Si bulus tenangkan hati Isyariana - Utusan Malaysia

Si bulus tenangkan hati Isyariana

ISYARIAN Che Azmi bermanja dengan Akemi Hoshi ketika ia masih kecil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak kenal maka tidak cinta. Itulah ayat yang sering kita dengar dalam sesebuah perhubungan.

Hal itu tidak terhad bagi silaturahim antara kawan dan percintaan sahaja. Malahan dalam hubungan antara manusia dan haiwan juga sama.

Bagi penyanyi dan pelakon, Isyariana Che Azmi atau Isyariana, sewaktu tamat Akademi Fantasia (AF) pada 2016, dirinya melewati fasa ketidakstabilan ekonomi.

Lalu, sahabat mencadangkan kepadanya untuk memelihara kucing sebagai peneman dan terapi jiwa.

“Kalau diimbas momen itu, boleh dikatakan saya sedang jatuh sangat dan jiwa rasa tidak rasional. Masakan tidak, saya baru saja habis AF dan mahu berjuang untuk kerjaya sebagai penyanyi.

“Mungkin melihat keadaan saya ketika itu seperti tidak terurus, tiba-tiba sahabat mencadangkan untuk bela kucing. Katanya akan menenangkan hati dan melimpahkan rezeki (dengan izin Allah).

Tetapi, saya cakap tidak suka kucing kerana bau tidak menyenangkan dan bulunya lagi.

“Entah kenapa satu hari tengok seekor kucing ini, hati saya tertarik buat kali pertama bila memandang matanya yang seakan-akan sedih itu. Hati saya terus terbuka untuk bela kucing itu,” ujar Isyariana.

Disiplin diri

Kalau sudah mula sayang, pasti semua perkara yang dilakukan automatik menjadikan diri individu itu komited.

Gadis berusia 30 tahun ini memberitahu, menjaga si bulus bagaikan menjaga seorang manusia. Penjagaan dan rawatan lebih kurang sama.

Atas faktor itu, pelakon drama Puteri Yang Ditukar ini menjelaskan, setiap hari dia akan memastikan tiga ekor si manja yang diberi nama Akemi Hoshi, Alwosto dan Akhlaken tersebut cukup makan dan bersih.

“Kalau orang kata macam jaga manusia, iya betul. Kena jaga diet pemakanan dan kesihatan anak-anak sampaikan saya bawa untuk vaksinasi.

“Untuk kebersihan, bagi saya adalah yang utama, sebab saya ini orangnya memang alergi pada hama dan bulu. Jadi menjadi tanggungjawab agak besar untuk saya setiap hari pastikan mop and vakum persekitaran dalaman rumah.

“Setiap hari tanpa gagal, bahkan buang najisnya tiga kali sehari, tidak boleh biarkan kamarnya penuh dengan ‘tinggalan’,” katanya tertawa kecil.

Trivia
• Jenis baka si bulus: Akemi Hoshi (Maine Coon campuran British Shorthair), Alwosto dan Akhlaken (Persian).
• Berat dan saiz: Ketiga-tiga ekor seberat enam kilogram dan saiz agak besar.
• Sejarah nama: Akemi Hoshi kucing pertama. Nama Alwosto sempena nama sekolah agama emak di Temerloh, Pahang. Manakala Akhlaken nama pena sahabat yang mencadangkan Isyariana menjaga kucing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×