OHOR BAHRU: Melihat sendiri isi perut pahlawan negara, mendiang Datuk Kanang Anak Langkau terburai ditembak komunis yang menyerang mereka di Hutan Simpan Korbu menaikkan semangat Zakaria Che Seman untuk terus memburu saki-baki pengganas.
Zakaria, 68, berkata, pertempuran di Sungai Siput, Perak pada 1978 berlaku ketika beliau berada dalam Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) diketuai oleh Kanang yang ketika itu berpangkat Sarjan.
Menurutnya, mendiang Kanang tidak menjadikan kecederaan parahnya itu sebagai penamat pertempuran, sebaliknya, bermati-matian mengejar musuh sehingga berjaya membunuh empat komunis meskipun darah di perutnya mengalir deras.
“Sebaik sahaja membunuh komunis, Kanang terus rebah dan pengsan. Saya yang berada di belakang berlari ke arahnya dan memberikan bantuan kecemasan,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Bukit Tiram, Ulu Tiram semalam.
Zakaria berkata, peristiwa tersebut menambahkan sema-ngat pada dirinya untuk terus memburu komunis yang ramai di hutan sekitar Ipoh sehingga sempadan Thailand.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, dia juga hampir-hampir terkorban terkena jerangkap samar ketika menjalankan Operasi Selamat Sawadee selepas itu.
“Ketika itu saya berjalan di tengah antara dua rakan sepasukan dan tiba-tiba bunyi letupan kuat menyebabkan seorang anggota terbunuh manakala seorang lagi cedera parah.
“Satu lagi peristiwa masih diingati kerana berlaku depan mata saya ketika operasi sama ialah semasa melihat rakan saya iaitu Mohd. Sariji yang terkena jerangkap samar melayang ke udara lalu meninggal dunia,’’ katanya.
Zakaria juga tidak melupakan peristiwa mengepung rumah Rashid Maidin di Sungai Itik, Gopeng selepas mendapat maklumat pemimpin kanan Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) itu akan balik ke kampungnya kerana ibunya sakit.
“Bagaimanapun, setelah menunggu beberapa hari, Rashid tidak muncul tetapi menurut maklumat dia ada balik ke kampungnya tetapi tidak ada seorang pun anggota yang membuat intipan melihat kelibatnya,” katanya.
Sementara itu, Zakaria berkata, setiap kali sebelum melangkah masuk ke hutan, beliau hanya memasang satu niat iaitu mahu membunuh komunis.
Malah, sehingga hari ini, perasaan geram dan marah masih membara kerana ramai dalam kalangan anggota tentera terutama Unit Renjer terbunuh.
“Kalau ada musuh negara yang mengancam negara, saya sanggup memikul senjata sekali lagi selagi kudrat masih ada,’’ ujarnya yang menamatkan tugas sebagai Pegawai Waran II di Kem Pulada, Kota Tinggi. – UTUSAN










