunia.

Sehubungan itu, untuk memastikan matlamat itu tercapai, beliau turut membe-ritahu untuk memperkasa kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) di samping meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa.

“Sekarang ini UiTM adalah universiti yang paling ramai sekali bawa masuk OKU, kita ada Unit OKU. Ada kira-kira 125 orang. Ditambah dengan pengambilan baharu nanti, boleh dikatakan kita bakal ada hampir 200 mahasiswa OKU yang diurus oleh Unit OKU di bawah Jabatan Pejabat Naib Canselor.

“Pelajar antarabangsa kita pun memang tak ramai, ada kira-kira 250 orang. Namun akhirnya pada tahun 2017, kementerian beri ruang untuk mengambil pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah. Itulah 15 peratus daripada antarabangsa berbanding 20,000 pelajar pasca siswazah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×