EKOSISTEM masyarakat Islam memerlukan penganutnya bukan sahaja mambaca dan menghafaz al-Quran, bahkan lebih utama memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan harian. Idealisme ini dicernakan melalui penubuhan banyak pusat tahfiz al-Quran sama ada dikendalikan oleh kerajaaan, orang perseorangan, institusi-institusi pendidikan swasta dalam dan juga luar negara.
Dianggarkan terdapat kira-kira 1,400 hingga 1,600 pusat tahfiz berselerak di seluruh negara berdasarkan maklumat dari dua persatuan tahfiz di Malaysia iaitu Gabungan Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) dan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) dengan bilangan pelajar tahfiz seramai 24,045 pelajar.
Bilangan itu dipercayai lebih banyak lagi daripada yang dilaporkan. Namun, pusat tahfiz kini dilaporkan nazak disebabkan beban kewangan seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan baru-baru ini. Kebanyakannya milik persendirian.
KEBERGANTUNGAN KEPADA SUMBANGAN ORANG RAMAI
Kebanyakan pusat tahfiz terutama persendirian bergantung kepada sumbangan dan wakaf dari orang ramai yang bersedia untuk menambah saham akhirat mereka.
Ada juga cadangan yang dilontarkan di akhbar jika sekiranya lapan juta umat Islam menyumbang sebanyak RM2 seorang dan dengan jumlah terkumpul iaitu RM16 juta sebulan boleh memberi nyawa semula kepada pusat tahfiz yang nazak tersebut.
Cadangan ini serupa dengan masyarakat Islam Singapura yang menyumbangkan SGD1 dari tabungan EPF mereka setiap bulan dalam fasa pertama pembinaan masjid-masjid moden di republik itu.
Seperti Singapura, cadangan sumbangan orang ramai itu memerlukan satu badan formal untuk menguruskan dana tersebut dengan telus dan berintegriti. Ini melibatkan kakitangan, proses, sistem akaun supaya setiap ringgit barakah dan bermanfaat dunia dan di akhirat.
KANTONG TERJEJAS
Seperti keseluruhan struktur ekonomi, sosial dan politik dunia, faktor utama yang menyebabkan kantong pusat tahfiz ‘kering’ ialah pandemik Covid-19. Kalau negara yang mempunyai sistem dan kedudukan kewangan yang teratur boleh terjejas, inikan pula organisasi yang tidak memiliki struktur dan pendapatan tetap.
Kebanyakannya beroperasi melalui hasil yuran bulanan daripada ibu bapa dan juga sumbangan atau wakaf orang ramai. Bayaran yuran dan sumbangan yang tidak konsisten ditambah pula pusat tahfiz yang tidak mempunyai pendapatan sampingan menyumbang kepada krisis yang mengancam nyawa pusat berkenaan.
Apakah yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan pusat tahfiz? Penderma juga mungkin terkesan dengan Covid-19. Mungkin ada dalam kalangan ibu bapa pelajar yang kehilangan pekerjaan, tidak kurang yang terpaksa dirawat di hospital dan ada juga pelajar yang kehilangan kedua orang tuanya.
RESET SEMULA
Pasca pandemik ini merupakan masa yang sesuai untuk menilai kembali atau mereset pusat tahfiz agar lebih mandiri dan berdaya maju. Selain dari aspek kewangan, aspek-aspek lain yang menjurus kepada kelestarian perlu dilihat dengan saksama.
Antaranya ialah asas kepada kejayaan sesebuah pusat itu sendiri iaitu tenaga pengajar yang mencurahkan tenaga, kurikulum, pengurusan dan pentadbiran serta pengurusan kewangan terutama sumber pendapatan dan bagaimana ianya dibelanjakan.
