Lenyapkan ‘Little Napoleon’ media - Utusan Malaysia

Lenyapkan ‘Little Napoleon’ media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKARANG tahun 2021. Bukan ‘zaman batu’ lagi. Bila masih ada satu dua akhbar arus perdana diketepikan daripada membuat liputan secara fizikal di Parlimen, saya tersentak. Mengapa berpilih-pilih.

Yang menghairankan, portal berita yang baru setahun jagung, entah tidak ketahuan ‘tingkat pageviewnya’ seperti dibangkitkan sahabat saya, Ismail Daud, tiba-tiba pula muncul mendapat tempat. Apa kriterianya? Apa tanda aras pemilihan  media tertentu  buat liputan sidang Dewan Rakyat?

Utusan Malaysia dan New Straits Times  itu sendiri adalah institusi sejarah sejak Malaysia dikenali Tanah Melayu dan Malaya lagi. Parlimen itu antara  simbol jejak-jejak sejarah pesuratkhabarannya. Bila mana tiba-tiba sengaja ditinggalkan oleh pihak berkuasa Parlimen tanpa alasan  munasabah, sudah tentu tercetus  syak wasangka bagai.

Hormati suara  akhbar. Respek kebebasannya. Akhbar bukan alat propaganda semata-mata. Ia  institusi yang berdiri di antara kerajaan dan rakyat. Kerajaan menuntut pemahaman rakyat, sementara pembaca menyampaikan aspirasinya melalui akhbar.

DIHERDIK

Bukan mudah kerja orang surat khabar. Ada wartawan diherdik, malah diminta meninggalkan lapangan sidang akhbar atas alasan ‘akhbar anda tidak dijemput’. Insiden menjengkelkan  ini bukan berlaku di tahun-tahun 50-an, 60-an atau 70-an, tetapi yang anehnya tahun 2020/2021. Sekali gus menyebabkan saya  selaku pengamal media hampir tiga dekad ini terpana seketika.

Apa sudah jadi dengan  kebebasan akhbar Malaysia ini? Wartawan ‘disekat’ mendapatkan berita atau ditentukan angle beritanya begitu, begini.

Walhal, insiden wartawan khususnya daripada Utusan Malaysia untuk membuat liputan terhadap semua kementerian tidak pernah tersekat pun sebelum 9 Mei 2018. Bahkan saya sendiri masih boleh mengingati dengan jelas dan terang hari ini  satira dari jenaka dan senda gurau yang dilontarkan sama ada kepada atau daripada pegawai-pegawai PM-7, PM-6, PM-5,  PM-4, dan terbaharu, PM-9.

Kalau adapun yang masih ‘terbuku dalam hati’  warga kerja Utusan tempoh hari sebelum tutup 9 Oktober 2019 bila tiba-tiba muncul gag order atau larangan menghentikan langganan Utusan Malaysia membabitkan semua jabatan sebuah kementerian.

Sebenarnya penting di sini, pejabat komunikasi kerajaan termasuk J-KOM atau Strat-Kom (tidak kiralah apa sahaja istilahnya) bebas dari kawalan ‘little Napoleon’. Apa lagi peruntukan RM40.5 juta untuk J-KOM besar, dan  amaunnya masih besar  meski dipotong separuh, iaitu RM45 juta dari peruntukan asal untuk JASA tempoh hari.

Dan amat mustahak sekali, menteri-menteri atau Perdana Menteri tahu perihal fi’il pegawai-pegawainya yang berurusan dengan media. Jangan nanti dikata dek orang, bos semua okey, berjiwa rakyat, perutusannya penuh hemah memahami denyutan nadi rakyat, namun ‘dirosakkan’ oleh pegawai ‘little Napoleon’ menguruskan media.

PAK Melan ketawa besar di samping Sukarno (kanan) dan Tunku Abdul Rahman pada Jun 1963.

KEHEBATAN

Jika akhbar mahu menyiarkan keluh-kesah rakyat, bukankah ia input yang berguna untuk agensi berkenaan?

