‘Maafkan Mama sebab tak jaga Fayyadh baik-baik’ - Utusan Malaysia

‘Maafkan Mama sebab tak jaga Fayyadh baik-baik’

NUR Shamimi Abdul Malek (tengah) ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika melihat mayat anaknya, Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid yang ditemukan lemas dalam lombong di Taman Kinta Baru, Gopeng, semalam. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Linangan air mata dan ungkapan maaf berkali-kali diucapkan Nur Shamimi Abdul Malek sebaik sahaja melihat jasad kaku anak lelakinya yang ditemukan mati lemas dalam lombong di Taman Kinta Baru, di sini, semalam.

Nur Shamimi, 26, yang menangis sambil mengusap wajah anak kedua daripada lima beradik itu terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga dan dipapah berikutan keadaannya yang lemah.

“Mama minta maaf. Maafkan mama sebab tak jaga Fayyadh baik-baik,” rintih Nur Shamimi.

Kehilangan kanak-kanak hiperaktif, Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid, 6, yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu itu disedari ibunya pada pukul 6.30 petang kelmarin setelah didapati tiada di ruang tamu rumah.

Operasi mencari kanak-kanak itu segera dijalankan pihak polis dengan bantuan bomba sebelum mayatnya ditemukan terapung di lombong berdekatan rumahnya pada pukul 9.45 pagi semalam.

Menurut Nur Shamimi, dia menyedari kehilangan anak istimewa itu setelah melihat pintu geriji besi dan pagar rumah terbuka.

Katanya, dia segera mencari anaknya di taman permainan berhampiran namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

“Ketika hilang semalam, firasat saya kuat mengatakan Fayyadh memang pergi ke taman. Selalunya, kalau keluar pun dia akan pergi ke situ untuk bermain papan gelungsur.

“Sebab itu kami ke sana untuk mencari Fayyadh tetapi tidak jumpa. Saya tidak sangka langsung dia akan ke lombong, walaupun dekat dengan taman tetapi memang dia tidak pernah ke sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kinta Baru di sini semalam.

Menurut Nur Shamimi, dia berasa sedih dengan kejadian yang menimpa Muhammad Fayyadh Ukasyah tambahan lagi kanak-kanak itu amat manja dan rapat dengannya.

“Dia memang 24 jam dengan saya, kalau mahu tidur pun dia akan tunggu saya dahulu. Apabila saya ada, walaupun tidur berhimpit dan hanya dapat pegang kaki, itu pun cukup untuk dia tidur lena.

“Semalam, saya cari dia sehingga pukul 4.30 pagi. Saya pergi ke tempat dia selalu main, saya panggil-panggil dia tetapi tidak jumpa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, mayat kanak-kanak itu dijumpai anggota Balai Polis Gopeng pada jarak 80 meter dari rumah keluarganya.

“Mayat kanak-kanak itu dibawa naik ke tebing oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng. Pemeriksaan awal pada fizikal mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah.

“Pengecaman telah dibuat oleh keluarga mangsa dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×