Jangan sesekali terpisah IR 4.0 - Utusan Malaysia

Jangan sesekali terpisah IR 4.0

AHMAD Masrizal Muhammad (kiri) berucap dalam lawatan rasmi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 8 September lalu. Turut kelihatan Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Mohd. Ekhwan Toriman. – TWITTER KPT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN kerajaan menubuhkan sebuah kementerian khusus bagi mengatur, mengurus dan memajukan hal-hal berkaitan pengajian tinggi dan universiti adalah wajar dan sangat tepat. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berperanan besar memajukan dan memastikan apa yang berlaku dalam sistem pengajian tinggi bermula daripada falsafah asas, pentadbiran utama, pelaksanaan dasar dan seumpamanya selaras perkembangan semasa.

Tetapi ini tidaklah pula bermakna falsafah asas universiti yang tradisinya dibuang dan prinsip kebebasan akademik diketepikan. KPT tidak boleh melakukan dasar bersifat top-down semata-mata tetapi perlu melalui proses bersifat terbuka dan perbincangan bebas dari bawah.

Lawatan rasmi pertama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 8 September lalu menyentuh isu penting dalam pengajian tinggi, iaitu keperluan meningkatkan keupayaan digitalisasi selari Revolusi Industri (IR) 4.0. Beliau menyentuh dan menekan pentingnya elemen internet kebendaan (IOT), sistem siber fizik (CPS) dan kecerdasan buatan (AI).

Menurutnya, keupayaan digitalisasi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara akan menjadi satu wadah utama pada tahun-tahun akan datang. Intervensi akademik perlu dilakukan oleh setiap universiti agar selari dengan keperluan IR 4.0.

Selain itu katanya, pengurusan universiti perlu memastikan agenda digitalisasi IR 4.0 dapat dijayakan sebaik-baiknya. Oleh kerana universiti adalah nukleus tamadun bangsa dan dari sinilah lahirnya pemimpin masa depan, maka agenda ini secara tidak langsung adalah satu pendedahan realiti dan praktikal kepada bakal pimpinan negara pada masa akan datang.

Ini adalah satu pandangan jauh Ahmad Masrizal yang patut dipuji. Beliau melihat IR 4.0 adalah persoalan besar yang menjadi perubahan global mesti dibina di universiti-universiti awam dan swasta dengan sebaik-baiknya. Universiti tidak boleh sesekali terpisah dan ketinggalan dengan elemen-elemen IOT, CPS dan AI. Kalaulah elemen-elemen penting IR 4.0 ini tidak digabung-jalinkan dalam pengurusan-pentadbiran serta pengajaran-pembelajaran universiti serta menjadi sebahagian nilai warganya, maka universiti sebagai nadi dan nukleus pembangunan dan tamadun bangsa akan ketinggalan.

Mesej tersifat dan falsafah besar di sebalik ungkapan beliau adalah semua yang terlibat dalam pengurusan-pentadbiran dan pengajaran-pembelajaran (pegawai, pensyarah dan mahasiswa) yang menjadi warga sesebuah universiti mesti memahami, mengamalkan dan sentiasa mempelajari ilmu baharu teknologi semasa IR 4.0 serta hidup berasaskan unsur-unsur IR 4.0 dalam membangunkan universiti.

TELEFON PINTAR
Sebagai contoh mudah, IOT sudah tidak lagi boleh dipisahkan dalam kehidupan kita pada hari ini. Satu sistem yang saling berkaitan, internet objek yang saling berhubung, mengumpul dan memindah data tanpa wayar tanpa intervensi manusia. Satu keupayaan yang kita tidak terfikir sebelum ini, iaitu pemindahan data melalui satu rangkaian tanpa memerlukan sama ada antara manusia dengan manusia atau manusia dengan sistem komputer.

Misalnya, elemen IOT seperti keupayaan telefon pintar, jam pintar, kunci pintu pintar (smart door lock), sistem keselamatan pintar dan seumpamanya adalah luar biasa yang kadang-kadang tidak terfikir dalam benak fikiran kita sebelum ini bahawa ini boleh berlaku dan menjadi realiti. Bagaimana telefon pintar boleh digunakan untuk mengikuti kuliah dari seluruh dunia, mengikuti mesyuarat dan perbincangan akademik, menjalankan viva voce dan seumpamanya.

Elemen-elemen IR 4.0 adalah lonjakan digital yang sangat penting dalam pembinaan dan kemajuan universiti. Penegasan yang diutarakan adalah simbolik peri pentingnya agenda IR 4.0 yang mahu tidak mahu mesti dijadikan satu asas penting dalam pembangunan sesebuah universiti dan pembinaan tamadun bangsa. Ini bukan bermakna asas tradisi dan falsafah teras pengajian tinggi diketepikan. Ia tetap menjadi asas penting. Unsur-unsur moral, integriti, kebebasan akademik tetap tidak boleh diketepikan sampai selamanya.

Pensyarah dan profesor masih tetap berpegang kepada tugas dan asas tanggung jawab mendidik, mengajar dan membina ilmu dalam disiplin masing-masing. Pensyarah dan profesor tetap menjadi asas utama pembangunan universiti dengan terus membina, melakukan menyelidik dan memajukan disiplin ilmu masing-masing. Graduan yang matang berilmu dalam bidang disiplin masing-masing tanpa mengetepikan nilai moral dan asas agama tetap menjadi teras dan asas yang tidak diganggu gugat.

IR 4.0 adalah elemen menjadi proses yang boleh memantapkan lagi graduan bakal dihasilkan. Manusia yang terdiri daripada unsur-unsur roh dan jasad (rohani dan jasmani) tetap diutamakan. Matlamat akhir gaduan untuk menjadi insan akademis yang beriman dan bertakwa tetap diutamakan. Apa yang penting, perkembangan IR 4.0 dan perkembangan teknologi diadun sama bagi membina nilai manusia yang lebih tinggi mutunya.

Ahli falsafah Islam ada mengatakan, “ajar anakmu dengan teknologi semasa agar hidup dan baktinya kepada ummah lebih bermakna.”

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah. Pernah menjadi profesor pelawat di International University of Balkan, Skopje, Macedonia dan pernah mengajar di International University of Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×