Kerajaan hari ini yang masih dalam ‘situasi majoriti tipis’ perlu pasang telinga rapi-rapi supaya kelak  tidak terjadi ‘masuk gelanggang PRU-15 tak masuk gol yang banyak’. Kerana itu, pejabat komunikasi kerajaan harus laporkan kepada ketua apa yang benar dan apa yang tidak benar. Biar laporan itu dinilai subjektifnya, difikir secara objektif.

Kembalikanlah sekali sekala suasana ketika iklim politik penuh dengan ketegangan dan tidak menentu ini dengan menteri masih boleh bikin ‘lawak kering’ hingga tak kering gusi wartawan dibuatnya. Jangan ‘3 suku’ cukup.

Mendiang Tun Dr. Lim Keng Yaik contohnya  dikenali sebagai menteri ‘air liur’. Bukan bermaksud  mendiang hanya pandai berjanji tetapi kerana air liurnya sering tersembur ketika bercakap atau berucap.

Mendiang menyedari hal ini hingga boleh membezakan wartawan di depannya itu wartawan baharu ataupun wartawan senior:

You mesti reporter baru sebab ‘berani’ duduk depan saya, reporter lama mesti mau duduk jauh punya,” tergiang-giang di telinga saya  ayat mendiang.

Tun S. Samy Vellu pun lebih kurang macam Keng Yaik. Beliau pasti melayan dan menjawab setiap soalan wartawan biarpun ada ketikanya lif yang membawanya hampir tertutup.

“Tol naik sikit, marah sama saya. You ingat ini semua tol saya punya bapak punya kah?,” kata Samy Vellu dalam nada seloroh, hingga saya  dan rakan-rakan media sekitar lewat tahun 90-an tergelak besar.

Itu belum lagi saya bercerita pasal kisah Pak Melan atau Tan Sri Melan Abdullah sekitar tahun 60-an. Pak Melan adalah bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia. Kehebatannya dalam dunia penulisan menjadikan beliau rapat dengan ramai pemimpin negara terutama dengan Tunku Abdul Rahman sewaktu almarhum menjadi Perdana Menteri.

Ada satu kisah mengenai Pak Melan dan almarhum Tunku. Sewaktu terjadinya peristiwa konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia, Pak Melan bukan sahaja seorang wartawan, malah mengepalai gerakan perang saraf atas nama Barisan Bertindak Rakyat Malaysia dengan menganjurkan tunjuk perasaan menentang pemimpin Parti Komunis Indonesia D.N. Aidit dan Menteri Luar Indonesia, Subandrio yang menjadi dalang dasar konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.

Antara yang menarik ditulis Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya Hari Itu Sudah Berlalu ialah mengenai kisah Tunku mencarut di hadapan Presiden Sukarno dan para wartawan asing. Insiden itu berlaku setelah satu sidang untuk menamatkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia antara Tunku dan Sukarno di Tokyo pada Mei dan Jun 1963 gagal.

Kata Zainuddin, apabila keluar dari persidangan itu jurugambar akhbar dan juga wartawan-wartawan asing telah berebut untuk mengambil gambar Sukarno dan Tunku.

Melan berada di antara mereka. Tunku dan Sukarno tidak menunjukkan wajah gembira sekalipun diminta senyum beberapa kali oleh jurugambar dengan berkata cheese.

Apabila didesak berkali-kali, Tunku akhirnya mencarut dengan perkataan Melayu yang terkenal dengan `empat huruf’ menyebabkan Sukarno meletus ketawa dan Tunku sendiri ketawa. Bukan lagi tersenyum.

Ketawa semakin hebat apabila seorang wartawan bertanya is that cheese, Tunku? Tunku menjawab, “ya ya, something smell like cheese.” Itulah yang menghasilkan gambar (di atas) Tunku, Melan dan Sukarno ketawa besar.

Nampak tak betapa besarnya peranan dan sumbangan seorang wartawan – seperti Pak Melan hingga boleh jadi ‘tukang damai’ secara tak rasmi antara dua pemimpin gah yang bertelagah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×