PETALING JAYA: Sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah semakin ‘terdesak’ memproses bahan terlarang itu untuk memenuhi permintaan penagih sehingga terpaksa membina makmal dalam hutan bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Itu antara taktik licin sindiket hasil daripada 31 makmal haram yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tahun 2020 sehingga Julai lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razaruddin Hussain berkata, kewujudan makmal dalam hutan itu berjaya dibongkar hasil serbuan pihak polis di Tapah, Perak pada November lalu.
Katanya, siasatan mendapati makmal dalam hutan yang dibuat secara terbuka di bawah khemah itu adalah bagi memproses dadah jenis methampetamine.
“Sindiket secara beraninya memproses dadah dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang. Ini kerana mereka tahu sekatan jalan serta kawalan polis dibuat di sempadan-sempadan negeri di kawasan jalan atau lebuh raya, bukannya dalam hutan.
“Selain itu, kita mendapati premis kediaman dan rumah kedai antara ‘port’ yang dijadikan makmal memproses dadah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, menurut Razaruddin, sebanyak 31 makmal memproses dadah iaitu 20 premis bagi sepanjang tahun lalu manakala 11 lagi diserbu pihak polis sejak awal Januari sehingga Julai lalu.
Ujar beliau, jumlah itu melibatkan 12 premis di Pulau Pinang, Selangor (lima), Kuala Lumpur dan Johor (empat), Perak (tiga), Kedah (dua) dan Melaka (satu)
“Selain itu, seramai 127 tangkapan dibuat hasil pembongkaran makmal tersebut iaitu 71 orang bagi tahun 2020 dan 58 individu untuk tempoh tujuh bulan ini.
“Penahanan itu melibatkan 17 ahli kimia manakala 110 pula lain-lain peranan antaranya ‘runner’, transporter dan sebagainya,” jelas beliau.
Bulan lalu, Utusan Malaysia mendedahkan beberapa lokasi ‘panas’ yang sebelum ini menjadi lubuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah dipercayai terputus bekalan dadah.
Razaruddin dilaporkan berkata, perkara ini ekoran penguatkuasaan dan operasi dijalankan JSJN sehingga merampas kira-kira 17 kilogram dadah dianggarkan bernilai RM764 juta dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan dan risikan mendapati berlaku keputusan dadah sehinggakan penagih di lokasi seperti di Jalan Chow Kit di sini sukar mendapatkan bahan terlarang itu.
Malah, jelas beliau lagi, pihaknya juga mendapat maklumat bahawa Pulau Pinang yang selama ini menjadi transit bagi sindiket menempatkan bahan terlarang itu yang diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedar ke beberapa negeri lain untuk pasaran tempatan.
“Kita mendapati Chow Kit yang selama ini menjadi lokasi panas aktiviti dadah telah terputus bekalan semenjak beberapa hari lalu,” jelasnya. – UTUSAN