Perlu ada satu program khas untuk memastikan tenaga pengajar dan pengetua mempunyai kelayakan minima dari segi kelulusan dan akhlak kerana biasanya pelajar tahfiz ini ‘boarding’, tenaga pengajar memainkan peranan bukan sahaja dari segi hafalan dan ilmu al-Quran tetapi juga etik dan sahsiah. Kes-kes kesalahan akhlak di pusat tahfiz harus dijauhkan dan tidak berulang.
Selain daripada itu, pusat tahfiz harus menggunakan program dan modul yang membolehkan sijil khas tahfiz diiktiraf. Sijil ini boleh dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Darul Quran yang mempunyai sistem yang baik dalam program tahfiz di Malaysia.
Ini termasuklah aspek silibus khusus dan standard untuk keseluruhan pusat tahfiz bagi memudahkan lagi pemantaun kualiti produk huffaz yang dihasilkan. Dengan ini perpindahan seorang pelajar tahfiz atau tenaga pengajar dari satu pusat tahfiz ke pusat tahfiz yang lain dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.
PENGGABUNGAN PUSAT TAHFIZ
Seperti yang berlaku kepada bank-bank di Malaysia selepas krisis kewangan Asia di tahun 90-an, perkara serupa mungkin boleh diaplikasi kepada pusat tahfiz kecil dan persendirian di Malaysia.
Mereset pusat tahfiz pasca Covid-19 mungkin dilakukan dengan kerajaan mengarahkan penggabungan beberapa pusat tahfiz kecil dan persendirian untuk menjadi beberapa buah yang besar dengan sistem pembelajaran yang diiktiraf, sistem pengurusan yang teratur dan sistem kewangan yang diaudit dan disahkan.
Hanya pusat tahfiz berdaftar sahaja yang menepati piawaian ditetapkan yang layak menerima bantuan kerajaan dan orang ramai. Kerajaan dan Jabatan Agama Negeri harus tegas supaya pusat tahfiz pasca Covid-19 terkawal, nasib anak tahfiz terbela dan mutu graduan diiktiraf dan laku.
WAKAF UMAT ISLAM
Tidak dinafikan sumbangan masyarakat kepada pusat tahfiz dalam berbagai bentuk walaupun dalam suasana pandemik ini. Antaranya ialah dalam bentuk wakaf. Wakaf tanah, bangunan, kenderaan dan sebagainya.
Sumbangan wakaf mestilah diuruskan dengan baik secara berpusat agar harta wakaf yang boleh disusun dan dimanfaatkan untuk kegunaan keseluruhan pusat tahfiz di negeri-negeri di mana harta wakaf itu didaftarkan.
Ini juga bagi menjamin harta dan aset yang diwakafkan tidak didaftarkan atas nama peribadi yang merugikan pusat-pusat tahfiz dan disalahgunakan terutama jika ia ditutup satu hari nanti.
Ini yang pernah berlaku apabila sumbangan wakaf ke pusat tahfiz bukan atas nama yayasan atau Pejabat Agama Islam Negeri tetapi wakaf tersebut didakwa kepada individu seperti pengasas dan pengelola sesebuah pusat tahfiz.
Hatta apapun harta atau aset yang dibeli dan diwakafkan seperti kenderaan, hartanah dan banguna dan lain-lain hendaklah didaftarkan atas nama pusat tahfiz, yayasan atau majlis agama islam negeri.
Pendaftaran harta wakaf berpusat ini akan menjamin tadbir urus yang baik, ketelusan pentadbiran sekali gus menambah lagi keyakinan masyarakat untuk melaksanakan amal jariah.
Bila beban kewangan telah berkurangan, pusat tahfiz boleh meningkatkan fokus ke arah melahirkan graduan yang berkualiti bukan sahaja untuk menjadi imam rawatib di masjid dan surau tetapi menjadi ahli masyarakat yang berperanan melahirkan generasi Rabbani di mana sahaja mereka berkhidmat.
DR. Ahmad Zainuddin merupakan Pengerusi Ahli Lembaga Koop Islah Malaysia Berhad










