Keluarga Malaysia bukan sekadar lagu - Utusan Malaysia

Keluarga Malaysia bukan sekadar lagu

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) merupakan penulis lirik lagu Keluarga Malaysia yang mengajak seluruh rakyat mengenali, memahami dan membina sebuah Keluarga Malaysia. – TWITTER ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUN di langit
Cahaya bersinar
Menyinari bumi merdeka
Ini masa buang permusuhan
Padamkan sengketa dijiwa

Ayuh buka
Pintu-pintu di hati
Rapatkan jurang
Satukan tekad azam untuk Malaysia

Ayuh kita
Bersama bangunkan semula
Rapatkan hatimu
Hapuskanlah kebencian

Ayuh kita
Zahirkan impian bersama
Menjunjung
Semangat yang bernama
Keluarga Malaysia

Dari timur barat dan selatan
Ini lah masanya bersama

Ayuh kita
Henti menuding menyalah
Tegaskan niatmu
Sempurnakan keazaman

Hanya kita
Rakyat berbagai bangsa
Mampu membangunkan
Membentukkan arah untuk Malaysia

Ayuh kita
Bersama bangunkan semula
Rapatkan hatimu
Hapuskanlah kebencian

Ayuh kita
Zahirkan impian bersama
Menjunjung semangat yang bernama
Keluarga Malaysia

Di atas ialah rangkap lagu Keluarga Malaysia, sebuah lagu patriotik baharu yang sekarang ini kerap berkumandang. Lagu yang liriknya secara bersungguh-sungguh mengajak semua rakyat mengenali, memahami seterusnya membina sebuah Keluarga Malaysia – agenda dan gagasan diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejurus selepas mengambil alih teraju negara daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penulis lirik lagu ini, Tan Sri Annuar Musa yang dikenali umum sebagai pendukung kuat perpaduan mengambil langkah tepat apabila menjadikan seni muzik dan seni suara sebagai medium untuk menyuntik kesedaran tentang peri pentingnya perpaduan dalam proses pembentukan sebuah keluarga besar yang hebat.

Kedua-dua cabang seni itu bukan sahaja dekat dengan masyarakat tetapi juga sangat luas khalayak penggemarnya terutama generasi muda yang bakal mewarisi Keluarga Malaysia.

RETORIK

Tidak ada retorik dalam bait-bait lirik lagu ini, dari yang pertama sehingga terakhir. Ajakan untuk mencapai apa yang dihasratkan dilakukan secara terus-terang dan beberapa frasa diulang bagi menjadikan ajakan itu lebih berkesan.

Sebagaimana agenda Keluarga Malaysia, lagu ini muncul tepat pada masanya iaitu saat negara meraikan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-64 dan 16 hari sebelum tibanya Hari Malaysia ke-58 – dua hari bersejarah yang saban tahun dirai dengan pelbagai cara dan acara.

Tetapi tahun ini buat kali kedua, kedua-dua tarikh tersebut disambut dalam norma baharu kesan pandemik Covid-19. Namun begitu, roh dan semangat sambutannya tidak berkurang walaupun cara meraikannya jauh berbeza dari dahulu.

Tetapi apakah erti kemerdekaan? Apa pula pentingnya Hari Malaysia sehingga ia perlu disambut dan dirai? Banyak dalam kalangan kita sebenarnya semakin tidak peduli.

Kesibukan menghambat kehidupan menjadikan kita kerap lupa pada asas dan asal. Kita leka, mengambil mudah serba-serbi sehingga tanpa sedar kita merobek apa yang kita ada, apa yang dibina dengan jerih payah datuk nenek kita.

Lirik Keluarga Malaysia jelas cuba membangkitkan kesedaran itu. Ia satu usaha bagi menyedarkan kita daripada kealpaan yang panjang. Menggunakan sinar matahari sebagai perlambangan, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang menulis lirik ini mengajak kita memahami erti kemerdekaan. Sebelum beroleh kemerdekaan, kita dibelenggu kesuraman kalaupun bukan kegelapan. Dalam kehidupan sebenar, tidak banyak yang boleh kita buat jika diserkup situasi begitu. Pandangan terbatas, langkah pula tersekat.

Kemerdekaan mengubah segala-galanya. Ia membawa sinar yang menghidupkan kembali harapan kita. Ia memudahkan segala yang sukar. Kita berpeluang melihat apa yang sebelumnya tidak. Malah kita boleh melihat jauh ke hadapan, satu peluang yang memberikan kita ruang mencatur semula kehidupan.

Tetapi ghairah berlebihan menjadikan ada yang menyalahgunakan kemerdekaan itu. Mereka menjadikan kebebasan yang dimiliki sebagai lesen untuk menyemai iri dan dengki. Mereka menjadikan kemerdekaan sebagai tiket untuk salah-menyalahkan dengan berpandukan formula ‘aku sahaja yang betul.’

Mereka mengheret orang lain menjadi sibuk dengan agenda untuk jatuh-menjatuhkan yang mereka dukung. Mereka tidak peduli apa kesannya kepada negara. Sama sekali tidak.

BACUL

Impian itu sukar direalisasikan jika hidup masih dibelenggu dengki dan benci. Penyakit itu tidak hanya merosakkan rohani penghidapnya tetapi juga menjejaskan kehidupan orang lain seterusnya merobek sesebuah institusi. Terlalu banyak negara di dunia ini dibinasakan oleh api kebencian. Disebabkan itu, ajakan Annuar supaya kita menyahkan kebencian dan merapatkan hati merupakan perkara yang wajib untuk kita lakukan.

Menjadikan kekeluargaan sebagai konsep asas lagu ini merupakan langkah yang wajar. Keluarga merupakan perkara yang dekat dengan hati kebanyakan orang. Menyebut perkataan ‘keluarga’ sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran tentang suatu bentuk ikatan yang bersifat semula jadi, teguh dan tahan diuji. Seseorang itu mungkin tergamak lari meninggalkan pasukannya jika berada dalam keadaan terancam tetapi dia akan berfikir seribu kali untuk bertindak bacul sedemikian sekiranya melibatkan keluarga. Malah dia lazimnya sanggup bermati-matian mempertahankan keluarganya itu.

Semangat itulah yang perlu ada dalam setiap anggota Keluarga Malaysia. Kesediaan meletakkan kepentingan keluarga di hadapan akan menyebabkan semua orang cuba melakukan yang terbaik untuk keluarga. Hasilnya, yang akan mendapat nikmat bukan sahaja anggota keluarga itu sekarang tetapi juga bakal ahli keluarga pada masa akan datang.

Keluarga dalam konteks Malaysia, tidak terbatas pada kaum tertentu sahaja tetapi semua bangsa yang menganggap negara ini ibu pertiwinya. Jangkauannya menyeberangi Laut China Selatan, ke Sabah dan Sarawak yang dua daripada tiga komponen utama membentuk Persekutuan Malaysia.

Tanpa arah yang betul, kita akan bergerak ke destinasi yang salah. Sebelum terlambat, betulkanlah.

DATUK Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik di Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×